Posts Tagged politik

Penduduk buat memorandum rasmi kepada SPRM, persoal tindakan ADUN Teratai

PUTRAJAYA , 8 Mac 2013 – Persatuan Penduduk Pandan Perdana hari ini membuat memorandum rasmi berhubung  kutipan derma yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Janice Lee bagi pembinaan sebuah  Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang telah dijanjikan kepada mereka.

Bekas  ahli DAP, Tony Tan ketika bercakap mewakili penduduk berkata,  mereka meminta supaya SPRM menyiasat tentang kutipan derma yang dibuat oleh ADUN berkenaan sejak tahun 2008.

Katanya dengan kutipan tersebut penduduk telah dijanjikan pembinaan sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina di kawasan tersebut.

“Kami mahu SPRM menyiasat kes ini kerana ia membabitkan seorang Yang Berhormat dimana beliau telah menggunakan cara tidak betul untuk mengutip derma dengan menabur janji.

“Kami punya bukti dan hari ini wakil penduduk akan membuat memorandum rasmi mengenai perkara tersebut,” katanya.

Naib Pengerusi Persatuan Penduduk, Terence Ee  pada masa sama turut mendakwa bahawa Adun Teratai tersebut telah membuat kutipan derma daripada penduduk setempat  termasuk ketika sessi ceramah dan pasar malam bagi tujuan pembinaan sekolah yang telah dijanjikan itu.

Menurutnya, pihak penduduk hanya mahu ADUN berkenaan menjelaskan jumlah kutipan derma yang telah diterimanya sehingga kini memandangkan pembinaan sekolah tersebut dianggap tidak mempunyai unsur politik.

Tambahnya, apa yang menjadi tanda tanya penduduk ialah ketiadaan permohonan daripada ADUN tersebut untuk pembinaan sekolah  yang dicadangkan di sebuah tanah seluas lima ekar milik kerajaan negeri Selangor.

“Tanah tersebut perlu ditukar milik terlebih dahulu sebelum dibina  sekolah. Sekiranya tiada penukaran hak milik tanah bagi tujuan pembinaan institusi maka ianya tidak diserahkan kepada Kementerian Pendidikan, dan tiada sekolah yang boleh dibina diatasnya.

“Bagaimanapun,  permohonan tidak pernah dibuat walaupun kami pernah dimaklumkan sebanyak 22,000  tandatangan kononnya telah diperoleh daripada orang ramai bagi menyokong pembinaan sekolah tersebut,” dakwanya ketika memberi kenyataan di hadapan ibu pejabat SPRM Putrajaya hari ini.

Terence turut menggesa ADUN Teratai itu tampil menunjukkan bukti  iaitu minit mesyuarat berkenaan permohonan kepada kerajaan negeri yang dibuat sekiranya beliau pernah mengemukakan permohonan tersebut dalam Sidang DUN.

Ahli persatuan penduduk yang hadir turut mengibarkan kain rentang yang tertera “YB Janice Lee, dimana pergi wang kutipan untuk Sekolah Rendah Cina”.

TAMAT.

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , , , ,

No Comments

SPRM … Antara kejayaan dan kekangan

Ihsan : http://www.mpkotabelud.blogspot.com/

Salam,

 

Hari ini saya bersama ahli-ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah mengadap Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di Istana Negara untuk menerima surat cara perlantikan dari Baginda Tuanku. Jawatankuasa ini terdiri daripada ahli-ahli parlimen dari BN dan PR. Ini adalah penggal kedua untuk saya. Rakan-rakan lain di dalam jawatankuasa tersebut ialah YB Dato Seri Radzi Ahmad (BN-Kangar), YB Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), YB Datuk Ismail Mutallib (BN-Maran), YB Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian), YB Datuk Doris Sophia Brodi (BN Senator/ Timbalan Yang DiPertua Dewan Negara) dan YB Yusmadi Yusoff (PKR- Balik Pulau).

 
Sepanjang penggal pertama, saya mendapat banyak pengalaman dan pengetahuan mengenai perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan fenomena rasuah di negara kita.
Ada banyak isu-isu yang kami bincang dalam jawatankuasa ini. Ada yang diterima oleh kerajaan dan ada yang masih belum terlaksana kerana kekangan-kekangan yang tidak dapat dielakkan.
Antara yang diterima ialah penambahan bajet tahunan SPRM, penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan sendiri, penambahan staff, menyukarkan pelucutan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM secara sewenang-wenangnya oleh kerajaan supaya beliau tidak perlu gentar dengan kedudukannya, penubuhan akademi SPRM dan lain-lain lagi.
Cadangan lain yang masih dalam perhatian kerajaan ialah memberi kuasa pendakwaan kepada SPRM tanpa perlu melalui Peguam Negara dan cadangan meletakkan SPRM di bawah seliaan Parlimen secara langsung dan bukannya Jabatan Perdana Menteri.
Untuk makluman, menurunkan kuasa mendakwa kepada SPRM tanpa melalui Peguam Negara memerlukan pindaan perlembagaan dan untuk diluluskan di parlimen sekurang-kurangnya dua pertiga undi ahli-ahli parlimen mesti menyokong usul tersebut.

Saya sebenarnya agak risau dengan cadangan ini kerana walaupun nampak ianya baik kerana tidak perlu kebenaran Peguam Negara, namun ianya melanggar prinsip pengasingan fungsi menyiasat dan menuduh seperti dalam sistem kehakiman kita di mana polis menyiasat, Peguam Negara menuduh dan hakim mengadili.

Bayangkan kalau sesebuah agensi itu mempunyai kuasa untuk menyiasat dan menuduh. Kemungkinan salah guna kuasa boleh berlaku kerana ketiadaan “check and balance”. Kemungkinan penganiyaan berlaku adalah tinggi terutamanya jika SPRM diketuai oleh orang yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai agendanya tersendiri.
Untuk meletakkan SPRM di bawah seliaan Parlimen, saya juga kurang yakin bahawa itulah jalan yang terbaik untuk memperkasakan SPRM. Alasan saya senang.Di Malaysia ini semua wakil rakyat samada dari kerajaan atau pembangkang, baik di Parlimen mahupun Dewan-Dewan Undangan Negeri, akan mengundi mengikut arahan parti masing-masing.
Maknanya, jika SPRM diletakkan dalam Parlimen sekarang, sudah tentu pengundian akan memihak kepada BN kerana BN mempunyai majoriti. Dan saya pasti jika PR menang pilihanraya ke-13 nanti, ahli-ahli parlimen mereka juga akan mengundi mengikut arahan parti mereka. Oleh sebab itu, tidak ada jaminan SPRM akan bebas jika diletakkan di bawah seliaan parlimen. Oleh sebab itu, pandangan mereka yang mengatakan SPRM akan lebih telus dan bebas dari pengaruh mana-mana pihak jika diletakkan dibawah seliaan parlimen mungkin tidak tercapai.

Walaupun sebenarnya ramai ahli-ahli politik dan individu-individu telah ditangkap, didakwa dan dihukum, tanggapan “ikan bilis ditangkap, ikan jerung terlepas” masih menjadi cabaran hebat kepada SPRM. Tidak ramai yang memahami bahawa SPRM tidak boleh bertindak tanpa bukti yang kukuh sebelum membuat pendakwaan. Hanya mengesyaki seseorang terlibat di dalam rasuah (samada realiti atau tidak) tidak dapat membantu SPRM mendapatkan penghukuman oleh mahkamah. SPRM  memerlukan bukti yang tidak dapat disangkal oleh peguam bela untuk mendapatkan keputusan bersalah dari mahkamah. Jika SPRM gagal mendapatkan penghukuman bersalah mahkamah, SPRM juga akan dipersalahkan kerana akan ada tuduhan liar yang mengatakan SPRM sengaja melepaskan batuk di tangga dalam usaha membanteras rasuah di dalam negara kita.

Sebagai rujukan, badan pencegah rasuah yang paling terkenal di dunia seperti ICAC Hong Kong juga memerlukan sekitar 10 tahun sebelum berjaya membuktikan kejayaan dan keberkesanan operasi mereka. Saya rasa kita tidak perlu ambil masa sampai begitu lama untuk menjadikan SPRM sebagai sebuah agensi anti rasuah yang berkesan. Rakyat hanya perlu memberi sokongan moral kepada SPRM sekarang.

Pada penghujung penulisan artikel ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjunjung kasih terhadap DYMM SPB YDP Agong kerana telah berkenan melantik saya sebagai salah seorang dari ahli Jawatankuasa Khas ini.

Sememangnya, perjuangan kita membanteras rasuah mesti dan wajib diteruskan. Insyaallah.

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , ,

No Comments

Rasuah Satu JENAYAH!!…Mengapa Dipolitikkan..

Menjawab soalan yang ditimbulkan, rasuah satu jenayah, kenapa dipolittikkan. Rasuah bukan sekadar jenayah, dia lebih kepada itu, dia ada perkiraan syurga dan neraka. Kewujudan SPRM adalah untuk nak bawak orang masuk syurga.

Dalam Islam adalah jelas dimana yang memberi dan menerima rasuah, tempatnya adalah NERAKA. Saya tidak fikir, meraka yang duduk di SPRM itu hendak menempah diri untuk masuk neraka. Meraka hanya menjalankan tugas mereka. Namun kini, semua perkara sudah dipolittikkan.

Kini, di Negara kita ini , lebih kepada sifat perkauman. Politik adalah berkaitan dengan persepsi. Bagaimana kita menganalisa sesuatu isu itu. Kita tidak berasas kepada what is right what is wrong tetapi memilih untuk menuding jari dan mencari who is right, who is wrong. Sepatutnya kita mencari apa yang benar, apa yang salah dan dibincangkan. Bukannya menyerang keturunan kita sampai ke liang lahad!!!

Kajian persepsi kaum Cina terhadap SPRM :

  • Sprm tidak bebas dan dikongkong kerajaan
  • Kuasa pendakwaan SPRM berat sebelah dan tidak bebas
  • Pendakwaan hanya tertumpu kepada pembangkang
  • Attacking the opposition means attacking the Chinese
  • SPRM Bunuh TBH
  • SPRM dera saksi
  • Kes2 profil tinggi senyap hanya tertumpu kepada kes ikan bilis
  • Selective investigation
  • Selective prosecution

Negara Malaysia menduduki tangga ke 40an negara membangun. Sepatutnya kita melihat pada kebaikan yang ada itu bukan hanya mencari keburukan. Apabila SPRM buka sesuatu siasatan terhadap sesuatu kes, biarkan ia berjalan. Mengapa kita perlu menjadi HAKIM sebelum keputusan dikeluarkan??. Mengapa kita perlu menjadi hakim??, kenapa kita perlu membakar sentiment?, BIARKAN IA BERJALAN DAHULU.

Begitulah sedikit sebanyak kupasan daripada salah seorang ahli panel pada Forum Akademik berkenaan Rasuah satu JENAYAH, Mengapa Dipolitikkan yang telah diadakan pada 15 Julai 201, anjuran UiTM Shah Alam.

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , , , , , , , ,

No Comments

KEMATIAN BENG HOCK TERLALU DIPOLITIKKAN

Usaha pihak-pihak tertentu menganjurkan pelbagai program bertujuan memperingati kematian Teoh Beng Hock pada 16 Julai 2010 ini wajar dihentikan. Tidak salah untuk kita sebagai sebuah masyarakat majmuk yang mengamalkan kebebasan beragama menganjurkan upacara sembahyang memperingati kematian beliau. Namun apa yang disesalkan adalah program sampingan seperti seminar seperti yang dijadualkan di sebelah malamnya.

Saya bertanya pada diri, apakah sebenarnya motif sebenar penganjuran hari memperingati TBH ini? Sebenarnya isu ini telah diambil kesempatan dan digunakan sepenuhnya oleh pihak-pihak tertentu bukan sahaja bagi meraih sokongan masyarakat terhadap fahaman politik mereka malahan menimbulkan perasaan kebencian terhadap pihak berkuasa dan Kerajaan yang memerintah.

Bukankah inkues sedang berjalan. Kenapa harus kita memperdebatkan lagi isu ini menerusi seminar atau sebagainya. Sebagai rakyat Malaysia yang inginkan kedamaian dan keharmonian, wajar kita renungkan bahawa isu atau tragedi ini boleh menjadi minyak yang mampu membakar semangat perkauman yang kuat dan kebencian sesama rakyat Malaysia.

Bagi parti-parti politik, jangan lah sekali-kali mempolitikan isu ini untuk kepentingan diri. Rakyat di negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Tidak dapat dinafikan bahawa walaupun kita telah hidup bersama hampir 53 tahun selepas kemerdekaan dan mempelajari budaya serta adat resam masing-masing, namun hakikatnya bibit-bibit perpaduan masih rapuh. Sekiranya isu-isu sensitif sebegini diapi-apikan dalam masyarakat yang nampak bersatu tetapi terasing ini, saya yakin dan percaya perpaduan yang terjalin akan tergugat akhirnya.

Berbalik kepada isu TBH, sebagai rakyat Malaysia kita amat bersimpati dengan keluarga mendiang atas tragedi yang berlaku. Pihak berwajib seharusnya segera bertindak mempercepatkan proses inkues dan mencari jawapan kepada persoalan punca kematian TBH. Rakyat inginkan jawapan segera. Semakin lama proses ini berjalan, maka semakin luaslah peluang dan kesempatan ini digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk meracuni pemikiran masyarakat Cina khasnya.

Penganjuran aktiviti-aktiviti memperingati TBH ini wajar dibuat dalam bentuk upacara keagamaan sahaja dan tidak harus melibatkan perdebatan terbuka sebagaimana yang dirancangkan.

Saya berasa amat hairan kerana kematian TBH ini boleh disensasikan dan dijadikan modal politik untuk menyemai kemarahan dan kebencian rakyat terhadap parti pemerintah. Dengan rasa rendah diri saya berasa amat simpati dengan keluarga mendiang yang saya rasa telah digunakan sebagai aktor-aktor dalam drama politik yang diterbitkan oleh DAP. Terdetik dihati kecil saya seketika untuk bertanyakan, adakah isu ini akan menjadi mainan politik pembangkang sekiranya yang mati itu bernama Ahmad atau Raju?

Semenjak tragedi yang menimpa TBH, usaha memerangi jenayah rasuah semakin dipolitikkan. Apa yang menghairankan isu ini hanya khusus di negeri Selangor. Pelbagai lapisan pemimpin di Selangor bermula dari Menteri Besar, Exco, Ahli Majlis sehinggalah ke ahli-ahli biasa parti Pakatan Rakyat adalah kebal dari tindakan undang-undang. Setiap tindakan siasatan yang cuba dilaksanakan oleh pihak berwajib dianggap sebagai usaha menyerang dan cubaan menjatuhkan Kerajaan Selangor.

Bermula dari siasatan kes kecurian dan penyeludupan pasir, di mana dua orang pegawai di pejabat ADUN Selangor telah dipanggil untuk membantu siasatan berhubung kes rasuah yang berlaku. Mulalah melompat ADUN-ADUN di Selangor yang mengatakan ini adalah penipuan dan konspirasi menjatuhkan kepimpinan negeri. Cubalah kita renungkan semula bahawa dalam kes kecurian pasir sebagaimana yang diberitakan dalam media masa, seramai 44 orang telah ditangkap di empat buah negeri iaitu Perak, Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan termasuk Selangor. Tangkapan ke atas pegawai dan orang awam di lain-lain negeri berjalan lancar tanpa sebarang isu yang timbul. Namun bila tangkapan dibuat di Negeri Selangor, kekecohan mula berlaku. Pelbagai fitnah dan hasutan mula dibuat dalam media-media alternatif dan blog-blog pro-pembangkang menyatakan ianya penipuan dan konspirasi. Hairan dan sungguh menghairankan kerana kekecohan mengatakan tindakan menahan pegawai kerajaan di lain-lain negeri seperti Perak dan Johor tidak pula diheboh-hebohkan sebagai usaha menjatuhkan Kerajaan negeri yang berkenaan. Kenapa ya? Hanya kerajaan negeri Selangor sahaja yang mempunyai jawapannya.

Kesannya pihak berkuasa seperti SPRM diletakkan dalam keadaan serba salah dan sering menjadi mangsa serangan pembangkang sebagai alat pemerintah untuk menjatuhkan negeri Selangor. Di kesempatan ini juga, saya ingin bertanyakan kepada SPRM, apa sudah jadi dengan dua pegawai pejabat ADUN Selangor berhubung kes pasir ini. Kenapa didiamkan perkara ini? Janganlah dek desakan dan hentaman pembangkang, SPRM menjadi semakin takut untuk menegakkan keadilan. SPRM harus berani bertindak dan jangan tunduk kepada desakan serta tekanan mereka. Ini hanyalah mainan politik untuk mengaburi rakyat atau mengalih perhatian terhadap isu sebenar iaitu rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh mereka.

Adalah tidak wajar dan amat merbahaya jika rasuah dijadikan isu politik. Ini kerana apa jua usaha atau tindakan pihak berkuasa untuk memeranginya khususnya dalam tindakan penyiasatan akan dijadikan modal politik untuk menyerang agensi terbabit atau kerajaan yang memerintah. Beberapa kes kebelakangan ini, sebagaimana yang dilaporkan dalam media, memperlihatkan bahawa masalah ini telah semakin kronik. Dua ADUN yang dipanggil ke pejabat SPRM untuk membantu siasatan telah dikatakan sebagai usaha parti pemerintah untuk menjatuhkan Kerajaan Selangor. Begitu juga kes di mana lima orang ahli majlis sebuah daerah di Selangor yang dipanggil untuk memberikan keterangan juga dikatakan sebagai suatu konspirasi dan usaha jahat menjatuhkan Kerajaan Selangor.

Bagaimanakah kita boleh memerangi rasuah jika semua tindakan yang diambil pihak berkuasa dianggap sebagai konspirasi bagi menjatuhkan Kerajaan Selangor. Adakah pemimpin di negeri ini kebal dari tindakan undang-undang? Adakah rasuah dan penyelewengan digalakkan di Selangor?

Rakyat Malaysia keseluruhannya harus sedar bahawa selama ini apa yang diperjuangkan oleh parti-parti politik di bawah payung Pakatan Rakyat ini hanyalah bersifat kepentingan peribadi, perkauman dan sensasi semata-mata. Mereka seumpama penjajah yang sentiasa memecah belahkan rakyat untuk kepentingan masing-masing. Ketiadaan pengalaman memerintah, kerakusan terhadap kuasa, kekurangan dana dan tiada hala tuju membuatkan mereka mengalihkan kelemahan-kelemahan yang ada kepada isu-isu sensasi agar masyarakat tidak memberi fokus untuk menilai keberkesanan pemerintahan mereka. Mereka sebenarnya telah gagal untuk membuktikan kepada rakyat bahawa mereka mampu membawa perubahan dan kemajuan kepada negeri yang diperintah.

SYAIKHS

KUALA LUMPUR

13 JULAI 2010.

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , ,

1 Comment

Kes P.I Bala dipolitikkan

SEJAK awal lagi saya tertanya-tanya apakah istimewanya P.I Bala sehingga SPRM terpaksa tunduk mengikut telunjuk dan rentak mainan politik peguamnya. Saya menyokong pandangan dan nasihat Jabatan Peguam Negara agar SPRM tidak meneruskan niat bertemu dengan P.I Bala di London.

Hanya membazirkan wang, masa dan tenaga menemui seorang saksi yang boleh diibaratkan sebagai lalang, sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Sekiranya beliau benar-benar jujur dan ikhlas untuk menegakkan kebenaran serta keadilan, beliau pasti sanggup tampil menemui SPRM tanpa syarat.

Kes ini amat unik kerana seharusnya apa jua tindakan dalam melaksanakan siasatan wajar diklasifikasikan sebagai rahsia demi keselamatan saksi. Namun, kedua-dua pihak saling berbalas kenyataan dalam media. Sehinggakan ada surat rahsia dipaparkan dalam laman web untuk tatapan umum.

Kesemuanya ibarat plot dalam sebuah drama yang penuh dengan tanda tanya. Hanya peguam P.I Bala yang tahu tentang motif dan tujuan sebenar di sebalik kenyataan dan tindakan mereka. Kesemua tindakan melarikan, menyorok, provokasi dan kenyataan dalam media menjelaskan bahawa ia dirancang dengan amat teliti untuk tujuan politik pihak tertentu. SPRM digunakan sepenuhnya sebagai punching bag bagi menghentam dan memburukkan pihak lain. Ia tidak adil kerana agensi ini hanya menjalankan tugas. Seringkali dilihat SPRM terperangkap dengan mainan politik ini.

Langkah SPRM menawarkan P.I Bala agar mengemukakan afidavit atau akuan bersumpah sebagai ganti kepada rakaman pernyataannya dianggap wajar. Selama ini pun, terlalu banyak syarat yang dikenakan oleh P.I Bala. Sebagai contoh beliau mahu ketika rakaman percakapan, barisan peguamnya dibenarkan hadir sama. Rakaman juga dibuat dalam bentuk video dan beliau yang menentukan tempat dan sebagainya. Bukankah dengan tawaran menyediakan afidavit jawapan yang diberikan kepada P.I Bala ini memenuhi tuntutan beliau selama ini. Oleh itu tidak sepatutnya peguamnya menolak tawaran SPRM ini.

Sebagai rakyat biasa saya terkejut juga apabila SPRM terperangkap menerima pujukan peguam P.I Bala untuk bertemu di London. Sekiranya SPRM menerima tawaran tersebut dan pergi ke London, mereka akan berhadapan dengan pelbagai masalah perundangan. Antaranya adalah:

Kes rakaman percakapan saksi Malaysia di luar negara seperti P.I Bala ini akan menjadi precedent case untuk kes lain di masa hadapan. Bayangkan selepas ini semua saksi yang ingin dirakamkan percakapannya akan mengenakan syarat untuk dirakam percakapannya di luar negara.

Kebolehterimaan pernyataan saksi boleh dipertikaikan dan tidak diterima oleh mahkamah sekiranya perbicaraan berlangsung kerana proses rakaman percakapan saksi di luar negara perlu menggunakan perundangan dan prosedur yang berbeza iaitu menerusi Akta Bantuan Bersama Mencegah Jenayah 2000 (Mutual Legal Assistance in Criminal Matters). Kalau kita boleh mengimbau apa yang berlaku dalam kes Perwaja, di mana keterangan saksi-saksi di luar negara tidak diterima di mahkamah kerana dianggap tidak sah walaupun ia mengikut MACMA.

Kuasa pegawai SPRM terlucut sebaik sahaja mereka melangkaui sempadan negara ini. Jadi apakah kuasa mereka ketika berada di London untuk memberi amaran kepada saksi dan merakam percakapan saksi.

Ketika berada di London maka undang-undang tempatan (Britain) akan digunakan sepenuhnya. Ini merupakan kelebihan kepada pihak P.I Bala di mana beliau sudah tentunya akan membawa peguam tempatan bagi mengiakan apa jua permintaannya.

Undang-undang di London amat berbeza dengan Akta SPRM dan Kanun Tatacara Jenayah di mana peguam dibenarkan masuk semasa proses rakaman percakapan diambil dan rakaman video juga boleh diambil. Sekali lagi pegawai SPRM akan terperangkap dengan perancangan teliti mereka.

Pemergian pegawai SPRM ke London menggunakan visa-on-arrival adalah hanya sebagai pelawat atau pelancong yang tidak dibenarkan menjalankan apa-apa pekerjaan. Pegawai ini mungkin berhadapan dengan tindakan imigresen kerana menjalankan ‘pekerjaan’ di London.

Saya melihat tindakan SPRM memberikan peluang kepada P.I Bala untuk mengemukakan kenyataan melalui perakuan bersumpah atau afidavit suatu yang sah dan dibenarkan undang-undang.

Berdasarkan afidavit yang dikemukakan ia boleh dijadikan asas untuk SPRM menilai dan memberi petunjuk serta panduan kepada SPRM untuk menentukan hala tuju siasatan. Sekiranya maklumat tambahan diperlukan maka ia boleh diaturkan pertemuan seterusnya. Apa yang penting di tahap ini ialah maklum balas atau keterangan sebenar P.I Bala. Adakah ia benar-benar wujud dengan disokong oleh fakta dan dokumen yang relevan atau hanya rekaan yang membuahkan publisiti negatif kepada SPRM.

Seperkara yang penting, P.I Bala juga harus ikhlas dan jujur untuk memberikan pernyataannya bukan setakat perakuan bersumpah malahan sanggup tampil memberi keterangan dan soal balas dalam mahkamah sekiranya kes ini dibawa ke muka pengadilan.

KHOO CHAI LEE

Kuala Lumpur

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , ,

1 Comment