Rasuah membebankan Malaysia dengan kos yang signifikan


Dipetik daripada : Pelan Haja Tuju GTP , Bab 7

Rasuah membebankan Malaysia dengan kos yang signifikan. Amalan rasuah adalah bercanggah dengan nilai-nilai moral, etika dan agama majoriti rakyat Malaysia. Ia menyebabkan kerumitan prosedur dan kewangan dalam kehidupan seharian rakyat selain menyumbang kepada ketidakseimbangan sosioekonomi dan menghakis sistem nilai negara Malaysia.

Menentang rasuah melibatkan pengurusan polariti antara golongan yang tidak berkuasa dan golongan yang mempunyai kuasa dan budi bicara dalam membuat keputusan.

Selain masalah sosial, rasuah juga merompak kekayaan dan sumber negara kita. PEMUDAH menganggarkan bahawa rasuah boleh menyebabkan kos sebanyak RM10 bilion setahun, atau 1-2% daripada KDNK, apabila keputusan perniagaan (contohnya pemberian kontrak, perolehan sumber manusia) dilakukan dengan tujuan yang salah.

Malah, penghakisan keyakinan terhadap institusi negara oleh orang ramai dan komuniti perniagaan telah sedikit sebanyak menyumbang kepadakejatuhan ketara kedudukan daya saing negara (GCI), daripada 21 negara yang paling berdaya saing di dunia tiga tahun yang lalu kepada kedudukan yang terkini, 24.

Atas sebab-sebab ini, membanteras rasuah sentiasa menjadi salah satu keutamaan kami. Akhir-akhir ini, kami telah mengambil langkah yang kami yakin adalah signifikan, termasuk mewujudkan Institut Integriti Malaysia pada tahun 2004 untuk mempermudah pelaksanaan Pelan Integriti Nasional dan menaik taraf Badan Pencegah Rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun 2009.

Kami juga menubuhkan sebuah pasukan petugas khas peringkat atasan yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan untuk mengkaji laporan Ketua Audit Negara 2008 dan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab terhadap penyelewengan kewangan yang didedahkan oleh laporan itu.

Meskipun dengan usaha-usaha kerajaan itu, prestasi Malaysia telah jatuh merudum – kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah, Transparency International (TICPI) yang berada pada kedudukan ke-23 pada tahun 1995 telah jatuh ke tangga ke-56 pada tahun 2009.

Tinjauan menunjukkan bahawa rakyat amat tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan dalam membanteras rasuah. Contohnya, 67% daripadawarga Malaysia yang ditinjau menerusi Kajian Global Corruption Barometer 2009 percaya bahawa tindakan kerajaan dalam usaha menentang rasuah adalah tidak berkesan.

Justeru, memandangkan isu yang mendesak ini dan juga apa yang telah dipelajari daripada usaha-usaha yang lepas, kami akan melaksanakan usaha melalui cara yang berbeza dalam usaha baru kami membanteras rasuah:

  • Memiliki aspirasi yang boleh diukur, yang berdasarkan hasil dan ditanda aras mengikut standard antarabangsa
  • Menumpukan pada usaha penambahbaikan terhadap tiga bidang yang paling mudah terdedah kepada rasuah – badan pengawalseliaan dan penguatkuasaan, perolehan kerajaan dan rasuah besar (rasuah politik)
  • Menggunakan ukuran dan sasaran KPI yang telus untuk mendefinisikan kejayaan
www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , ,

  1. #1 by Shahami on January 18, 2011 - 2:31 pm

    Salam Alam Sejagat

    Tahniah dan Syabas atas usaha ini.Tetapi ada pesan orang lama, kata mesti dikota.Itulah pesan datuk nenek kita.

  2. #2 by syam903 on January 19, 2011 - 12:19 am

    Teruskan usaha mempelbagaikan cara untuk hapuskan rasuah dan salahguna kuasa. Perjuangan yang masih belum selesai. Anggaplah usaha paling murni ini sebagai ibadah dan di perlakukan dengan seiklas2nya. Yang bathil hendaklah di cegah; dengan tangan(kuasa), ilmu(kempen penerangan) dan setidak2nya doa agar dosa2 sedemikian tidak berlaku lagi.

(will not be published)