Posts Tagged pasir

KSSB Dan SPRM Setuju Tubuh Pasukan Petugas Khas

Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah bersetuju untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi membanteras rasuah melibatkan perlombongan pasir di Selangor.

Persetujuan ini dicapai pada pertemuan antara Menteri Besar, YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim dengan SPRM di pejabatnya di sini, semalam.


Pertemuan ini disertai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin, Ketua Pengarah Eksekutif KSSB, Wan Ab Halim Wan Ismail, Pengarah Eksekutif KSSB, Ir Ramli Majed.

SPRM pula diwakili, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Sutinah Sultan, Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, Shaharuddin Khalid, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Jaafar Maahad dan Ketua Unit Pemeriksaan dan Perundingan SPRM Selangor, Mohd Noor Abd Rahman.

Pertemuan ini diadakan susulan pelawaan Kerajaan Selangor kepada  SPRM untuk menempatkan kakitangan dan pegawai di KSSB bertujuan membanteras rasuah. Pasukan Petugas Khas ini dicadang dianggotai pegawai KSSB dan SPRM.
Sehubungan itu, Menteri Besar berkata, KSSB akan mengadakan taklimat mengenai operasi KSSB kepada SPRM termasuk prosedur dan kaedah-kaedah yang dipratikkan dalam perlombongan pasir.

Selain itu, SPRM juga akan didedahkan dengan sistem-sistem yang diguna pakai oleh KSSB dan diajar untuk memahami urus niaga pasir yang dipratikkan oleh anak syarikat kerajaan Selangor ini.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Selangor menyambut baik kesediaan SPRM kerana  kerajaan negeri mengamalkan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab.

“Kita berterimakasih kepada SPRM kerana mahu bersama Kerajaan Negeri bagi memastikan  operasi perlombongan dan perniagaan pasir bebas dari unsur rasuah,” kata Menteri Besar.

Beliau berkata, apabila Pasukan Petugas Khas ini ditubuhkan, SPRM lebih bebas untuk memantau perjalanan operasi KSSB untuk mengesan sekiranya ada prosedur yang boleh membuka ruang kepada rasuah.

Pada pertemuan ini juga, Menteri Besar telah diberitahu bahawa SPRM sedang memantau lebih dekat operasi perlombongan pasir di beberapa negeri termasuk di Selangor. Selain itu, SPRM berharap dapat membuat perbandingan prosedur dan praktis yang digunakan pakai di Selangor dengan negeri-negeri lain.

Menteri Besar berharap, SPRM boleh mencadangkan prosedur yang boleh mengurangkan berlakunya rasuah menerusi pemantauan dan pemerhatian yang dilakukan terhadap KSSB.

Pada awal pertemuan, Menteri Besar telah menyampaikan taklimat kepada SPRM berkenaan keselamatan dan penguatkuasaan yang diambil Kerajaan Negeri menerusi Pasukan Khas yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud.

Beliau telah menerangkan bahawa kecurian pasir gagal diatasi oleh kerajaan terdahulu kerana hanya menumpukan kepada tindakan penguatkuasaan tanpa melihat masalah tersebut dari aspek bekalan pasir kepada industri pembinaan.

“Kita tidak boleh menghentikan perlombongan pasir dan biarkan bekalan pasir di pasaran terjejas. Ini hanya akan menggalakkan kecurian  pasir kerana permintaan tinggi.

“Tindakan kita sekarang ialah kita bukan sahaja  membanteras curi pasir tetapi pada masa yang sama mengawal bekalan pasir pasaran,” katanya.

Katanya, sebab itulah Kerajaan Selangor menubuhkan KSSB untuk memastikan industri mendapat bekalan pasir secara halal dan mencukupi dan ini akan membunuh permintaan terhadap pasir haram.

Menteri Besar menjelaskan, KSSB ditadbir Wan Halim dan Ramli  yang mana kedua-duanya adalah pakar bidang kejuruteraan perlombongan yang akan memastikan perlombongan pasir mengikuti semua peraturan alam sekitar dan geologi yang ditetapkan.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Menerusi usahasama ini, pegawai KSSB akan memberikan maklumat mengenai bagaimana KSSB beroperasi dan pihak SPRM pula akan memberikan khidmat nasihat dan perundingan mengenai prosedur pengeluaran pasir yang boleh diguna pakai, dan seterusnya boleh mentup ruang dan peluang untuk berlakunya rasuah.

YAB Tan Sri Abdul Khalid di dalam kenyataannya menyatakan, dengan adanya usahasama ini, SPRM akan lebih bebas di dalam menjalankan fungsinya dengan memantau lebih dekat operasi perlombongan pasir di beberapa negeri termasuk di Selangor. Di pihak SPRM, SPRM berharap dapat membuat perbandingan prosedur dan praktis yang digunakan pakai di Selangor dengan negeri-negeri lain.

Dengan adanya usahasama sebegini, adalah diharapkan pada masa hadapan masalah kecurian pasir akan dapat dikurangkan dan sterusnya dapat membantu untuk menjana pendapatan negara. Usaha sebegini seharusnya dipanjangkan ke negeri-negeri lain, agar sumber negara akan dapat diuruskan dengan leih cekap, efisyen dan dilakukan dengan penuh integriti.

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , , , ,

No Comments

Isu Pasir Tiada Kesudahannya

Sejak kita dihidangkan dengan cerita-cerita panas berhubung kerakusan si pencuri pasir di Selangor, terdapat juga beberapa suara-suara sumbang yang menggesa SPRM untuk mengambil tindakan segera ke atas kes ini.

Kenapa dan mengapa SPRM pula digesa untuk mengambil tindakan segera ke atas isu pasir ini? Mengapa tidak digesa dan dihentam agensi-agensi yang sepatutnya bertanggungjawab terus perihal isu kecurian pasir ini, contohnya Exco yang terbabit, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Majlis Daerah, Pejabat daerah, Jabatan Alam Sekitar, PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Mengapa bila kes penjualan arak di negeri Selangor suatu ketika dulu, beberapa Exco Selangor dilihat menjadi hero mengeluarkan pelbagai kenyataan dan turut turun padang. Kenapa pula bila melibatkan isu pasir, semuanya senyap macam tikus mondok? Atau mereka ini sebenarnya cuba menjaga periuk nasi masing-masing. Mana pergi Exco-Exco yang dulunya melenting tak tentu hala seperti Ronnie Liu, Elizabeth Wong dan Theresa Kok. Mengapa berdiam sahaja YB? Apakah isu pasir ini tidak penting, tiada elemen national interest dan tidak ada news value untuk diperjuangkan.

Kenapa YB Kapar turut berdiam diri sejak pendedahan yang dibuat di media kononnya banyak sangat bukti-bukti yang melibatkan amalan rasuah dalam syarikat yang dilantik Kerajaan Selangor bagi urusan pasir. Di mana dan apakah tindakan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri dalam soal ini? Kenapa didiamkan sahaja? Jika tiada penyelewengan dan rasuah sebagaimana yang didakwa YB Kapar, kepada kecurian pasir ini dilihat semakin berleluasa.

Bagi agensi-agensi kerajaan yang disebutkan di atas, mengapa berdiam diri dan takut bertindak? Adakah mulut, kaki dan tangan kalian semua diikat oleh pihak-pihak terlibat bagi mengelakkan sebarang tindakan. Di mana letakkan nya maruah diri, integriti dan kredibiliti agensi-agensi yang terlibat yang jelas membayangkan mereka bersekongkol dengan pencuri-pencuri pasir ini.

Tindakan YB Yaakop Sapari menahan lori-lori pasir yang bergerak pada sebelah malam di Puchong amat dipuji. Mana perginya penguatkuasaan? Mana perginya JPJ atau PDRM? Bukankah peraturan jelas memperuntukkan masa tertentu untuk pergerakan lori-lori pengangkut pasir ini. Takkanlah Ketua Setiausaha Negara sendiri kena turun padang untuk jalankan operasi khas. Tan Sri KSN wajar ambil tindakan tegas ke atas Ketua-Ketua Jabatan berkaitan kerana gagal menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan dan turut bersekongkol dengan penjenayah.

Kes kecurian pasir bukan tugas hakiki SPRM. Tidak ada pun dalam undang-undang SPRM 2009 memperuntukkan kuasa SPRM untuk siasat kes kecurian pasir. Diharapkan SPRM tidak menyahut gesaan pihak-pihak terbabit untuk siasat kes pasir kerana selama ini pun ada antara suara-suara sumbang mengatakan semua tindakan SPRM berkaitan pasir khususnya di Selangor adalah konspirasi untuk jatuhkan Kerajaan Negeri.

Mengapalah isu-isu kecurian pasir ini tidak begitu kronik di lain-lain negeri yang terlibat seperti Perak dan Johor. Ini kerana Kerajaan Perak dan Johor amat serius mengambil langkah pencegahan terhadap isu ini dengan memanggil semua agensi-agensi yang terlibat untuk duduk semeja bagi mengatasinya. Bukan macam Selangor yang asyik berpolitik sehingga semua tindakan dianggap konspirasi cuba jatuhkan mereka. Adakah rasuah yang dimasukkan ke dalam akaun dan perkhidmatan seks yang diterima dianggap konspirasi juga? Semasa terima duit dan buat maksiat tidak terfikir pula bahawa ia berdosa dan konspirasi. Dah habis duit dan lepas merasa baru terasa ia konspirasi. Hanya tuhan sahaja yang tahu apa dalam fikiran mereka yang terlibat. Siapa makan cili dia rasa pedas.

mulutbechok

seremban

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , , ,

No Comments

Isu Pasir: Ibarat Bangau oh Bangau

Seakan-akan menjadi satu trend di kalangan masyarakat dan pemimpin-pemimpin politik dalam membahasakan sesuatu isu mengikut musim-musim tertentu. Pendedahan berhubung isu pasir ini menjadi panas seketika di awal tahun 2010 ini bilamana SPRM mendedahkan siasatan ke atas 42 orang yang ditangkap seluruh negara berhubung amalan rasuah bagi mendalangi kegiatan mencuri dan menyeludup pasir ke negara jiran. Namun cerita ini, panas seketika dan didiamkan sahaja tanpa apa-apa tindakan susulan yang benar-benar serius untuk mengekang permasalahan ini.

Sekali lagi isu pasir ini timbul bilamana Ahli Parlimen Kapar menimbulkan syak wasangkanya terhadap amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang dikatakan berlaku dalam syarikat yang diberikan tanggungjawab untuk menguruskan isu pasir di Negeri Selangor.  Panas seketika dan hasil berdolak-dalik pemerintah, ia senyap seketika.

Sejak kebelakangan ini isu pasir ini sekali lagi timbul dan menjadi semakin panas sehingga dibahaskan di Dewan Undangan Negeri Selangor dan di Parlimen. Apa yang disesalkan adalah terlalu banyak kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak berhubung isu pasir ini.

Satu pihak mengatakan ini tanggungjawab Negeri, Di pihak lain pula menuduh persekutuan yang sepatutnya bertanggungjawab. Ia tak ubah seperti mana lirik dalam lagu kanak-kanak Bangau Oh Bangau. Masing-masing cuba mengelakkan tanggungjawab dan sering mencari kesalahan orang lain sebagai punca. Akhirnya yang merana adalah rakyat yang mana kehidupan mereka semakin terancam disebabkan pencemaran alam sekitar yang teruk disebabkan kegiatan mencuri pasir.

Seharusnya episod tuduh menuduh ini dihentikan kerana ia amat memalukan. Sebagai rakyat, saya merasakan Kerajaan negeri Selangor wajar bertanggungjawab sepenuhnya dalam hal ini. Ini kerana yang di ceroboh adalah tanah dalam bidang kuasa mereka sendiri.  Kenapa harus menyalahkan orang lain pula bila mereka sendiri gagal menguruskan hal rumah tangga sendiri? Bukankah dalang di sebalik kegiatan mencuri pasir ini sebenarnya adalah syarikat yang dibentuk oleh Kerajaan Selangor sendiri? Siapa sebenarnya yang mempunyai kepentingan dalam keanggotaan syarikat tersebut?

Saya berasa amat hairan kerana kerakusan menceroboh, mencuri dan menyeludup pasir ini dapat dikawal di lain-lain negeri. Kenapa pula di Selangor, semakin didedah semakin dalam pula lombong-lombong pasir terbentuk? Apakah ini kesannya kekebalan pegawai-pegawai negeri dan pemimpin-pemimpin mereka? Manakan tidak, bila sahaja dipanggil untuk membantu siasatan oleh pihak berkuasa, alasan diberikan ialah konspirasi menjatuhkan Kerajaan Negeri. Sampai bilakah Kerajaan Negeri Selangor mahu berselindung di sebalik isu konspirasi ini bagi menutup segala kelemahan dan kepincangan kepimpinan mereka? Negeri Selangor memerlukan kepimpinan negeri yang prihatin dengan kebajikan rakyat, isu alam sekitar, kemajuan dan pembangunan yang seimbang bukannya tokoh korporat yang hanya mengejar serta mementingkan keuntungan semata-mata.

Isu pasir ini tidak akan selesai sekiranya kesemua pihak yang menuding jari tidak duduk semeja membincangkan langkah dan penguatkuasaannya.

Nabil Izzat

Seremban

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , , , ,

3 Comments