TIADA ISTILAH KAWAN DALAM MEMERANGI RASUAH


Rasuah sentiasa menjadi isu panas yang menjadi bahan percakapan dan penulisan. Hampir setiap hari ada sahaja isu rasuah dilaporkan dalam pelbagai media termasuk arus perdana, media alternatif mahupun media sosial. Seharusnya isu rasuah ini dipaparkan dan digembar-gemburkan dengan matlamat untuk mewujudkan kesedaran dan mendidik masyarakat mengenai bahaya jenayah ini. Akan tetapi, apa yang berlaku ialah rasuah telah dijadikan senjata bagi menghentam dan menjatuhkan kredibiliti serta maruah organisasi atau individu yang ditohmah.

Orang yang ditohmah atau dituduh rasuah dijatuhkan hukuman sebelum sesuatu siasatan dimulakan. Paparan tohmahan atau maklumat yang dibuat dalam media-media sosial seperti blog khususnya menggambarkan seolah-olah isu yang dipaparkan itu benar-benar berlaku. Tujuannya ialah agar masyarakat terus menghukum dan membenci individu terbabit. Pelbagai cerita dan bukti sengaja direka sehinggakan ada yang bijak menggunakan dokumen-dokumen berkelas rahsia bagi mengesahkan tohmahan yang dibuat.

Kecanggihan teknologi sering disalahgunakan oleh pihak-pihak berkepentingan bagi tujuan-tujuan tersirat dan tersurat. Ini kerana kepantasan penyebaran maklumat dalam dunia tanpa sempadan dan sekatan membuatkan cerita-cerita panas ini mudah tersebar di seluruh pelosok dunia. Bagi yang membacanya, akan mudah percaya kerana inilah sumber maklumat yang utama, menjadi rujukan generasi muda dalam dan luar negara. Yang menjadi lebih buruk kesannya, bilamana pihak-pihak luar yang sentiasa mencari salah dan kelemahan Malaysia, menjadikannya modal untuk menidakkan semua dasar dan program yang telah diperkenalkan Kerajaan.

Sampai bilakah perbuatan ini akan berlaku? Tidak adakah sebarang sekatan atau penguatkuasaan yang boleh diambil ke atas pengendali-pengendali blog yang tidak bertanggungjawab ini. Mungkin ada yang berkata inilah kebebasan bersuara dan hak asasi yang wajar dipelihara dan dipertahankan. Ya ke? Bagaimana pula hak asasi dan kebenaran orang yang dituduh rasuah? Kita seronok menuduh orang itu rasuah, orang ini seleweng, bagaimana pula jika orang lain menuduh kita?

Isu rasuah ini menjadi semakin panas bilamana ia dijadikan modal atau bahan politik. Tidak mengira tempat termasuk dalam dewan rakyat, rasuah dijadikan isu bagi menghentam antara satu sama yang lain. Yang peliknya, dalam dewan rakyat berdegar-degar bunyi dentuman tohmahan rasuah sehinggakan ada yang berani mengatakan mempunyai berkotak-kotak bukti, namun bila di luar dewan dilihat aktor-aktor ini saling peluk berpelukan dan ketawa dengan babak lakonan tadi.

Kesannya bila media melaporkan isu rasuah itu tadi, rakyat pula yang berpecah belah dan berbalah antara penyokong setiap parti. Yang menjadi mangsa utama ialah agensi penguatkuasaan yang terpinga-pinga dibelasah kira, kanan, atas dan bawah kerana dikatakan gagal mengambil tindakan. Bila ditanya mana kotak-kotak bukti tu YB, jawapan yang diberi cari sendiri dan no komen? Ahli Parlimen dikatakan mempunyai imuniti ke atas apa yang dibahaskan dalam dewan yang mulia. Pihak berkuasa terbatas kuasanya untuk mengarahkan ahli-ahli parlimen untuk membuat aduan dan menyerahkan apa-apa dokumen berkaitan. Inilah dunia politik masa kini.

Sebenarnya telah banyak kali sebenarnya agensi penguat kuasa seperti SPRM cuba digunakan sebagai alat politik, termasuk kanan mahupun kiri. Yang kanan menuduh SPRM menyebelahi yang kiri jika lambat bertindak ke atas maklumat yang disalurkan. Manakala yang kiri pula akan menuduh SPRM berat sebelah, alat politik untuk menjatuhkan mereka.

Lihatlah beberapa kes yang telah disiasat oleh SPRM sebelum ini. Di salah sebuah negeri pantai timur, SPRM dituduh pro-kiri kerana gagal menghadapkan ketua negeri ke mahkamah atas tuduhan rasuah. Manakala di negeri yang kecoh dengan isu pasir pula, dikatakan tindakan SPRM bermotifkan politik bertujuan untuk menjatuhkan Kerajaan negeri terbabit. Yang menghairankan, tindakan SPRM ke atas tiga buah negeri lain berhubung isu yang sama iaitu pasir, tidak pula dijadikan bahan politik.

Terkini, SPRM sekali lagi dibidas oleh penyokong kuat sebelah kanan kerana dikatakan bersekongkol dengan sebelah kiri dalam siasatan terhadap kekayaan ahli-ahli sebelah kiri. Gambar-gambar lawatan parti sebelah kiri ke pejabat SPRM dijajakan sebagai bukti kecondongan SPRM.

Perlu dijelaskan di sini bahawa tiada istilah kiri atau kanan, biru atau hijau dalam kamus SPRM. Semua tindakan yang dijalankan oleh SPRM adalah berteraskan undang-undang. Siasatan merupakan proses mencari kebenaran, bukan mencari salah. Siasatan SPRM tidak berasaskan sentimen atau kepartian. Rasuah adalah jenayah yang ditetapkan undang-undang. Justeru itu, SPRM akan bertindak ke atas perasuah, perantara dan orang-orang yang melindungi serta bersekongkol dengan rasuah.

Tiada istilah kawan sebenarnya dalam perjuangan menentang rasuah. Kawan sebenar SPRM adalah individu atau organisasi yang bersama-sama SPRM menentang jenayah ini. Jangan jadikan SPRM alat untuk menjatuhkan orang lain. Baik parti kanan mahupun parti kiri. SPRM tidak akan sesekali tunduk kepada telunjuk individu yang cuba mengambil kesempatan dengan berbuat baik dengan SPRM.  Ini adalah ingatan ikhlas daripada Warga SPRM.

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , ,

  1. No comments yet.
(will not be published)