SKIM CEPAT KAYA: LEGASI CHARLES PONZI


Mohamad Tarmize bin Abdul Manaf

“Labur, duduk diam-diam, dapat duit”

Pernahkah anda mendengar janji-janji di atas? Cuma perlu melabur sejumlah wang dan tidak perlu membeli apa-apa. Kemudian, tunggu keuntungan lumayan yang bakal diterima.

Sekiranya ada pihak cuba menawarkan skim serupa, anda perlu berhati-hati. Selalunya skim yang dalam kategori ‘too good to be true’ atau terlalu bagus ini, akan berakhir dengan kekecewaan. Pelaburan kepada skim yang menipu pasti akan merugikan.

ponzi-scheme

Sekiranya bernasib baik, anda akan mendapat keuntungan. Bagaimanapun, tanpa disedari, anda sebenarnya telah menyumbang kepada kejayaan satu jenayah kewangan. Anda menjadi sebahagian jenayah yang dilakukan. Keuntungan anda adalah hasil kerugian pihak lain.

Pelaburan sebegini berkemungkinan besar adalah serupa dengan ‘skim cepat kaya’. Nama dan konsepnya sahaja diubah, bertujuan untuk mengelirukan pelabur. Apakah skim cepat kaya ini? Tahukah anda, siapa pencipta skim yang telah menipu beribu manusia itu?

 

Skim Ponzi

Skim cepat kaya sebenarnya bukan perkara baharu di negara kita. Dalam dunia penjenayahan, ia dikenali sebagai Skim Ponzi.

Skim Ponzi adalah satu bentuk penipuan dalam aktiviti pelaburan. Skim ini menjanjikan pelabur untuk menerima pulangan yang lumayan, dengan risiko yang amat rendah.

Sebenarnya, pelabur lama akan mendapat pulangan melalui wang yang dilaburkan oleh pelabur baharu. Skim ini akan terus mendapat pulangan selagi ada pelabur baharu. Apabila tiada lagi pelabur baharu, skim ini akan musnah dengan sendirinya. Pelabur yang tidak sempat menerima pulangan akan mengalami kerugian besar.

Skim Ponzi lebih kurang sama dengan Skim Piramid. Kedua-duanya menggunakan wang pelabur baharu untuk memberi pulangan kepada pelabur awal. Perbezaannya, pengurus Skim Ponzi akan menerima semua pelaburan dan mengagihkan pulangan kepada pelabur-pelaburnya. Dalam Skim Piramid, pelabur akan menerima pulangan terus bergantung jumlah pelabur baru yang berjaya ditarik ke dalam skim itu.

Skim Ponzi yang bijak ini diambil sempena nama penciptanya, Charles Ponzi. Beliau memulakan skim ini sekitar tahun 1919.

Siapa Charles Ponzi?

Carlo Pietro Giovanni Guglielmo Tebaldo Ponzi atau Charles Ponzi (3 Mac 1882 – 18 Januari 1949) dilahirkan dan dibesarkan di Itali. Beliau terkenal sebagai ahli perniagaan dan penipu (con artist) di Amerika Syarikat dan Kanada.

tumblr_mv8qznpJ331qk9rpao1_1280

Dari Itali, Charles Ponzi ke Boston, Amerika Syarikat pada 15 November 1903, dengan berbekalkan wang poket hanya $2.50. Dalam satu temu bual oleh The New York Times, beliau dipetik berkata,I landed in this country with $2.50 in cash and $1 million in hopes, and those hopes never left me“.

Sejak berhijrah, Charles Ponzi melakukan pelbagai kerja untuk meneruskan hidup. Menjadi pencuci pinggan dan pelayan di restoran sehingga jurubank di Banco Zarossi Bank. Hidup beliau kembali menjadi tidak menentu setelah Banco Zarossi Bank bankrup.

Charles Ponzi hilang punca pendapatan sehingga memaksa beliau terlibat dengan jenayah. Charles Ponzi ditangkap polis apabila cuba menunaikan satu cek palsu berjumlah $423.58. Akibatnya, beliau terpaksa meringkuk di penjara selama tiga tahun di St. Vincent-de-Paul Federal Penitentiary, Montreal, Kanada.

Setelah dibebaskan pada tahun 1911, beliau kembali ke Amerika Syarikat. Sekali lagi beliau terlibat dengan jenayah. Kali ini dengan sindiket penyeludupan imigran Itali ke Amerika Syarikat. Beliau ditangkap dan dipenjarakan di Atlanta Prison selama dua tahun.

 

Selepas dibebaskan, Charles Ponzi kembali ke Boston, Amerika Syarikat. Beliau berkahwin dengan Rose Gnecco pada 1918.

Bermulanya Skim Ponzi

Kehidupan Charles Ponzi berubah apabila beliau menerima sepucuk surat daripada sebuah syarikat di Sepanyol, yang mengandungi international reply coupon (IRC). IRC adalah kupon yang boleh ditukarkan antara sesama negara ahli Universal Postal Union (UPU), dengan setem yang mempunyai nilai lebih tinggi, mengikut tukaran mata wang negara terbabit.

Charles Ponzi melihatnya sebagai satu peluang untuk mendapat keuntungan. Beliau mendapat idea untuk melabur dengan membeli IRC di negara yang mempunyai nilai rendah. Mendapat untung dengan menukar setem yang lebih mahal di negara lain.

ponzi2

Idea tersebut bukan sahaja mengubah kehidupan Charles Ponzi, malah memahat namanya dalam sejarah dunia.

Daripada pelaburan secara kecil-kecilan dengan sahabat handai, Charles Ponzi meluaskan perniagaannya. Beliau mula melantik ejen-ejennya di luar negara.

Charles Ponzi mengirim wang kepada ejen-ejennya untuk membeli IRC yang mempunyai harga rendah. IRC itu akan dihantar semula ke Amerika Syarikat. Beliau menukarkan IRC dengan setem yang mempunyai nilai lebih mahal. Seterusnya setem tersebut dijual untuk mendapat untung. Pendapatan Charles Ponzi pernah mencecah 400% bagi setiap jualan.

Yakin dengan aktiviti yang semakin menguntungkan itu, Charles Ponzi mula mencari pelabur-pelabur. Beliau menjanjikan pulangan sebanyak 50% dalam tempoh 45 hari, atau 100% dalam tempoh 90 hari.

Skim ini menerima sambutan hangat kerana pelabur awal menerima pulangan seperti mana dijanjikan. Charles Ponzi sebenarnya menggunakan wang yang dilaburkan oleh pelabur seterusnya untuk memberi pulangan kepada pelabur awal. Kaedah ini secara mudahnya disebut dalam frasa Inggeris sebagai ‘robbing Peter to pay Paul’ (merompak daripada Peter untuk membayar Paul).

Manipulasi tersebut menjadikan Charles Ponzi kaya-raya. Beliau membeli sebuah rumah agam di Lexington, Massachusetts, dilengkapi penghawa dingin dan kolam air panas. Semasa era kemuncaknya, Charles Ponzi dikatakan memperoleh pendapatan sebanyak $250,000 sehari.

Kejatuhan Charles Ponzi

Aktiviti Charles Ponzi terbongkar apabila akhbar The Boston Post mula melakukan siasatan terhadap skim tersebut sekitar bulan Ogos 1920. Akhirnya Charles Ponzi ditangkap pada 12 Ogos 1920 dan didakwa atas 86 pertuduhan kerana penipuan pos (mail fraud) berjumlah $7 juta.

Keruntuhan skim Charles Ponzi menyebabkan kerugian $20 juta kepada pelabur-pelaburnya. Beliau dijatuhkan hukuman 14 tahun penjara. Charles Ponzi meninggal dunia di Rio de Janeiro, Brazil pada 18 Januari 1949.

Skim yang dimulakan oleh Charles Ponzi terus hidup selepas kematiannya. Banyak penipuan pelaburan menggunakan kaedah yang dimulakan oleh Charles Ponzi ini. Berikut adalah dua legasi Charles Ponzi yang akan terus dikenang dalam sejarah dunia.

Legasi Charles Ponzi 1: Bernard Madoff

Bernard Lawrence ‘Bernie’ Madoff dianggap legenda dunia dalam penjenayahan Skim Ponzi. Bernard Madoff dilahirkan pada 29 April 1938 di Queens, New York. Madoff memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Politik daripada Hofstra University. Pada 1960, Madoff memulakan firma pelaburannya iaitu Bernard L. Madoff Investment Securities, dengan modal $55,000.

Syarikat milik Madoff menawarkan pelan pelaburan yang boleh dipercayai. Kredibiliti syarikat beliau berjaya menarik selebriti terkenal seperti Steven Spielberg, Kevin Bacon dan Kyra Sedgwick. Madoff pernah memegang jawatan pengerusi National Association of Securities Dealers Automated Quotation (NASDAQ).

Penglibatan Madoff dalam Skim Ponzi terbongkar sekitar bulan Ogos 2008. Beberapa pelaburnya memaklumkan kepada anak Madoff mengenai rancangan Madoff untuk memberikan bonus awal berjumlah jutaan dolar. Mereka mula mempersoalkan sumber wang tersebut.

Pada 10 Disember 2008, anak Madoff membuat laporan kepada penguat kuasa undang-undang. Madoof ditangkap pada keesokan harinya dan didakwa atas pelbagai jenayah penipuan. Semasa ditangkap, sebanyak $65 bilion berada dalam akaunnya. Madoff mengaku bahawa salah satu anak syarikatnya menjalankan Skim Ponzi secara besar-besaran.

Pada 12 Mac 2009, Madoff yang ketika itu berusia 71 tahun, mengaku bersalah atas 11 pertuduhan. Pada 29 Jun 2009, Madoff dijatuhkan hukuman penjara selama 150 tahun. Madoff dihantar ke Butner Federal Correction Complex di North Carolina untuk menjalani hukuman. Beliau juga dikehendaki membayar balik $170 bilion kepada pelabur-pelaburnya.

Semasa di penjara, dua anak Madoff meninggal dunia. Mark membunuh diri pada Disember 2010 dan Andrew meninggal dunia kerana penyakit barah pada September 2014.

Legasi Charles Ponzi 2: Skim Pak Man Telo

Nama asal Pak Man Telo adalah Osman Hamzah. Beliau terkenal sebagai pelopor skim cepat kaya di Malaysia. Skim yang dijalankan menerusi syarikat Pestama Enterprise, dipercayai bermula sekitar 1970-an di Taiping, Perak.

Asalnya, Pak Man Telo hanyalah seorang penduduk biasa yang bekerja sebagai wartawan sambilan Bernama di Taiping. Tanpa latar pendidikan mengenai pengurusan wang, beliau memberanikan diri mengasaskan skim pelaburan yang kompleks serta bernilai jutaan ringgit.

Skim tersebut beroperasi secara haram, menerima wang deposit daripada orang ramai (pelabur) dengan menjanjikan pulangan dividen sekitar 10% setiap bulan. Era 80-an menyaksikan kemuncak populariti Skim Pak Man Telo. Pelabur skim terdiri daripada pegawai kanan kerajaan, pesara, ahli perniagaan sehinggalah penduduk kampung.

Skim Pak Man Telo menjadi ‘legenda’ dalam sejarah skim cepat kaya di Malaysia kerana ia disertai lebih 50,000 pelabur dengan nilai pelaburan mencecah RM99 juta.

Penghujung tahun 1989, penipuan Pak Man Telo dihidu pihak berkuasa. Beliau ditangkap Bank Negara Malaysia (BNM) dan didakwa pada 11 Januari 1990, atas kesalahan menerima wang orang ramai tanpa lesen sah. Pak Man Telo mengaku bersalah dan membayar denda RM250,000 secara tunai.

Namun, Skim Pak Man Telo diteruskan kerana sokongan padu pelabur-pelaburnya. Malah, selepas mahkamah menjatuhkan hukuman kepada Pak Man Telo, pelabur-pelaburnya menyambut Pak Man Telo dengan laungan “Hidup Pak Man!”. Populariti Skim Pak Man Telo bertambah, semakin ramai pelabur baru dan dividen juga meningkat kepada 12%.

Bulan September 1990 menyaksikan Skim Pak Man Telo mula goyah. Kadar dividen berkurang kepada 5%. Ada pelabur yang langsung tidak lagi memperoleh bayaran dividen.

Kehidupan Pak Man Telo mula kritikal. Pelabur-pelabur berkumpul di halaman rumah Pak Man Telo, mendesak supaya wang pelaburan pokok mereka dipulangkan segera. Enam lelaki bertindak nekad menculik anak lelaki Pak Man Telo dan mengurungnya di Hotel Tropicana, Kuala Lumpur mulai 28 Februari hingga 5 Mac 1991. Pak Man Telo turut menghadapi tindakan saman daripada 639 pelaburnya, menuntut balik jutaan wang mereka.

Pada 11 April 1991, polis menahan Pak Man Telo. Beliau kemudiannya dikenakan tindakan ‘buang daerah’ di Kampung Terong, Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu.

Pada 17 Julai 1991, Pak Man Telo didakwa buat kali kedua. Beliau yang sudah berusia 65 tahun ketika itu mengaku bersalah. Pak Man Telo dijatuhkan hukuman setahun penjara dan denda RM500,000, atau tambahan penjara setahun lagi jika beliau gagal membayar denda. Pak Man Telo gagal membayar denda dan beliau terpaksa menjalani hukuman penjara selama dua tahun.

Selepas Pak Man Telo dibebaskan dari Penjara Taiping pada 17 November 1992, polis membawa beliau kembali ke Kuala Berang, Terengganu.

Selepas itu, kisah Pak Man Telo mula tenggelam. Pak Man Telo terus menyepikan diri bersama isteri kedua dan seorang anak lelaki di Terengganu. Dia menyara hidup dengan membaiki radio dan televisyen. Pada usia 70 tahun, Pak Man Telo meninggal dunia akibat sakit tua pada 22 Disember 1997.

WASPADA SKIM MENIPU

Skim Ponzi masih lagi wujud sehingga ke hari ini. Muncul dengan pelbagai nama dan bentuk. Ada yang menggunakan jongkong emas, barangan rumah dan produk kesihatan sebagai samaran, hanya bertujuan menarik pelaburan. Kemudian, menjanjikan pulangan yang lumayan dalam tempoh tertentu.

Tidak semua skim adalah penipuan atau Skim Ponzi. Bagaimanapun, pelaburan yang mudah dan tanpa usaha, tetapi memberi pulangan yang amat lumayan, berlaku dalam kisah dongeng sahaja. Buat mereka yang ingin menceburi pelaburan, beberapa perkara perlu dipertimbangkan.

Pertama, berhati-hati dengan skim pelaburan yang mempunyai tawaran terlalu bagus. Tawaran yang disebut sebelum ini sebagai ‘too good to be true’.

Kedua, sekiranya ingin melabur, cari institusi kewangan yang sah. Pulangan lebih terjamin, walaupun tidak setinggi gunung.

Ketiga, jangan terburu-buru untuk melabur. Siasat dan tanya pendapat orang yang mahir. Tidak sukar untuk mengetahui sama ada sesuatu skim pelaburan itu adalah menipu atau tidak.

Keempat, jangan membuat pelaburan sekiranya anda was-was dengan skim yang ditawarkan. Biar rasa rugi sekarang, jangan berputih mata apabila ‘nasi sudah menjadi bubur’.

Ingat, kekayaan tidak akan datang bergolek dengan mudah. Ia perlu dicari. Perlu usaha keras tanpa jemu. Selebihnya terserah kepada yang Maha Kuasa.

  • tamat

 

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, ,

  1. No comments yet.
(will not be published)