Kerajaan Komited Dalam Usaha Memerangi Gejala


 

KUALA LUMPUR, 4 Oktober 2012- Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyatakan kerajaan komited dalam usaha memerangi gejala rasuah dan ianya  terus kekal menjadi keutamaan kerajaan dengan meletakkannya sebagai satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Katanya, pelbagai pendekatan yang diambil dalam membanteras gejala rasuah menunjukkan keseriusan kerajaan, termasuk transformasi aspek rangka kerja sehingga penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita selalu mendengar apabila orang bercakap mengenai rasuah, perkara pertama yang berada dalam fikiran adalah penyalahgunaan kuasa dalam kalangan penjawat kerajaan dan ahli-ahli politik dan kita perlu berhenti melihat perbuatan itu hanya kepada penjawat awam dan ahli-ahli politik.

“Tanggapan sedemikian sebenarnya cukup dangkal kerana pada hakikatnya gejala rasuah boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Pertubuhan Agensi Penguat Kuasa Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA) Keenam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Majlis disertai lebih 1,000 pegawai pencegah rasuah dari 120 negara itu turut dihadiri Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed dan Presiden IAACA, Prof. Cao Jianming.

Pada majlis itu, Najib turut menyerahkan sumbangan kerajaan sebanyak RM1 juta untuk menjayakan Akademi Anti Rasuah Antarabangsa kepada Pengerusi IAACA, Martin Kreutner.

Perdana Menteri, semua pihak patut melihat usaha memerangi rasuah dalam perspektif lebih luas kerana terdapat masyarakat berjaya mengurangkan aktiviti itu dengan bergantung kepada kesedaran sivik yang tinggi.

“Kesedaran ini boleh dilaksanakan dengan tumpuan khusus dalam etika, norma-norma dan nilai masyarakat yang berbeza.

“Kesedaran itu cukup kritikal kepada individu yang berada dalam kekuasaan jawatan dan kewibawaan untuk mencontohi nilai-nilai yang perlu diikuti oleh kumpulan yang berada di bawahnya,”katanya.

“Nilai kesedaran yang betul dan kepimpinan etika asal itu sebenarnya bermula dari rumah,” tegas beliau

TAMAT

 

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , , ,

  1. No comments yet.
(will not be published)