Penduduk buat memorandum rasmi kepada SPRM, persoal tindakan ADUN Teratai


PUTRAJAYA , 8 Mac 2013 – Persatuan Penduduk Pandan Perdana hari ini membuat memorandum rasmi berhubung  kutipan derma yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Janice Lee bagi pembinaan sebuah  Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang telah dijanjikan kepada mereka.

Bekas  ahli DAP, Tony Tan ketika bercakap mewakili penduduk berkata,  mereka meminta supaya SPRM menyiasat tentang kutipan derma yang dibuat oleh ADUN berkenaan sejak tahun 2008.

Katanya dengan kutipan tersebut penduduk telah dijanjikan pembinaan sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina di kawasan tersebut.

“Kami mahu SPRM menyiasat kes ini kerana ia membabitkan seorang Yang Berhormat dimana beliau telah menggunakan cara tidak betul untuk mengutip derma dengan menabur janji.

“Kami punya bukti dan hari ini wakil penduduk akan membuat memorandum rasmi mengenai perkara tersebut,” katanya.

Naib Pengerusi Persatuan Penduduk, Terence Ee  pada masa sama turut mendakwa bahawa Adun Teratai tersebut telah membuat kutipan derma daripada penduduk setempat  termasuk ketika sessi ceramah dan pasar malam bagi tujuan pembinaan sekolah yang telah dijanjikan itu.

Menurutnya, pihak penduduk hanya mahu ADUN berkenaan menjelaskan jumlah kutipan derma yang telah diterimanya sehingga kini memandangkan pembinaan sekolah tersebut dianggap tidak mempunyai unsur politik.

Tambahnya, apa yang menjadi tanda tanya penduduk ialah ketiadaan permohonan daripada ADUN tersebut untuk pembinaan sekolah  yang dicadangkan di sebuah tanah seluas lima ekar milik kerajaan negeri Selangor.

“Tanah tersebut perlu ditukar milik terlebih dahulu sebelum dibina  sekolah. Sekiranya tiada penukaran hak milik tanah bagi tujuan pembinaan institusi maka ianya tidak diserahkan kepada Kementerian Pendidikan, dan tiada sekolah yang boleh dibina diatasnya.

“Bagaimanapun,  permohonan tidak pernah dibuat walaupun kami pernah dimaklumkan sebanyak 22,000  tandatangan kononnya telah diperoleh daripada orang ramai bagi menyokong pembinaan sekolah tersebut,” dakwanya ketika memberi kenyataan di hadapan ibu pejabat SPRM Putrajaya hari ini.

Terence turut menggesa ADUN Teratai itu tampil menunjukkan bukti  iaitu minit mesyuarat berkenaan permohonan kepada kerajaan negeri yang dibuat sekiranya beliau pernah mengemukakan permohonan tersebut dalam Sidang DUN.

Ahli persatuan penduduk yang hadir turut mengibarkan kain rentang yang tertera “YB Janice Lee, dimana pergi wang kutipan untuk Sekolah Rendah Cina”.

TAMAT.

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , , , ,

  1. No comments yet.
(will not be published)