Transformasi SPRM bawa impak positif


Oleh : Berita Harian

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibentuk Januari 2009, sedang melalui perubahan besar dari segi polisi dan strategi bagi memperkasakan usaha memerangi rasuah dengan cekap dan berkesan. 

Perubahan itu antara lain menyumbang kepada peningkatan berterusan dari segi kadar sabitan kes dibicarakan sejak 2009. 

“Terima kasih kepada Program Transformasi Kerajaan (GTP), Jabatan Peguam Negara dan program transformasi SPRM. Kita sudah mencapai kadar sabitan 71 peratus pada 2010 berbanding 54 peratus pada 2009, 75 peratus pada 2011 dan diikuti 85 peratus pada tahun lalu,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Ahli-Ahli JKMR yang dilantik oleh YDP Agong

Ahli-Ahli JKMR yang dilantik oleh YDP Agong menerima laporan tahunan SPRM 2012 yang diserahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM

Abu Kassim menyerahkan Laporan Tahunan 2012 SPRM kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) pada 6 November 2013 selaras dengan Akta SPRM 2009.

Jelas Abu Kassim, pencapaian kadar sabitan 85 peratus tahun lalu menunjukkan paras itu lima peratus lebih berbanding piawaian ditetapkan badan antarabangsa untuk pencapaian terbaik.

Di bawah program transformasi yang memfokus usaha merangka pelan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan usaha memerangi rasuah, SPRM menggariskan perubahan persepsi masyarakat ke arah positif sebagai antara elemen penting.

Pelan berkenaan menetapkan tiga segmen iaitu pengurusan sistem dalam keberkesanan siasatan, pengurusan sistem dalam pencegahan dan pendidikan serta pembangunan modal insan.
Transformasi berjaya

Pelan transformasi terbukti berjaya dan keputusan memberangsangkan meletakkan kedudukan Malaysia hampir dengan Hong Kong dalam usaha memerangi rasuah, kata Abu Kassim.

Pelan transformasi antara lain membawa kepada pengenalan bilik temu bual bervideo (VIR) dan Bilik Gerakan Operasi Siasatan serta Mahkamah Sesyen Khas Rasuah.

Bukan saja SPRM mencapai kadar sabitan kesalahan yang berkualiti, kata beliau, SPRM turut meningkatkan perkhidmatannya dalam memenuhi kehendak masyarakat dengan memfokuskan lebih kepada kuantiti, contohnya ikan jerung.

Pada 2012, SPRM memperoleh kejayaan besar dalam operasi dijalankan. Antara operasi yang berjaya adalah berhubung kes sindiket penjualan lot bazar Ramadan, penyeludupan minyak diesel, pemalsuan dokumen, sindiket haji ekspres dan penyelewengan dalam Projek Pembangunan ISKANDAR Malaysia.

“Operasi bersepadu SPRM berjaya membongkar dan seterusnya mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang terbabit dalam kegiatan tidak berintegriti,” kata Abu Kassim.

Seramai 313 orang berjaya dituduh tahun lalu iaitu 33.5 peratus membabitkan kakitangan awam, 53 peratus orang awam, 13 peratus sektor swasta dan 0.5 peratus ahli politik.

SPRM melalui Laporan Tahunan 2012 turut mengemukakan 30 syor kepada agensi kerajaan bagi memperbaiki sistem dan prosedur masing-masing.

INFO: Kadar sabitan 2009 – 2012
2009 – 54 peratus
2010 – 71 peratus
2011 – 75 peratus
2012 – 85 peratus

Jumlah kes diterima SPRM 2009 – 2012
2009 – 5,936
2010 – 5,646
2011 – 6,475
2012 – 5,496

Laporkan Rasuah: 1-800-88-6000

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , ,

  1. No comments yet.
(will not be published)