PENYELEWENGAN CUKAI – RAKYAT YANG RUGI


Kejadian kematian kedua yang dilaporkan di pejabat SPRM merupakan tragedi yang amat mengejutkan semua pihak, termasuk SPRM sendiri. Semasa Suruhanjaya Siasatan terhadap kematian Teoh Beng Hock (TBH) hangat dibicarakan, berlaku lagi satu kes terbaru di mana seorang pegawai kastam Ahmad Sabrani Mohamed (ASM) ditemui meninggal dunia di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Timbul reaksi pelbagai pihak berhubung kejadian ini. Ada yang menghentam SPRM dan tidak kurang juga yang memberi sokongan moral kepada SPRM untuk meneruskan usaha-usaha memerangi rasuah. Rata-rata persoalan yang timbul ialah bagaimana kejadian ini boleh berlaku dan tidakkah SPRM belajar dari apa yang berlaku dalam kejadian sebelumnya?

Sebenarnya, apa yang berlaku dalam kes TBH banyak memberikan pengajaran dan panduan kepada Warga SPRM secara keseluruhannya. Pelbagai peraturan diperkemas dan seluruh warga diberikan ingatan berulang kali oleh pengurusan SPRM. Hakikatnya, peraturan atau perintah tetap berhubung pengendalian pelawat, saksi, orang kena tuduh (OKT) di premis-premis SPRM seluruh negara telah diwujudkan. Malahan, penggunaan teknologi dalam proses menemu bual saksi iaitu dikenali sebagai “Video Interview Room” juga dibangunkan. Teknologi ini juga diguna pakai di ICAC Hong Kong di mana proses menemu bual saksi dirakam sepenuhnya. Ia bertujuan untuk mengelakkan tohmahan-tohmahan seperti penderaan atau penggunaan kekerasan terhadap saksi.

Walau apa pun peraturan, teknologi dan langkah-langkah pencegahan diperkenal dan diperkemas, namun jika ia hendak berlaku ia tetap akan berlaku jua. Kejadian yang berlaku amat disesalkan. Siasatan pihak Polis dan siasatan dalaman SPRM diharapkan dapat menemui jawapan kepada punca kematian dan kelemahan yang wujud. Warga SPRM amat bersimpati dengan keluarga Allahyarham Ahmad Sabrani b. Mohamed. Terus terang kami katakan, Warga SPRM juga berhak mengetahui kebenaran dan tidak akan sesekali kami melakukan sesuatu perkara di luar batas undang-undang. Apatah lagi terhadap rakan penjawat awam.

Sesuatu yang diduga berlaku di mana wujud segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan bagi memanipulasi kejadian ini sebagai modal politik mereka. Ada yang cuba memujuk keluarga Allahyarham untuk bersama-sama mereka memperdagangkan isu ini untuk kepentingan politik. Ahli-ahli politik sebegini adalah oportunis yang suka mengambil kesempatan untuk menjatuhkan maruah serta martabat Kerajaan dan agensi-agensi kerajaan yang penting. Mereka ini bukan jujur untuk membantu tetapi berusaha untuk memecahbelahkan rakyat dengan mempolitikkan isu berkenaan serta cubaan untuk mengalih pandangan masyarakat terhadap kejadian yang sedang menghantui ketua pembangkang.

Selain itu, wujud juga pakatan jahat untuk sengaja menggembar-gemburkan isu kematian ASM sebagai desakan kepada SPRM untuk melengah-lengahkan dan seterusnya menghentikan operasi besar-besaran kes 3B. Apa yang diketahui oleh SPRM berhubung Ops 3B ini amatlah memeranjatkan. Banyak pihak selama ini yang telah mengaut keuntungan berlipat kali ganda hasil daripada penyelewengan taksiran cukai. Cukai-cukai yang sepatutnya bernilai jutaan ringgit dibayar hanya dengan kadar minimum iaitu antara 5 ke 10 peratus nilai cukai sebenar. Syarikat-syarikat pengimport dan pengeksport, agen-agen forwarding dan segelintir pegawai yang dipertanggungjawabkan untuk menentukan kutipan hasil dikutip berpakat demi kepentingan serta keuntungan peribadi. Kesannya, kerugian yang dialami negara hasil daripada kutipan cukai-cukai ini dianggarkan melebihi RM 3 bilion. Ini tidak termasuk anggaran kerugian yang dialami Kerajaan iaitu sebanyak RM10 bilion hasil daripada pelbagai aktiviti jenayah termasuk penyeludupan, pengubahan wang haram, dadah, pengaliran wang hasil kegiatan jenayah ke luar negara, rasuah dan sebagainya.

Bayangkan lah, sekiranya Kerajaan menerusi agensi-agensinya mampu menyelamatkan anggaran RM 10 Bilion berkenaan. Apa yang boleh dimanfaatkan? Sudah tentu, penjawat awam boleh dibayar bonus sebulan gaji, lebih banyak sekolah, hospital, klinik-klinik, rumah-rumah anak yatim dan OKU yang boleh dibina hasil dari tambahan RM10 Bilion tersebut. Bukan begitu?

Penjawat-penjawat awam khususnya yang bertanggungjawab ke atas kutipan hasil dan keselamatan negara di pintu-pintu masuk sempadan wajarlah merenungi semula peranan dan tanggungjawab mereka. Jawatan yang disandang adalah amanah. Jangan gadaikan maruah diri, keluarga, bangsa dan negara hanya untuk kepentingan serta keuntungan jangka pendek.

Seharusnya tindakan SPRM yang mengepalai task-force yang terdiri daripada pelbagai agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara Malaysia ini diberikan sokongan untuk meneruskan siasatan bagi menyelongkar sindiket yang telah bertapak lama ini.

Inilah antara contoh jenayah terancang yang dilaksanakan secara bersindiket, sistematik dan mempunyai rangkaian yang meluas. Bagi berhadapan dengan penjenayah atau lebih sesuai pengkhianat negara ini, keseluruhan masyarakat harus bersatu menyokong tindakan pihak berkuasa. Menyokong dalam erti kata menyalurkan lebih banyak maklumat, berani mendedahkan kepincangan yang berlaku dan bersuara mempertahankan tindakan pihak berkuasa sekiranya ada pihak-pihak yang berkepentingan termasuk parti-parti politik yang suka menangguk di air yang keruh.

SPRM tidak akan rugi sekiranya siasatan ini dihentikan. Yang rugi adalah rakyat. Ini kerana aktiviti yang menguntungkan ini akan terus menerus berlaku. Kesannya, cukai yang sepatutnya dikutip untuk kepentingan dan pembangunan rakyat akan lesap dan diselewengkan.

Seperkara yang disesalkan, bila Ops 3 B ini bermula, ada diperjelaskan bahawa ia adalah operasi melibatkan pelbagai agensi. Namun apabila kejadian ini berlaku, hanya SPRM sahaja dilihat berdiri dengan dihentam dari segenap penjuru. Di mana agensi-agensi yang lain? Bagaimana jika kutipan RM3 Billion dan Ops ini berjaya, saya yakin lain-lain agensi akan terlebih dahulu ke hadapan menonjolkan diri menyatakan kejayaan adalah hasil usaha mereka. Hakikatnya, tiada istilah kawan dalam memerangi rasuah. Itulah realitinya.

Pokok pangkalnya, SPRM bukan bekerja untuk mencari nama dan publisiti murahan. Tindakan SPRM adalah berasaskan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. Rasuah adalah jenayah. Tiada kaitan dengan kepartian, bangsa atau agama. Musuh kami adalah perasuah, perantara dan orang yang melindungi perasuah.

Kepada semua pihak yang menyatakan sokongan kepada SPRM dalam kes ini, kami ucapkan terima kasih. Semoga kami diberikan kekuatan untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab memerangi kemungkiran dan menegakkan kebenaran.

InsyaAllah, Ops ini akan tetap diteruskan walaupun terpaksa mengharungi pelbagai halangan dan rintangan. Apa yang penting adalah kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat.

Bekas Warga SPRM

Putrajaya

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , , , , , ,

  1. #1 by syam903 on April 19, 2011 - 1:02 am

    Perjuangan menegakkan kebenaran akan senantiasa berhadapan dengan cabaran. Ambillah iktibal dari perjuangan para Ambia’ dalam peperangan di Bkt Uhud. Strategi peperangan antaranya memilih tapak di luar Madinah dan mengatur pasukan pemanah di atas Bukit Uhud. Keadaan berpaya dan banjaran bukit batu kerikir tajam dan panas telah memaksa bala tentera bersatu akan melalui cerum sempit di bawah Bukit Uhud. Tentera Islam yang kecil sudah tentu dapat menententang tentera kafir yg jauh lebih besar.
    Yang pasti ada yang terkorban syahid dan para syuhada kita telah cukup memberi pengajaran kepada kaum yang menentang bahawa bala tenteranya yang ramai, belum belum tentu dapat menewaskan tentera islam yang punyai jiwa yang lebih besar.
    Pegawai SPRM yg terlibat dalam “Ops 3b” itu tidaklah ramai sangat, tetapi punyai semangat kental dan konsisten niat jalankan tugas kr Amanah dan Iklas jiwanya. Sama2 kita perangi rasuah dalam negara kr ianya musuh kita bersama.

    Rakan2 SPRM; Teruskan Perjuangan Menentang Perbuatan Rasuah Dalam Negara.

  2. #2 by kalamati vera on April 20, 2011 - 10:26 am

    Apa yang dimaksudkan RASUAH dengan MONEY LAUNDERING yang ditadbirkan oleh SPRM? dan kaitan dengan OPS 3B?

  3. #3 by Pflasterfugen on August 21, 2011 - 5:15 pm

    Yang pasti ada yang terkorban syahid dan para syuhada kita telah cukup memberi pengajaran kepada kaum yang menentang bahawa bala tenteranya yang ramai, belum belum tentu dapat menewaskan tentera islam yang punyai jiwa yang lebih besar.

  4. #4 by Pflasterfugen on August 21, 2011 - 5:21 pm

    Satu-satunya adalah untuk mempelajari apa yang kita sebagai manusia, adalah untuk bertindak balas terhadap keperluan rakyat dan hidup dalam cinta.

(will not be published)