KEKALAHAN KES-KES PROFIL TINGGI BELUM MUKTAMAD, SPRM YAKIN DI PERINGKAT RAYUAN


Sepanjang empat bulan pertama tahun 2010 ini, sebanyak 95 kes rasuah yang dibicarakan di Mahkamah di seluruh negara telah berjaya dimenangi oleh SPRM.. Ini menunjukkan suatu peningkatan dalam kadar sabitan iaitu sebanyak 75 peratus secara keseluruhannya.

Namun begitu, berita berhubung kejayaan ke atas 95 kes ini tenggelam disebabkan oleh beberapa kes yang diklasifikasikan sebagai berprofil tinggi dan berkepentingan awam telah dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Sesyen.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghormati dan menerima keputusan Mahkamah yang memutuskan kes-kes pendakwaan yang dijalankan oleh Suruhanjaya ini khususnya berkaitan kes-kes berprofil tinggi dan kepentingan awam  memihak kepada tertuduh.

Satu kajian menyeluruh sedang dilaksanakan oleh Bahagian Perundangan dan Pendakwaan dan Bahagian Siasatan, SPRM bagi mengenal pasti punca dan permasalahan yang membawa kepada kekalahan kes-kes. Ini kerana punca kekalahan bagi setiap kes adalah berbeza antara satu sama lain. Proses kajian ini penting bagi memastikan semua kes yang dibawa ke muka pengadilan mencapai standard dan kualiti yang tinggi dan kemungkinan untuk menang adalah di tahap melebihi 90 peratus.

Proses perundangan negara ini mempunyai hierarki dan saluran keadilan yang amat jelas. Keputusan yang dibuat di peringkat Mahkamah Rendah iaitu (Majistret dan Sesyen) boleh dibawa ke peringkat yang lebih tinggi bagi tujuan rayuan terhadap keputusan atau hukuman. Kes-kes rasuah yang dikendalikan oleh SPRM bermula dengan pertuduhan di peringkat Mahkamah Sesyen. Maka itu, rayuan boleh dikemukakan di peringkat Mahkamah Tinggi dan selanjutnya.

Berbalik kepada isu kekalahan kes-kes yang berlaku sejak kebelakangan ini, masyarakat wajar dijelaskan bahawa ia tidak hanya terhenti setakat itu sahaja. Proses perundangan belum berakhir dan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen untuk melepas dan membebaskan tertuduh bukanlah suatu yang muktamad. SPRM telah pun mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi bagi tujuan menyemak semula keputusan ke atas kesemua kes yang kalah di Mahkamah Rendah.

Walaupun kes-kes pendakwaan SPRM tidak berjaya di peringkat Mahkamah Sesyen, namun apabila rayuan dikemukakan di peringkat lebih tinggi maka ada di antara kes-kes yang mencatatkan keputusan sebaliknya..

Berasaskan kepada perangkaan keputusan kes-kes rayuan di Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Pendakwaan, terdapat 29 kes atau 65 peratus rayuan yang dibawa ke Mahkamah Tinggi berjaya dimenangi oleh SPRM. Ini bermakna, keputusan yang dibuat di peringkat Mahkamah Sesyen telah disemak semula dan berpihak kepada pendakwaan.

Bagi baki 35 peratus kes yang tidak memihak kepada pendakwaan di peringkat Mahkamah Tinggi, maka rayuan seterusnya dibuat oleh pendakwaan di Mahkamah Rayuan. Kebiasaannya hampir 80 peratus kes-kes yang dikemukakan di peringkat Mahkamah Rayuan berpihak kepada pendakwaan.

Sepanjang tahun 2010 ini, terdapat 13 kes rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan berpihak kepada pendakwaan. Walaupun kes-kes ini pada peringkat awalnya berpihak kepada pembelaan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi, namun di peringkat rayuan keputusan membebaskan tertuduh diketepikan.

Proses keadilan di negara ini adalah bebas, telus dan adil. Seseorang tertuduh juga diberikan hak yang sama iaitu saluran untuk mengemukakan rayuan sekiranya keputusan yang dibuat oleh mahkamah tidak memihak kepadanya sebagaimana hak yang diberikan kepada pihak pendakwaan.

(Maklumat lanjut berhubung 95 kes yang dimenangi SPRM boleh dirujuk di laman portal SPRM http://www.sprm.gov.my)

www.pdf24.org    Send article as PDF   

  1. No comments yet.
(will not be published)