Posts Tagged rasuah

Hapuskan Rasuah : Tanggungjawab Bersama

Rasuah adalah satu jenayah. Ianya bukan satu penyakit sosial biasa tetapi ianya adalah merupakan satu perbuatan jenayah. Bila kita menyebut tentang Rasuah, isu ikan kecil dan ikan besar sering dimainkan oleh pelbagai pihak namun hakikat sebenar atau implikasi kesengsaraan daripada perbuatan rasuah itu harus lebih diutamakan. Bukan lagi soal siapa ditangkap. Soalan yang sebenar dan sepatutnya adalah apakah kesengsaraan atau kesusahan yang telah timbul disebabkan perlakuan jenayah Rasuah itu.

Statistik demi statistic dikeluarkan namun Masyarakat awam masih lagi berpegang atau percaya bahawa keadaan Rasuah di Malaysia makin parah. Hakikat sebenar jauh menyimpang dari persepsi ini. Kadar jenayah Rasuah di Malaysia kini jauh lebih rendah berbanding suatu ketika dahulu atau jika hendak dibandingkan dengan segelintir Negara lain di dunia. Bagi yang masih inberapa ingat, berapa lamakah masa yang diperlukan bagi kita untuk memperbaharui lesen memandu pada tahun 90-an??.. Berapa lamakah kita perlu menunggu untuk mendapatkan dokumen perjalanan (passport)??.. Cuba bandingkan dua senario ini dengan realiti masa kini. Mengapa dahulu satu proses yang sama memerlukan masa yang jauh lebih lama??.. Jelas sekali terdapat ruang dan peluang untuk jenayah Rasuah, penyalahgunaan kuasa, dan penyelewengan  berlaku pada masa itu tetapi semua itu tidak lagi berlaku kini. Proses yang suatu ketika mengambil masa berhari-hari kini hanya tinggal satu jam sahaja. Namun persepsi bahawa Malaysia makin parah dek Rasuah terus di minda Masyarakat kita.

Kalau kita hendak melihat indicator-indikator yang jelas menunjukkan berlakunya jenayah Rasuah yang tinggi, Di Negara-negara yang kadar rasuahnya tinggi, kita terpaksa membeli perkhidmatan atau hak kita. Apa hak kita?? Iaitu untuk mendapatkan khidmat kesihatan, adakah kita perlu membayar wang Rasuah untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Negara ini. Di Negara tertentu, untuk mendapatkan Pendidikan untuk anak mereka juga, mereka terpaksa membayar rasuah tetapi kita cuba Tanya kepada diri kita, perlukah kita membayar Rasuah untuk memasukkan anak kita ke Universiti-Universiti??.. Fikirkanlah.

Bagi menghapuskan jenayah Rasuah, kerjasama semua pihak adalah amat diperlukan. Rasuah bukan hanya tanggungjawab SPRM malahan ianya adalah tanggungjawab kita semua rakyat Malaysia khususnya untuk kita sama-sama hapuskan. Pelbagai inisiatif telah dimainkan kerajaan dalam usaha memerangi jenayah Rasuah ini namun jika Masyarakat masih lagi berfikir yang jenayah Rasuah ini bukan tanggungjawab mereka, maka sia-sialah usaha yang telah dimainkan kerajaan dan juga SPRM. Marilah bersama-sama, kita lakukan perubahan, kita perangi Rasuah.

Tempoh hari, Astro Awani telah membuat temubual ekslusif bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM. Rakaman bagi sesi itu boleh ditonton di dalam 4 bahagian di :

http://www.youtube.com/user/ODVMACC#p/u/4/KnwSof7YQdw

PDF    Send article as PDF   

, , , , ,

2 Comments

Dadah, rasuah ancam keselamatan negara

UTUSAN ONLINE

Oleh ANIS YUSAL YUSOFF

KEDAULATAN dan kuasa di sesebuah negara bukan terletak kepada kepala negara tetapi di tangan rakyat jelata. Dalam sebuah negara demokratik seperti Malaysia, perkara ini menjadi bertambah jelas. Sebab itulah, sebarang ancaman yang dapat memporak-perandakan rakyat jelata, boleh dilihat sebagai ancaman kepada kedaulatan negara.

Satu ketika dahulu, kita menjadi risau melihat bagaimana anak-anak muda yang terjebak dalam gejala dadah hilang arah tuju dan ramai juga di antara mereka yang terlibat dengan jenayah disebabkan ketagihan dadah.

Masyarakat diseru untuk membenci segala aspek yang terlibat dengan dadah, termasuklah penagih dan pengedarnya. Seperti komunis pada masa itu, dadah turut menjadi musuh negara yang perlu diperangi oleh semua pihak.

Dadah pada hari ini pun masih lagi menjadi musuh negara dan perlu terus diperangi. Mereka yang didapati bersalah memiliki dadah melebihi kuantiti tertentu boleh dikenakan hukuman mandatori mati di tali gantung.

Begitu serius sekali kita dalam menangani masalah ini sehinggakan kita sanggup dikutuk oleh beberapa buah negara yang menganggap undang-undang itu terlalu draconian kerana ada rakyat mereka yang didapati bersalah memiliki najis dadah telah dijatuhkan hukuman mati mandatori oleh mahkamah di Malaysia.

Namun semua ini tidak mengurangkan ketagih mahupun menakutkan para pengedar dan penggunanya. Golongan penagih ini tidak pula merasa jijik dengan najis yang menjadi kawan baik mereka.

Kerajaan terpaksa mewujudkan pusat-pusat pemulihan untuk mereka yang menagih dadah bagi membantu mereka tidak mengulangi tabiat buruk berkawan dengan najis dadah itu.

Bagaimanapun, laporan dari Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan jumlah kes berulang iaitu mereka yang kembali menjadi penagih selepas keluar dari pusat serenti sudah hampir sama banyak dengan jumlah penagih baru.

Ada antara mereka yang kembali ke ‘universiti serenti’ untuk ijazah kedua dan ramai juga yang menyambung ke peringkat ijazah kedoktoran tetapi bukan doktor falsafah, sebaliknya fasal dadah!

Sama bahayanya dengan dadah adalah rasuah. Rasuah juga adalah musuh negara kerana ia dapat merosakkan harapan dan inspirasi negara seperti yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.

Malah, penyakit rasuah ini jika tidak dibendung akan menghancurkan negara. Mana mungkin negara menjadi maju kalau pemimpinnya sanggup dijual beli.

Bagaimana untuk menjadi negara berpendapatan tinggi kalau kaki tangan perkhidmatan awam dan swastanya saling bertukar-tukar paket angpau, ganjaran wang diberikan kepada favour yang dilakukan tanpa merit sebenar untuk mendapat projek tertentu.

Apa akan berlaku kepada negara ini kalau semuanya boleh dibeli dan semua orang ada harganya masing-masing? Seperti penagih dadah yang sanggup mencuri dan membunuh ahli keluarga demi melepaskan gian mereka, negara yang dibelenggu rasuah pasti akan digadai oleh puak-puak yang ketagihkan rasuah.

Perlukah kerajaan mewujudkan pusat pemulihan untuk mereka yang ketagih rasuah ini? Atau mungkinkah undang-undang mandatori seperti dadah untuk perasuah (penerima dan pemberi)?

Mungkinkah itu penyelesaian yang dapat menghentikan kehinaan sikap tidak amanah yang semakin berleluasa ini?

Setiap hari kita dapat melihat pelbagai usaha pencegahan dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), namun mereka terus menjadi bahan kritikan masyarakat. Pelbagai kempen mereka lakukan melalui media cetak dan media elektronik dan kita hanya dapat berdoa agar usaha-usaha ini akan memberi impak kepada masyarakat secara jangka panjang.

Seperti agensi-agensi penguat kuasa lain, SPRM juga berhadapan dengan pelbagai tohmahan dan kritikan. Adakalanya tohmahan yang dibuat langsung tidak berasas.

Kefahaman masyarakat tentang peranan SPRM juga agak terbatas. Ini selalu dapat kita lihat apabila kes-kes berprofil tinggi yang menghasilkan keputusan tidak berpihak kepada kerajaan, maka masyarakat dengan cepat membuat andaian dan selalunya memandang serong kepada SPRM.

Mungkin juga perlu bagi pihak SPRM mendampingi masyarakat sambil mendidik kepentingan untuk rakyat agar terus memerangi rasuah. Masyarakat juga perlu diberitahu peranan dan ruang lingkup kuasa SPRM. Sekiranya tidak dimaklumkan, mungkin semakin ramai yang akan menuduh SPRM sebagai toothless tiger.

Bertaring ataupun tidak, ia sepatutnya diadili oleh rakyat terbanyak hanya apabila mereka faham ruang lingkup sebenar kuasa yang ada pada SPRM. Sekiranya rakyat tidak faham, mereka tidak boleh disalahkan. Rakyat melalui kuasa yang ada pada mereka juga boleh membantu dalam memberi mandat yang lebih besar kepada SPRM. Syaratnya mereka perlu didekati dan diberi maklumat yang tepat.

Pada waktu ini, rata-rata rakyat tidak dapat melihat magnitud impak rasuah kepada negara. Kos melepas yang sepatutnya menjadi hasil pendapatan kepada negara jika tidak kerana rasuah tidak siapa yang tahu.

Mungkin elok untuk satu kajian dibuat agar rakyat dapat diberitahu mengenai jumlah kerugian negara yang disebabkan oleh perbuatan para perasuah ini.

Kos melepas inilah antara sumber pendapatan negara untuk membina sekolah, hospital, jalan raya dan semua infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat jelata. Suka atau tidak, realitinya, rasuah adalah satu ancaman kepada keselamatan dan pembangunan negara.

Seperti dadah dan komunis, rasuah harus diperangi oleh semua lapisan rakyat dalam negara kita. Sokongan rakyat kepada usaha SPRM sangat penting untuk menjayakan hasrat murni kita ini. Janganlah hanya kerana satu dua insiden yang belum pun kita tahu duduk sebenar perkara, kita terus menghukum organisasi seperti SPRM.

Lihatlah isu yang lebih besar dan kesannya kepada negara daripada diungkit perkara mengenai kepentingan peribadi pihak-pihak tertentu sahaja.

Penulis ialah Felo Penyelidik Utama di Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau juga Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM.

PDF Printer    Send article as PDF   

, , , , , ,

1 Comment

MASYARAKAT MASIH KELIRU DENGAN ISU ADA KES vs ADA KETERANGAN

Apakah caranya untuk kita sedarkan masyarakat yang kita bertindak berlandaskan undang-undang. Siasatan dibuat untuk mencari kebenaran dan bukan mencari kesalahan. Kita mendakwa seseorang berasaskan keterangan yang cukup bukan berasaskan sentimen atau perasaan. Tugas kita hanya menyiasat. Jika terdapat cukup keterangan kita syorkan untuk pendakwaan.

Ini adalah antara persoalan-persoalan yang sering berputar di kotak fikiran pengurusan SPRM. Melihat kepada komen-komen yang diberikan menerusi blog-blog tertentu, begitu menyedihkan di mana SPRM tetap dipersalahkan jika sesuatu kes khususnya melibatkan individu berprofil tinggi tidak di dakwa di mahkamah.

Terdapat perbezaan yang jelas antara ADA KES dengan ADA KETERANGAN. Kita mendakwa jika ada keterangan yang kukuh untuk mengaitkan individu dengan perlakuan rasuah yang dilakukannya. Keterangan yang dicari termasuklah keterangan saksi-saksi, dokumen-dokumen dan perlakuan serta peranan tertuduh. Kes-kes rasuah adalah unik dan tidak sama seperti kes-kes jenayah yang lain.

Kebiasaannya kes rasuah melibatkan dua individu yang kedua-duanya mempunyai kepentingan. Baik yang memberi atau menerima, kedua-duanya mendapat faedah. Tambahan pula, yang terlibat sebenarnya mempunyai perkaitan sama ada sebagai rakan perniagaan, sahabat baik, orang kepercayaan, saudara ataupun staf. Manakan tidak, jika tiada hubungan baik dan saling tidak percaya mempercayai, maka rasuah tidak akan berlaku.

Oleh sebab itu, ada kala keterangan yang diperoleh daripada saksi-saksi sukar untuk mengaitkan antara pemberi dan penerima ada dasar “silaturahim” yang terjalin ini. Tidak seperti jenayah bunuh, rogol, samun atau rompak, si mangsa sudah tentukan agar menggunakan proses perundangan sebagai jalan untuk membalas dendam atau menebus apa yang dilakukan oleh penjenayah.

Berbalik kepada isu ADA KES dan ADA KETERANGAN tadi. Mengambil contoh kejadian di mana seorang pemandu yang menyerahkan wang rasuah sebanyak RM100.00 kepada anggota penguat kuasa dan kemudian melaporkan kepada SPRM. Dalam konteks ini, memang ada kes rasuah berlaku. Namun adakah dengan hanya bergantung pada keterangan pemandu itu tadi cukup untuk mendakwa anggota penguat kuasa tersebut?

SPRM memerlukan lain-lain keterangan seperti saksi yang melihat, penemuan wang rasuah yang terlebih dahulu ditandakan, perbuatan memujuk rayu (menerusi rakaman audio) jika ada sebagai bukti-bukti tambahan untuk mengukuhkan kes terbabit. Jika tiada, maka kes ini dianggap tiada keterangan kukuh dan sukar dijalankan pendakwaan.

Jika terlalu banyak keraguan yang timbul dalam perbicaraan sesuatu kes, mahkamah akan melepas dan membebaskan tertuduh. Sistem keadilan di negara ini cukup adil dan saksama terhadap pengadu dan juga orang yang kena tuduh.

Memang mudah untuk menuduh seseorang itu terlibat dengan rasuah. Namun berapa ramai yang sanggup tampil untuk membantu memberikan keterangan bagi mengesahkan dakwaan mereka. Keterangan ini bukan setakat sanggup tampil ke mahkamah tetapi perlu disokong dengan bukti-bukti sebagai lain-lain saksi yang melihat, dokumen yang menyokong, rakaman perbualan suspek yang jelas memujuk rayu suapan dan sebagainya.

Semakin kompleks sesuatu kes, maka proses pencarian bukti menjadi sukar dan memerlukan masa, penelitian serta perancangan yang rapi. Modus operandi penjenayah menjadi semakin sofistikated dengan kemajuan ICT. Wang tidak lagi bertukar tangan begitu sahaja tetapi di masukkan ke dalam akaun di luar negara atas nama orang lain. Tidak mudah sebenarnya untuk kita mengumpulkan keterangan bagi memperkukuhkan sesuatu kes. Banyak faktor yang terlibat dan kesemuanya perlu dibuktikan dan dikaitkan antara satu sama lain.

Proses mengumpulkan keterangan juga tidak terhenti setakat siasatan sahaja. Kesemua keterangan, dokumen dan saksi-saksi itu tadi perlu dikemukakan di hadapan hakim untuk pertimbangan dan keputusan beliau. Ada kalanya, siasatan kes lengkap dengan saksi, bukti serta keterangan, namun apabila di mahkamah, kes tersebut dilepas dan dibebaskan kerana wujud situasi di mana saksi-saksi berpaling tadah. Ini adalah antara cabaran-cabaran yang terpaksa dilalui agensi penguatkuasaan seperti SPRM.

Selain itu. banyak kes-kes rasuah yang dikatakan berlaku terlebih dahulu dihebahkan dalam media massa. Ini bukan sahaja memberi ruang kepada penjenayah untuk mengambil tindakan memusnahkan dokumen, mempengaruhi saksi dan melarikan diri.

Tiada elemen kejutan dan kerahsiaan (surprise and secrecy) dalam siasatan SPRM kerana sikap segelintir masyarakat sendiri yang suka bercakap sebelum memberi peluang kepada pihak berkuasa bertindak. Kesannya, kebanyakan siasatan kes terbantut disebabkan tiada keterangan kukuh untuk mengaitkan si perasuah dengan tohmahan yang dilemparkan terhadapnya.

Rasuah adalah senjata yang amat mujarab untuk memburuk-burukkan imej dan kredibiliti seseorang. Ini kerana sifat rasuah itu sendiri yang berlandaskan ketidakadilan, penyelewengan dan tiada integriti. Justeru itu, jalan singkat untuk memalukan dan menjatuhkan seseorang ialah menuduhnya melakukan rasuah. Telah menjadi lumrah segelintir masyarakat pada hari ini yang menerima bulat-bulat tohmahan yang dibuat oleh pihak-pihak berkepentingan. Seseorang yang disiasat oleh pihak berkuasa dianggap telah bersalah dan patut dihukum. Hakikatnya, siasatan yang dijalankan adalah untuk mencari kebenaran dan bukannya mencari salah orang yang ditohmah.

Isu rasuah menjadi topik hangat di gelanggang politik. Rasuah terlalu dipolitikkan. Kesannya semua tindakan pihak berkuasa dianggap sebagai tindakan politik. SPRM dianggap alat politik pemerintah. Siasatan SPRM dianggap suatu konspirasi. Jadi bagaimana boleh agensi ini memainkan peranannya dengan berkesan jika semua tindakannya dipolitikkan.

Masyarakat harus sedar dan dapat membezakan antara politik dan rasuah. Rasuah adalah jenayah dan kesalahan ini termaktub dalam undang-undang negara. Amat berbahaya jika rasuah dijadikan modal politik. Ini menyemarakkan lagi perbuatan fitnah dan rasa benci-membenci dalam masyarakat.

Tindakan SPRM tidak wajar dicampuradukkan dengan politik. Biarlah SPRM laksanakan tugas dan tanggungjawabnya memerangi rasuah. Yang harus kita perangi adalah perasuah, pelindung kepada perasuah dan orang yang bersubahat dengannya. Kenapa pula kita harus perangi agensi yang memerangi rasuah? Bersama-samalah kita lakukan perubahan. Bersama-sama kita mengingatkan semua pihak untuk tidak mempolitikkan isu rasuah kerana ia akan membawa lebih banyak kebinasaan kepada keharmonian yang sedang kita kecapi hari ini.

PDF Download    Send article as PDF   

, , , , , , , ,

2 Comments

Ikan Kecil Bawa Impak Besar Kepada Negara

Pembongkaran kes rasuah melibatkan anggota penguat kuasa di sempadan tanah air bukan isu baru. Rasuah disogok kepada anggota penguat kuasa bagi urusan penyeludupan manusia tanpa dokumen perjalanan yang sah, aktiviti pasport u-turn, mempercepatkan pengeluaran visa dan permit kerja, melindungi pendatang tanpa izin, mengelakkan tindakan kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, penyalahgunaan visa, bekerja tanpa izin dan sebagainya.

Lokasi-lokasi strategi seperti lapangan terbang, pintu-pintu masuk sempadan, jeti-jeti atau pelabuhan-pelabuhan utama merupakan antara lokasi panas yang menjadi tumpuan agen-agen khas yang dilantik sindiket-sindiket tertentu bagi berurusan dengan pihak berkuasa bagi meneruskan aktiviti penyeludupan manusia ini.

Kemakmuran dan kesejahteraan hidup di Malaysia, dilihat sebagai faktor penarik kepada rakyat daripada beberapa negara jiran untuk datang mencari rezeki di negara ini. Budaya dan bahasa bukanlah penghalang. Uniknya Malaysia kerana masyarakatnya yang berbilang kaum, agama dan budaya membuatkan golongan pendatang ini untuk mudah mengasimilasikan diri di negara ini. Tambahan pula, masyarakat Malaysia terlalu ramah dan mudah menerima orang luar tanpa sebarang prasangka buruk.

Lihatlah apa yang berlaku di Chow Kit dan sekitar jalan Tuanku Abdul Rahman pada hari ini, di mana kerana terlalu mudahnya kita menerima orang luar, maka Chow Kit yang dahulunya dikuasai oleh orang-orang Melayu dan Cina sebagai peniaga bertukar seakan-akan menjadi mini-Jakarta. Selain itu, beberapa kampung yang berdekatan dengan bandar Kuala Lumpur seperti Padang Balang, Changkat, Dato Keramat, Gombak dan Kampung Pandan dikuasai oleh golongan pendatang.

Pihak berkuasa yang diamanahkan dengan tanggungjawab menjaga aspek keselamatan dan segala urusan keluar masuk di sempadan negara ini wajar merenungi semula perkara ini. Kita masih belum terlambat untuk menginsafi dan memperbetulkan keadaan.  Ini penting untuk memastikan negara ini tidak tergadai dek kelemahan penguatkuasaan kesan dari sogokan wang ringgit yang ditaburkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab. Janganlah hanya terlalu mengejar dan mengutamakan kemewahan hidup, sehingga sanggup memperdagangkan maruah dan kedaulatan negara ini.

Golongan ini hanya ditakrifkan sebagai ikan-ikan kecil, apabila setiap kali diberkas dan didakwa oleh pihak berkuasa yang lain khususnya SPRM. SPRM dikritik kerana fokus kepada ikan-ikan bilis ini. Namun sedar kah kita, sejauh mana kesan atau impak negatif yang boleh berlaku hasil dari perbuatan ikan-ikan bilis ini?

Sebagaimana yang dilaporkan di akhbar pada 8 November 2010, seorang pegawai Imigresen berpangkat kumpulan sokongan mampu menyimpan RM9 juta di luar negara hasil kegiatan haram menyeludup manusia ke negara ini. Berdasarkan keupayaan menyimpan wang sebanyak itu, tidak dapat dibayangkan berapa ramai pendatang tanpa izin yang dibantunya memasuki negara ini.

Terbayang juga jauh di benak fikiran penulis, jika begitu mudah menyeludup manusia, apatah lagi jika mahu menyeludup senjata api dan dadah ke negara ini. Sudah tentunya ia jauh lebih mudah.

Kita asyik membayangkan bagaimana mudahnya manusia dan barang-barang larangan di bawa masuk ke negara ini. Timbul pula persoalan, bagaimana pula jika barang-barang larangan ini di bawa keluar pula? Sudah tentu keadaannya sama sahaja.

Bagaimana ratusan kereta-kereta mewah yang disamun dan dicuri tidak dapat dikesan pihak berkuasa dan dibawa dengan mudah keluar dari negara ini? Di mana kecanggihan “scanning machine” yang digunakan di pintu-pintu sempadan? Walau secanggih mana pun teknologi, jika anggota yang mengawalnya tidak amanah dan bersekongkol dengan penjenayah maka ia tidak membawa apa-apa erti.

Cuba kita bertanya kepada diri kita, kenapa agaknya penyeludup-penyeludup dadah daripada Iran berpusu-pusu datang ke negara ini? Apakah dadah-dadah yang di seludup tersebut hanya untuk kegunaan penagih tegar di negara ini? Malu dan tersinggung untuk kita mengakui bahawa Malaysia adalah antara negara transit dadah terbesar di rantau ini. Terbaca berita yang dilaporkan pada 2 November 2010 di mana dadah disorokkan di daun-daun pintu dan di seludup keluar negara, membuatkan kita sukar menepis dakwaan tersebut.

Tidakkah semua kontena atau barangan yang dieksport dan diimport ke luar negara perlu melalui pemeriksaan pihak-pihak berkuasa di negara ini? Di mana silapnya sistem pemeriksaan negara kita sehinggakan dadah tersebut boleh di bawa keluar tanpa dikesan?

Usaha memerangi rasuah harus dijadikan agenda No.1 negara. Rasuah dan jenayah diibaratkan bagai isi dan kuku. Rasuah menggalakkan jenayah dan jenayah berleluasa disebabkan rasuah. Usaha memerangi rasuah tidak wajar diukur berdasarkan jawatan atau kedudukan seseorang. Tiada istilah ikan besar atau kecil dalam kamus SPRM. Apa yang penting ialah kesan atau impak kepada masyarakat keseluruhannya. Bagi SPRM tindakan diambil tanpa mengira pangkat, darjat mahupun kedudukan. Berani buat berani tanggung.

Masyarakat diharap terus menyokong SPRM untuk memerangi perasuah yang melindungi penjenayah. Perangi Rasuah dan Hapuskan Jenayah dalam satu masa yang sama.

Create PDF    Send article as PDF   

, , , , ,

2 Comments

Sukarnya Perangi Rasuah di Era ini

Banyak pandangan mengatakan bahawa zaman kegemilangan usaha memerangi jenayah rasuah adalah zaman ketika Tan Sri Harun Hashim memegang tampuk kepimpinan Badan Pencegah Rasuah. di era awal 70-an.


BPR ketika itu, digambarkan sebagai amat berkesan, digeruni dan semua tindakannya dikatakan memberi impak yang cukup besar kepada masyarakat. Tambahan pula kejayaannya mengheret seorang Menteri Besar ke muka pengadilan sehingga dijatuhi hukuman penjara.

Berasaskan kejayaan tersebut, imej dan kredibiliti BPR berada di puncak sehingga masih dijadikan asas perbandingan sehingga ke hari ini. Apakah istimewanya BPR ketika zaman Tan Sri Harun Hashim? Adakah dengan kejayaan mendakwa seorang Menteri Besar boleh dijadikan ukuran ketelusan dan kebebasan BPR ketika itu? Adakah sekiranya Tan Sri Harun Hashim dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada hari ini, beliau boleh mengulangi keunggulannya?

Sebenarnya banyak faktor yang perlu diambil kira untuk membuatkan perbandingan antara dua zaman ini menjadi perbandingan yang benar-benar adil. Antaranya yang paling utama adalah senario politik semasa, kemajuan ICT, sosiobudaya masyarakat pada hari ini adalah amat jauh bezanya berbanding zaman 70-an.

Kalau di awal zaman 70-an, masyarakat hanya bergantung pada akhbar dan radio untuk mendapatkan maklumat. Peti televisyen hitam putih hanya mampu dimiliki oleh segelintir masyarakat sahaja. Tetapi pada hari ini, televisyen yang dulunya hitam putih berkembang menjadi 3-dimensi. Adanya INTERNET, perkhidmatan jalur lebar, facebook, blog, twitter, youtube dan sebagainya. Maklumat disalurkan sekelip mata ke serata pelosok dunia tanpa sebarang sekatan mahupun sempadan.

Era globalisasi dengan kemajuan dan kecanggihan teknologi memacu daya pemikiran masyarakat pada hari ini. Masyarakat menjadi semakin terbuka, kritis dan berani menyuarakan pandangan dan hak masing-masing

Tambahan pula, keadaan politik yang semakin goyah dan tidak sestabil dahulu. Kalau dahulunya parti memerintah memiliki dua pertiga dalam Dewan Rakyat. Namun pada hari, hanya simple-majoriti dan hakikatnya mendatangkan banyak kesan kepada sistem sosiopolitik di negara ini. Kini sudah ada negeri yang diperintah oleh Parti Pembangkang yang  boleh dijadikan asas perbandingan bagi rakyat untuk menilai keberkesanan corak kepimpinan parti-parti politik di negara ini.

Semuanya ini berbeza antara zaman 70-an dengan zaman era milenium.

SPRM wajar muhasabah diri dengan menilai kekurangan dan kekuatan yang ada untuk mengalas tanggungjawab yang semakin berat dan mencabar ini. Strategi dan pendekatan harus dikaji untuk menyesuaikan senario semasa. Globalisasi, situasi politik, kecanggihan teknologi, perubahan budaya dan corak pemikiran masyarakat, tingkah laku dan modus operandi penjenayah yang semakin kompleks menjadi elemen-elemen penting yang harus difahami agar strategi dan pendekatan tidak tersasar. Persoalan-persoalan ini wajar dikupas untuk memastikan kelangsungan dasar-dasar pencegahan rasuah yang diperkenalkan Kerajaan dimanfaatkan serta dinilai masyarakat sebagai suatu perjuangan yang memerlukan penglibatan serta kerjasama segenap lapisan masyarakat.

Ucapan Y.A.Bhg Tun Abdul Hamid bin Haji Mohammed, Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM menjelaskan bahawa usaha dan tindakan memerangi rasuah pada hari ini amatlah mencabar. Sekiranya Tan Sri Harun Hashim dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada hari ini sekalipun, beliau tidak akan mampu berjaya sebagaimana yang telah dilakukannya pada zaman 70-an. Kedua-dua zaman adalah amat berbeza sama sekali.

Kesungguhan Kerajaan sebenarnya tidak harus dipertikaikan. Ini kerana telah banyak inisiatif dan dasar dilaksanakan bagi mengekang masalah rasuah. Semuanya terbaik malahan dikagumi oleh dunia luar walaupun diperlekehkan oleh segelintir masyarakat dalaman yang berkepentingan tertentu.

Seminar “Crimilinalization of Bribery” yang dianjurkan SPRM dan ADB/OECD dalam bulan September 2010 yang lalu memperlihatkan maklum balas yang cukup positif masyarakat antarabangsa terhadap usaha Kerajaan dan SPRM dalam memerangi rasuah di negara ini. Namun masih ada segelintir masyarakat yang memandang remeh usaha-usaha yang telah dilaksanakan selama ini. Bagi SPRM pujian bukanlah suatu perkara yang dijadikan KPI untuk menentukan keberkesanannya. Apa yang penting, kesungguhan dan sokongan sebilangan besar masyarakat merupakan faktor yang menjadi keutamaan.

Jika diukur dasar dan kesungguhan Kerajaan Malaysia terhadap usaha memerangi rasuah berbanding negara-negara lain termasuk negara-negara yang sering dijadikan tanda aras seperti Hong Kong dan Singapura, dasar dan program yang diperkenalkan di Malaysia adalah jauh lebih baik.

Cabaran yang paling getir dalam kita memerangi rasuah di alaf ini ialah bilamana isu rasuah dipolitikkan. Rasuah dijadikan senjata untuk menghentam dan memburuk-burukkan pihak-pihak lawan khususnya pemimpin-pemimpin Kerajaan. SPRM sering dijadikan makanan yang sedap diratah. Dalam erti kata lain, SPRM adalah antara institusi terbaik untuk dihentam, dicaci dan ditaburkan kebencian. Ini kerana sifat SPRM sendiri berkait dengan isu integriti dan ketelusan Kerajaan.

Kredibiliti dan imej SPRM adalah kredibiliti dan imej Kerajaan. Menghentam SPRM bermakna menghentam Kerajaan. Sekiranya rakyat sudah tidak mempercayai SPRM maka rakyat juga tidak akan mempercayai Kerajaan.

Perbuatan segelintir pimpinan politik yang menjadikan rasuah sebagai bahan politiknya untuk memburuk-burukkan sesetengah pihak yang lain wajar dihentikan. Ini kerana ia amat berbahaya kepada aspek ketenteraman dan keharmonian negara. Maka itu banyak cerita-cerita bohong, fitnah dan tohmahan-tohmahan liar direka untuk mewujudkan kebencian rakyat terhadap pemimpin dan kerajaan.

Mempolitikkan isu rasuah juga sering dijadikan strategi untuk mengelakkan tindakan pihak berkuasa khasnya SPRM. Siasatan dan tangkapan kes-kes rasuah dipihak pembangkang dikatakan sebagai konspirasi menjatuhkan mereka.

Terasa begitu pelik apa yang berlaku pada hari ini di mana suspek yang disiasat agensi penguat kuasa tanpa segan silu memanggil media massa untuk diadakan sidang akhbar bagi menjelaskan bahawa beliau disiasat dan konspirasi sentiasa dijadikan alasan bagi mengaburi dan memindahkan  kesalahan yang dilakukannya.

Kesannya, rakyat berasa simpati dengan si penjenayah dan menghentam agensi yang menyiasat.

Masyarakat harus sedar dengan mainan kotor ahli-ahli politik sebegini. Petikan berikut wajar direnungi iaitu Corruption is not about who, but is about harm. Rasuah bukan mengenai kedudukan atau pangkat seseorang, ia harus dilihat berdasarkan kesan atau impak yang diwujudkannya. Dalam erti kata lain, isu ikan besar atau ikan bilis tidak penting, tetapi masyarakat harus melihat dari perspektif yang lebih besar iaitu kesan akibat daripada perlakuan rasuah yang berlaku.

Mengambil contoh beberapa kes kebelakangan ini iaitu berkaitan kecurian pasir di seluruh negara. Yang ditangkap hanya ikan bilis tetapi kesan persekitaran dan kerugian kewangan yang dialami kerajaan adalah besar. Begitu juga kes Imigresen di Pulau Ketam. Beberapa orang yang ditangkap dan didakwa hanya berjawatan Kumpulan Sokongan, tetapi kesan membenarkan warga asing masuk tanpa pengenalan perjalanan yang sah menyebabkan lain-lain jenayah berlaku dan seterusnya mengancam keselamatan negara.

Rasuah adalah jenayah. SPRM bukanlah badan politik. Tindakan SPRM berlandaskan undang-undang. Tindakan SPRM bukan dek desakan atau bermotifkan politik. SPRM tidak tunduk kepada arahan atau telunjuk mana-mana pihak. Oleh itu, ahli-ahli politik jangan menggunakan SPRM atau rasuah sebagai senjata untuk menjatuhkan lawan masing-masing. Banyak kesan buruk boleh berlaku sekiranya rasuah dipolitikkan, antaranya:

  1. SPRM tidak lagi boleh berfungsi sebagai agensi yang berkesan kerana semua tindakannya dipolitikkan;
  2. SPRM akan lebih menumpukan strateginya kepada isu imej dan keyakinan masyarakat dari menumpukan kepada siasatan kes rasuah;
  3. Penjenayah dengan mudah mengelakkan tindakan undang-undang dengan menjadikan konspirasi sebagai asas mengalih pandangan masyarakat;
  4. Menimbulkan kebencian rakyat kepada SPRM;

PDF Creator    Send article as PDF   

, , , ,

3 Comments

Rasuah : Antara Realiti dan Persepsi

oleh : http://hijauaman.blogspot.com

Salam Hijau Aman…

Aku menulis di sini sebagai orang biasa yang hanya berpersepsi, persepsi aku ini adalah melalui pengalaman aku yang dulunya adalah realiti.

Realiti dan persepsi dilihat dua perkara yang berbeza, tidak kira di dalam ruang lingkup apa pun. Namun, kadang-kadang persepsi itulah yang akan menjadi asas terciptanya realiti.

Ibarat Adik Beradik Wright yang mencipta kapal terbang, bagaimana mereka mahukan besi boleh terbang, orang kata mereka gila, namun persepsi orang terhadap idea mereka mencetuskan booster dalam diri Adik Beradik Wright mencipta kapal terbang menjadi realiti.

Dalam ruang lingkup rasuah di negara kita, persepsi orang ramai terhadap rasuah yang berlaku di negara kita begitu buruk, kerja keras SPRM dipandang serong oleh rakyat sekaliannya. Namun ini semua persepsi rakyat yang dilihat akan memburukkan lagi nndeks rasuah di negara kita.

Dalam konteks realiti, SPRM adalah badan yang bertanggungjawab menerangkan kepada rakyat tentang peri buruknya rasuah dalam institusi negara. Tidak dapat tidak SPRM adalah badan yang Bebas, Telus dan Profesional dalam menjalankan tugasnya.

Cuma yang tinggal adalah persepsi rakyat terhadap SPRM untuk percaya atau tidak tentang kebebasan, ketelusan dan tahap profesionalisme pegawai-pegawai SPRM.

Mungkin rakyat ada sebab tersendiri dalam mempercayai persepsi lebih daripada realiti setiap usaha yang dilakukan SPRM dalam membentuk masyarakat yang jijikkan rasuah. Mungkin juga rakyat masih lagi samar tentang usaha yang dilakukan SPRM dalam usaha untuk melahirkan rakyat yang menyedari peri pentingnya memerangi rasuah.

Apa pun persepsi rakyat, ini akan mengundang padah kepada SPRM, persepsi yang memburuk-burukkan SPRM semakin membanjiri di dalam blog-blog, media-media dan di kedai-kedai kopi.

Kemelut SPRM dalam mengajak rakyat untuk bersama-sama memerangi rasuah akan menggapai zaman gelap sekiranya rakyat tidak berganding bahu bersama. Walaupun pelbagai tohmahan persepsi yang menggoncang, namun SPRM tetap utuh bagi menjayakan misi memerangi rasuah.

SPRM hanya mengharapkan kepada rakyat seluruhnya agar menyedari dan memahami bahawa SPRM memerlukan rakyat sekaliannya untuk memerangi rasuah. Tanpa rakyat di sisi SPRM tidak mungkin gah di mata dunia.

Krisis Persepsi Ketidakpercayaan

Krisis persepsi ketidakpercayaan rakyat kepada SPRM telah lama berlaku, bermula namanya Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada SPRM, ianya masih berlaku sehingga hari ini, SPRM dan BPR sama saja, hanya tukar baju saja, itulah ungkapan yang sering kita dengar dalam mana-mana perbualan kita dengan kawan-kawan kita di kedai-kedai kopi.

Penjelasan demi penjelasan dalam menyedarkan rakyat dalam krisis persepsi ini menjadi satu Aspirasi SPRM pada tahun 2010. Namun sejauh mana SPRM dapat mengubah persepsi ini, di mana kurang lebihnya SPRM dalam usaha mendidik rakyat memerangi rasuah.

Sudah menghampiri akhir tahun, SPRM masih lagi tidak dapat memenangi persepsi rakyat, ditambah dengan dunia global dewasa ini, cukup-cukup menyukarkan usaha mengubah persepsi rakyat terhadap SPRM.

Persepsi rakyat terhadap SPRM dengan persepsi rakyat terhadap rasuah adalah dua perkara yang berbeza, persepsi rakyat terhadap rasuah sudah lama disedari, jika tidak masakan SPRM menerima ratusan laporan dalam setiap bulan. Walaupun masih dalam tapisan, tasawwur awalnya menggambarkan rakyat kian memahami tanggungjawabnya kepada negara.

Apa yang menjadi kebimbangan rakyat adalah terhadap SPRM yang dikatakan menangkap ikan bilis, sedangkan ikan jerung dilepaskan sahaja. Inilah persepsi yang menerjah dan menerpa rakyat sekaliannya, walhal realitinya SPRM telah melakukan siasatan. Cuma SPRM tidak mendedahkan hasil siasatannya kerana ianya akan mengganggu siasatan.

Adakah penjelasan seperti ini, akan memuaskan hati dan mengubah persepsi rakyat sekaliannya. Itu mungkin hanya tepuk dada dan tanya selera mereka.

Apa yang penting, rakyat jangan berhenti bercakap tentang rasuah, biar rasa jijik dengan rasuah ini berterusan, tanamkan dalam jiwa setiap anak-anak kita tentang peri jeliknya rasuah, namun janganlah tanamkan persepsi buruk terhadap SPRM. Walaupun benar persepsi itu, maka datanglah berunding dengan pihak SPRM, membetulkan dari dalam. Ianya lebih berkesan daripada mengwar-warkan kepada luar kerana kesannnya cukup parah di masa kelak.

Bersama Lakukan Perubahan Perangi Rasuah.

Salam Hijau Aman…

Free PDF    Send article as PDF   

, , , , , , , ,

2 Comments

Jaminan Keselamatan melalui “Akta Whistle Blower” & Witness Protection Program

Dalam akta SPRM 2010 terdapat peruntukan yang melindungi maklumat. Tetapi sebelum itu, kita harus faham perbezaan mengenai “orang yang memberi maklumat” dan “orang yang membuat aduan”.

Orang yang memberi maklumat bermaksud dia nampak tapi dia tidak terlibat. dia melihat kejadian atau kes rasuah itu berlaku tetapi tidak terlibat dengan transaksi atau pelakuan rasuah yang dilihatnya.


Orang yang membuat aduan pula adalah sama ada dia adalah pemberi rasuah atau orang yang menerima rasuah berkenaan. Pengadu adalah orang yang terlibat secara langsung dengan transaksi rasuah berkenaan sama ada sebagai pemberi atau penerima.

Ketua Pesuruhjaya SPRM memperjelaskan perkara di atas ketika ditemubual pada program Bicara Bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM yang telah diadakan di Arkib Negara tempoh hari.

Saksikan klip penuh di bawah :

PDF    Send article as PDF   

, , , , , , ,

4 Comments

Tumbuk rusuk tiada kesudahan

oleh : NOOR MOHAMAD BIN SHAKIL HAMEED -Serdang, Selangor

PEGAWAI imigresen, majistret, ahli politik, warga korporat dan senarainya semakin panjang apabila kita membelek dada akhbar tempatan mutakhir ini yang melaporkan gejala rasuah di negara kita. Najis ini sudah tidak mengenal mangsa.

Lebih pelik ialah semakin ramai yang ditangkap dan dihukum Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semakin bertambah kes rasuah. Persoalannya ialah di mana silapnya? Apa lagi yang tak kena?

Apa yang nyata dan tidak dapat dinafikan ialah pihak SPRM semakin efektif dan kreatif menjalankan tugas penguatkuasaan mereka tanpa memilih bulu.

Buktinya ramai individu yang berpengaruh dibawa ke muka pengadilan. Mereka menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan amanah.

Namun, isu ini masih tidak menampakkan tanda kesudahannya, malah semakin berleluasa seolah-olah mencabar sistem perundangan.

Akibatnya masyarakat semakin keliru, marah dan menjadi mangsa keadaan pihak pelaku rasuah seperti ini. Adakalanya hak dan kebajikan rakyat dinafi dan dipinggirkan.

Keadaan ini, sekali gus membuktikan hukuman keras semata-mata belum memadai untuk menginsafkan pelaku rasuah.

Tambahan pula, sudah menjadi suatu kelaziman apabila manusia suka kepada harta dan kekayaan.

Itu lumrah dan fitrah kejadian manusia dengan kita tidak boleh menyekat keinginan berkenaan.

Justeru itu, apa yang perlu dilakukan ialah memupuk dan mengutamakan elemen agama dalam diri masyarakat.

Hal ini perlu kerana tiada agama yang menyokong atau membenarkan amalan rasuah. Semua agama di dunia ini mengutuk amalan rasuah.

Kerajaan, pihak berkuasa agama, masyarakat dan keluarga perlu memainkan peranan supaya menerapkan ajaran agama masing-masing ke dalam sanubari ahli keluarga terutama elemen halal dan haram punca sesuatu rezeki yang diperoleh.

Kita percaya ilmu agama boleh menjadi pendinding dan ubat paling mujarab untuk mengubati virus rasuah dari terus merebak dan menghancurkan masyarakat kita.


PDF Printer    Send article as PDF   

, , , , , , ,

No Comments

RASUAH, SALAH GUNA KUASA RUNTUHKAN MORAL NEGARA

Oleh : Berita Harian
10/10/2010

Kes rasuah membabitkan segelintir kakitangan Jabatan Imigresen di pintu masuk utama negara menghangatkan kembali isu penyelewengan kuasa dalam sektor awam, khususnya di kalangan penguat kuasa. Wartawan Edisi Mingguan, AHMAD NAIM TAHIR dan MOHD AZIS NGAH mendapatkan Timbalan Presiden Transperancy International Malaysia (TI-M), Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan dan Presiden CUEPACS, Omar Osman untuk membincangkan isu ini


BAGAIMANA TI-M melihat isu penyelewengan kuasa dan rasuah dalam konteks Malaysia.TI-M memandang berat dan mengharapkan isu penyelewengan kuasa dan rasuah ditangani bersama secara tuntas dan lebih sistematik lagi. Kami merakamkan tahniah atas kerja kuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Menyentuh kes segelintir kakitangan imigresen baru-baru ini, beberapa persoalan timbul antaranya berapa ramai kakitangan terbabit dan apakah kakitangan atasan saja serta berapa lama penyelewengan kuasa dan rasuah terjadi?

Apakah tidak ada usaha dalaman (imigresen sendiri) menangani soal meningkatkan integriti kakitangan mereka dan tidakkah pihak bertanggungjawab imigresen melihat perkara ini adalah barah dalam organisasi yang perlu dipulihkan, malah dicegah terlebih dulu? Cukupkah usaha memindahkan kakitangan kerana tidakkah nanti perkara sebegini merebak ke tempat lain? Apakah rasuah kewangan saja berlaku atau membabitkan seks? Apakah kita berpuas hati usaha pemulihan, khususnya berkaitan jati diri kakitangan terbabit dan apakah usaha pencegahan seterusnya untuk jangka panjang dan jangka pendek?

Dilaporkan mereka yang terbabit ialah pegawai muda dan lama. Tentu ini memberi imej dan implikasi buruk bukan saja terhadap imigresen dan institusi kakitangan beruniform, malah negara yang ingin membuat transformasi bebas rasuah serta menerapkan imej kakitangan kerajaan yang berintegriti tinggi setiap masa.
Dengan imej kakitangan dan pegawai beruniform ditangkap rasuah dan penyelewengan kuasa, akan merudumkan Indeks Persepsi Rasuah negara pada peringkat antarabangsa. Penjawat awam tidak boleh menyalahgunakan kuasa untuk diri, keluarga atau kerabat sendiri. Dalam pemikiran Melayu, ‘elok kain eloklah coraknya, elok pemimpin eloklah negerinya.’ Penulis terkenal Austria, Karl Kraus (1874-1936) mengingatkan rasuah lebih buruk daripada pelacuran yang meruntuhkan moral kerana rasuah meruntuhkan moral negara.

Sejauh mana kita berjaya menangani tanggungjawab ini selepas menjenama semula SPRM serta kewujudan Insititut Integriti Malaysia (IIM) dan Pelan Integriti Nasional (PIN) sejak 2004.
PIN dilancarkan selaras dengan cabaran keempat Wawasan 2020, iaitu membentuk masyarakat yang kukuh ciri moral dengan warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian utuh serta ditunjangi budi pekerti luhur. Ia merangkumi strategi untuk pemantapan amalan integriti dan etika baik, tentunya termasuk membanteras rasuah dan penyelewengan kuasa melalui lapan komponen iaitu keluarga, komuniti, masyarakat, agama, ekonomi, sosiobudaya, politik dan pentadbiran.

Tadbir urus yang baik adalah kunci utama kejayaan polisi dan inisiatif kerajaan. Program Transformasi Kerajaan (GTP) berkaitan rasuah menunjukkan kemajuan membanggakan, antara lain meluluskan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, penyenaraian penganugerahan kontrak kerajaan melalui halaman procurement (perolehan), pekeliling untuk menyelesaikan kes rasuah dalam masa 12 bulan, melaksanakan kerjasama integriti pelaksana projek, menyenaraikan nama individu terbabit rasuah menerusi laman web SPRM dan surat pekeliling mengenai panduan ‘surat sokongan’ daripada pihak bersangkutan. Dalam NKRA menerusi enam terasnya, antara lain fokus berkaitan rasuah ialah semua perolehan kerajaan menggunakan tender terbuka atau tender terhad bagi memerangi rasuah.

Jika jenayah ini boleh dihapuskan, mengapa ia masih berterusan sehingga agensi seperti SPRM dilihat gagal memenuhi tanggungjawab dan menjadi sasaran kritikan masyarakat.

Rasuah boleh dihapuskan jika semua pihak terbabit, ia bukan tugas Perdana Menteri seorang atau SPRM. Dengan sumber kepakaran dan kewangan terhad, tentu agak mustahil SPRM menangani semua kes rasuah secara terperinci. Semua pihak perlu memikul tanggungjawab murni ini dengan lebih gigih dan iltizam berterusan sepanjang hayat. Pembabitan proaktif semua agensi kerajaan dan institusi pendidikan serta institusi agama dan budaya, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) khususnya belia dan wanita, selain media amat diperlukan dalam memberi maklumat terperinci serta semasa supaya dapat meningkatkan kesedaran dan keinsafan. Celik nurani sifar rasuah harus dirancang dan dilaksanakan dengan lebih teratur tanpa bermusim. Usaha pencegahan dan pendidikan perlu diselaras dan dipertingkatkan.

Bagaimana dengan tanggapan masyarakat hanya ‘ikan bilis’ jadi sasaran, bukan jerung.

Mengikut SPRM, agensi tidak mengenal warna kulit dan perbezaan politik, bertindak berdasarkan aduan dan bukti. Kita harap apa dikata dikotakan. Kita menyambut baik jika lebih banyak ‘jerung’ di bawa ke pengadilan. Suatu ketika, beberapa ketua jabatan dan ‘jerung’ sederhana besar direman kerana rasuah. Walaupun tidak ada perbandingan bilangan bilis dan jerung, persepsi awam inginkan banyak lagi jerung dihadapkan ke mahkamah.

Ada orang berkata, hanya penerima rasuah yang dikenakan hukuman, manakala pemberi rasuah bebas dan ia memberikan gambaran memberi rasuah tidak salah, apa yang salah ialah menerima rasuah.

Dalam hadis riwayat al-Tarmizi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah mengutuk pemberi dan penerima rasuah serta pengantara dalam urusan rasuah. Pemberi rasuah dan penerima adalah penghuni neraka.” Gejala ini amalan buruk dan menggambarkan betapa longgar nilai moral masyarakat serta memperlihatkan amalan tadbir urus yang tidak cekap. Bagi memberi perhatian saksama kepada pemberi dan penerima rasuah, kita perlu memastikan kedua-dua pihak dibawa untuk pengadilan, hukuman setimpal (lebih berat kepada pemberi), hebahan umum dibuat secara saksama kepada pemberi dan penerima rasuah, pemulihan bersama kepada pemberi dan penerima rasuah secara teratur dan sistematik, pemantauan saksama juga kepada bekas penerima dan pemberi rasuah. Apakah hukumannya sama bagi pemberi dan penerima rasuah?

Antara langkah dicadangkan bagi membanteras rasuah ialah tindakan Akta Keselamatan Dalam Negeri selain menukarkan tempat bertugas selepas tempoh tertentu. Adakah ia sesuai.

Apa saja usaha mencegah salah laku penjawat awam serta menghukum untuk menginsaf kakitangan lain dialu-alukan. Amalan menukarkan tempat bertugas wajar agar bukan saja mencegah salah laku kakitangan itu, malah meningkatkan pendedahan dan kemahiran kakitangan berkenaan. Dicadangkan juga mewujudkan jawatan pegawai integriti/unit integriti dan pelan integriti di jabatan masing-masing, kenaikan pangkat dipastikan bebas rasuah, dimestikan kakitangan mengisytihar aset dan hutang setiap enam bulan kepada ketua terdekat, pemantauan cara perbelanjaan dan gaya hidup kakitangan, pendedahan dan kursus wajib pencegahan rasuah serta penghayatan nilai murni dan agama khususnya sadiq, amanah, tabligh, fatanah. Setiap kakitangan atau ketua mereka perlu lebih putih. Tindakan di bawah ISA harus juga dilaksanakan. Mungkin perlu kita renungkan bersama hukuman pesalah rasuah di China, iaitu mati mandatori. Adakah hukuman drastik ini mampu membanteras rasuah di negara kita?

Tingkat integriti kakitangan di kawasan panas

KES beberapa kakitangan imigresen ditangkap kerana disyaki menerima rasuah seolah-olah menguatkan lagi tanggapan umum gejala itu lumrah dalam perkhidmatan awam.

CUEPACS memandang serius apa yang berlaku di pintu masuk negara kerana penjawat awam daripada peringkat bawahan hingga pegawai ialah pemegang amanat penting. Mereka perlu pastikan pihak yang masuk tidak mengganggu keselamatan negara. Mereka terdedah kepada pelbagai faktor dan CUEPACS juga terkejut dengan pendedahan ini. Walaupun Jabatan Imigresen menjadi fokus, banyak lagi agensi terkena tempias. Apabila berlaku kes seperti ini, kita harap persepsi awam janganlah fokus negatif kepada semua agensi kerajaan, memang betul kata orang kerana seekor kerbau bawa lumpur, semua terpalit. Tanggapan itu tidak begitu tepat kerana bukan semua tidak bertanggungjawab. Kita harap mereka di kawasan terdedah dan berisiko sentiasa menjaga integriti dan tanggungjawab. Saya minta mereka menanam semangat cintakan negara dan jangan ambil mudah soal keselamatan.

Ada yang mahu penjawat awam disyaki rasuah dipecat berbanding dipindahkan ke jabatan lain.

Apa saja kesalahan mesti disiasat, dipanggil menghadap dan jabatan perlu mainkan peranan. Bagi kes jenayah, mereka diserahkan kepada polis atau SPRM, melalui proses perundangan dan kalau perlu dibuang kerja, mereka kena terima. Tindakan pindah ke tempat lain memang wajar sebagai langkah awal dan gantikan mereka dengan pasukan baru supaya kesilapan tidak berulang. Selepas siasatan, baru tindakan seterusnya dikenakan. Apabila babitkan rasuah, kena bawa ke pengadilan. Jika bersalah, mereka akan dikenakan tindakan tegas, gantung kerja, buang kerja atau apa saja tindakan sesuai. Mungkin yang ditukarkan tidak terbabit, cuma untuk membersihkan imej, kalau tidak bersalah mereka boleh teruskan kerja. Kalau kekalkan saki-baki, mungkin mereka masih ada hubungan dengan mana-mana pihak dan boleh timbulkan masalah kepada pasukan baru dan senang kawal serta pulihkan keadaan. Mungkin ada alasan mereka tidak tahu kegiatan salah laku, jawapan itu tidak boleh diterima kerana mereka bukan baru sehari dua bekerja di situ. Banyak saluran boleh diguna untuk dedahkan maklumat seperti ketika mesyuarat atau pihak atasan, yang penting jangan subahat.

Apakah pandangan saudara terhadap cadangan SPRM menempatkan pegawainya sebagai pengintip di kawasan panas yang dikenal pasti bagi membanteras gejala rasuah.

Ia bagus dan sesuai dalam konteks hapuskan rasuah di jabatan yang berkepentingan. Setakat mana spy boleh berkhidmat dan di mana patut berada bergantung kepada kebijaksanaan SPRM. Spy tidak akan menahan dan menangkap pesalah, tetapi maklumat risikan yang diperoleh penting untuk tindakan susulan. Saya nampak itu penting untuk menangani rasuah kerana mesti ada pemberi dan penerima, maknanya ada pergerakan babitkan banyak pihak. Ia perlu diperluaskan kepada agensi lain terutama yang banyak dapat aduan atau berdepan pihak luar atau orang ramai yang memungkinkan wujudnya peluang untuk rasuah khasnya agensi berkaitan urusan kewangan. Ini satu sistem yang boleh dipraktikkan dan pasti akan berkesan.

Bagaimana pula dengan cadangan tindakan ISA diambil terhadap kakitangan Jabatan Imigresen dan orang tengah yang ditahan kerana rasuah.

Tindakan ISA terlalu agresif kerana perkara itu masih dalam siasatan. Ini lebih kepada salah guna kuasa dan kedudukan, tidak begitu serius berbanding ancaman keselamatan lain. Mungkin ada pertimbangan lain. Jika terbukti salah, mereka boleh dibuang kerja, itupun cukup berkesan kerana pesalah hilang semua hak sebagai penjawat awam termasuk pencen. Rekod buruk juga susah nak minta kerja.

Kenapa rasuah kakitangan awam masih berterusan. Apakah kerana gaji kecil.

Rasuah berlaku di mana saja. Punca pertama keinginan berbelanja melebihi kemampuan. Pendapatan kecil tetapi berlagak seperti orang mampu, apabila tidak mampu dan tak boleh kawal nafsu, mula lupa diri dan bertindak di bawah kawalan akal. Pada masa itulah timbul peluang kerana kita tahu sindiket rasuah sentiasa menunggu peluang terbuka. Jika ada yang tidak boleh kawal nafsu, dialah jadi sasaran. Kalau setakat mampu beli Proton, beli rumah tiga bilik, mana logik samakan dengan orang yang mampu beli BMW, banglo beratus ribu dan berbelanja mewah. Kalau hati tidak boleh kawal ditambah pula iman tipis, susahlah sebab mereka sanggup buat apa saja untuk capai hajat. Ketika itulah ada pihak bagi peluang untuk kaya. Kalau bergantung kepada kenaikan gaji empat tahun sekali, memang tidak cukup tetapi kita kena berhemah dan bijak berbelanja; kalau berminat, buat kerja lebih masa selepas waktu bekerja. Jangan rapat dengan orang yang ada kepentingan, mereka sentiasa ada duit hendak ‘beli’ kita, sebab tahu kita boleh mudahkan urusan.

Akhir sekali, perlukah tapisan lebih ketat dibuat sebelum kerajaan membuat pengambilan baru kakitangan awam bagi menghalang penjawat awam daripada terbabit rasuah.

Sistem yang terbabit dalam jabatan penguatkuasaan undang-undang perlu diteliti kelayakan mereka. Jika Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) wajib kursus dua tahun, kita boleh guna pendekatan sama terhadap anggota lain kerana sekarang cuma kursus jangka pendek. Keduanya, tidak boleh terlalu lama bertugas di satu kawasan, maksimum tiga tahun. Kadangkala pertukaran pun cuma pada peringkat bawahan. Hal ini perlu diselesaikan kerana pihak atasan adalah penentu dalam jabatan dan perlu dielak daripada menjadi sasaran mudah sindiket. Jika tidak ditukar wujud situasi orang baru jangan bersuara, kami lebih tahu apa yang perlu dibuat. Jika semua orang baru, mereka lebih senang bekerjasama. Elak sikap terlalu rapat dengan orang luar hinggakan mereka tidak hormat anggota bawahan dan hanya berurusan dengan pegawai atasan. Setakat ini, tak ada satu sistem pertukaran tetap mengikut tempoh tertentu.

PDF Download    Send article as PDF   

, , , , , ,

5 Comments

Kunta Kinte original: Penjenayah lepas sebab isu teknikal

Oleh : Kunta Kinte .. 2010/10/01

MINGGU ini Kunta Kinte nak cakap pasal apa yang Kunta Kinte anggap kehakiman lawan pendakwaan. Nampak seakan-akan yang berlawan bukan pendakwa raya dengan tertuduh, tapi antara pendakwa raya dengan hakim.


Minta maaflah Kunta Kinte rasa dan kata macam tu. Bukan pasal apa, tapi pada kebelakangan ni, banyak kes sensasi dan profil tinggi, tak kira kes bunuh, edar dadah atau rasuah, ditolak oleh hakim.


Bukan sikit punya tolak. Tertuduh dibebas dan dilepaskan. Semalam pun satu kes sensasi yang babitkan seorang drebar lori yang dituduh edar dadah dibebas dan dilepas oleh mahkamah.

Bukan alang kepalang punya tuduhan. Lee Yong Toe, 48 tahun dari Taman Iskandar, Johor Bahru, Johor dituduh edar 753,359 gram dadah syabu yang nilainya lebih RM200 juta pada 2 Mei tahun lepas.

Tapi hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Akhtar Tahir, bebas dan lepaskan tertuduh sebab pihak pendakwaan gagal buktikan kes prima facie.

Tak kisahlah kalau Lee ditangkap balik sebaik saja dia keluar mahkamah. Sekarang pendakwa raya dah tak boleh dakwa dia dengan tuduhan sama sebab dah masuk bab double jeopardy.

Yang jadi kerisauan kepada Kunta Kinte dan kepada the people yang faham hal ini adalah pihak pendakwa raya yang duduk di bawah jagaan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail, telah gagal buktikan kes.
Sebab itulah Kunta Kinte tak seronok sangat bila seorang yang disyaki dalam kes bunuh, samun, rogol atau rasuah dihadapkan ke mahkamah pasal belum tentu sabit kesalahan.

Dalam kes drebar lori ini, Pesuruhjaya Kehakiman Akhtar buang kes sebab pihak pendakwa gagal buktikan yang dadah RM200 juta itu milik tertuduh. Kepada Kunta Kinte nampak macam satu lagi penghujahan teknikal.

Akhtar kata, pendakwa raya gagal panggil dua saksi penting yang pada pandangan dia adalah penentu kes itu. Kunta Kinte pun hairan pasal apa tak panggil.

Ini bukan kali pertama pendakwa raya dan polis gagal siapkan kes yang kukuh atau gagal kemukakan saksi penting.

Jun lalu seorang penghantar gas dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang daripada tuduhan bunuh tukang urut tradisional, tujuh tahun lalu.

Kes rasuah lagi teruk. Boleh kata semua kes sensasi, profil tinggi dan libatkan orang terkenal dan ternama gagal dibuktikan oleh Pejabat Peguam Negara dengan bantuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Kes macam mendiang Tan Sri Eric Chia pada tahun 2007; bekas Ketua Pengarah FELCRA, Datuk Mustapa Juman, pada 2009; bekas Menteri Tanah dan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam, dan EXCO Kerajaan Selangor, Datuk Saidin Thamby.

Pada 17 Jun lalu, Mahkamah Sesyen Temerloh, Pahang, buang kes rasuah bekas Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamad Norza Zakaria, atas alasan lapan saksi tidak bagi kerjasama.

Jadi Kunta Kinte harap kita janganlah seronok sangat atau rasa selamat bila orang yang disyaki membunuh dihadapkan ke mahkamah, apatah lagilah kes sensasi yang dapat banyak liputan media massa.

Bukan apa, tapi sudah banyak kali kita kena main. Dok tak dok, tertuduh dilepas dan dibebaskan oleh hakim pasal tak cukup bukti atau atas sebab-sebab teknikal.

Maaf cakaplah kalau Kunta Kinte kata nampak-nampaknya kehakiman kita banyak tolak kes sensasi dan profil tinggi semata-mata atas alasan teknikal.

Jadi tak hairanlah kalau dalam beberapa kes sensasi dan profil tinggi yang sedang dibicarakan sekarang, pihak pembela guna macam-macam isu teknikal untuk sekat atau lengah-lengahkan perbicaraan.

Sebagai rakyat biasa, pembayar cukai dan pengundi, kita tentulah sangat terkilan dan amat takut bila pembunuh, perogol, perompak, pemukul pembantu rumah dan pemakan rasuah bebas kerana isu teknikal.

Lagipun, bila kita sebut pasal rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan, kita bukan tuju kepada kerajaan saja. PDRM, SPRM dan Pejabat Peguam Negara pun kena buat juga.

Sangatlah menakutkan bila penjenayah dibebas dan dilepas ke dalam masyarakat kerana polis dan SPRM tak siasat rapi dan Pejabat Peguam Negara pula gagal kemukakan pertuduhan yang ketat dan padat.

Sekarang rakyat jelata dalam ketakutan. Tengok sajalah pagar, palang besi, tong minyak dan pengawal keselamatan Nepal di merata taman perumahan. Dah macam zaman darurat dulu.

Rakyat jelata yang dalam ketakutan atau yang sudah jadi mangsa jenayah, bertanya di mana kesejahteraan, keamanan dan keselamatan yang dijanjikan dalam manifesto Barisan Nasional pada pilihan raya umum lepas?

Wallahualam bissawab.

Create PDF    Send article as PDF   

, , , , ,

4 Comments