MASYARAKAT MASIH KELIRU DENGAN ISU ADA KES vs ADA KETERANGAN


Apakah caranya untuk kita sedarkan masyarakat yang kita bertindak berlandaskan undang-undang. Siasatan dibuat untuk mencari kebenaran dan bukan mencari kesalahan. Kita mendakwa seseorang berasaskan keterangan yang cukup bukan berasaskan sentimen atau perasaan. Tugas kita hanya menyiasat. Jika terdapat cukup keterangan kita syorkan untuk pendakwaan.

Ini adalah antara persoalan-persoalan yang sering berputar di kotak fikiran pengurusan SPRM. Melihat kepada komen-komen yang diberikan menerusi blog-blog tertentu, begitu menyedihkan di mana SPRM tetap dipersalahkan jika sesuatu kes khususnya melibatkan individu berprofil tinggi tidak di dakwa di mahkamah.

Terdapat perbezaan yang jelas antara ADA KES dengan ADA KETERANGAN. Kita mendakwa jika ada keterangan yang kukuh untuk mengaitkan individu dengan perlakuan rasuah yang dilakukannya. Keterangan yang dicari termasuklah keterangan saksi-saksi, dokumen-dokumen dan perlakuan serta peranan tertuduh. Kes-kes rasuah adalah unik dan tidak sama seperti kes-kes jenayah yang lain.

Kebiasaannya kes rasuah melibatkan dua individu yang kedua-duanya mempunyai kepentingan. Baik yang memberi atau menerima, kedua-duanya mendapat faedah. Tambahan pula, yang terlibat sebenarnya mempunyai perkaitan sama ada sebagai rakan perniagaan, sahabat baik, orang kepercayaan, saudara ataupun staf. Manakan tidak, jika tiada hubungan baik dan saling tidak percaya mempercayai, maka rasuah tidak akan berlaku.

Oleh sebab itu, ada kala keterangan yang diperoleh daripada saksi-saksi sukar untuk mengaitkan antara pemberi dan penerima ada dasar “silaturahim” yang terjalin ini. Tidak seperti jenayah bunuh, rogol, samun atau rompak, si mangsa sudah tentukan agar menggunakan proses perundangan sebagai jalan untuk membalas dendam atau menebus apa yang dilakukan oleh penjenayah.

Berbalik kepada isu ADA KES dan ADA KETERANGAN tadi. Mengambil contoh kejadian di mana seorang pemandu yang menyerahkan wang rasuah sebanyak RM100.00 kepada anggota penguat kuasa dan kemudian melaporkan kepada SPRM. Dalam konteks ini, memang ada kes rasuah berlaku. Namun adakah dengan hanya bergantung pada keterangan pemandu itu tadi cukup untuk mendakwa anggota penguat kuasa tersebut?

SPRM memerlukan lain-lain keterangan seperti saksi yang melihat, penemuan wang rasuah yang terlebih dahulu ditandakan, perbuatan memujuk rayu (menerusi rakaman audio) jika ada sebagai bukti-bukti tambahan untuk mengukuhkan kes terbabit. Jika tiada, maka kes ini dianggap tiada keterangan kukuh dan sukar dijalankan pendakwaan.

Jika terlalu banyak keraguan yang timbul dalam perbicaraan sesuatu kes, mahkamah akan melepas dan membebaskan tertuduh. Sistem keadilan di negara ini cukup adil dan saksama terhadap pengadu dan juga orang yang kena tuduh.

Memang mudah untuk menuduh seseorang itu terlibat dengan rasuah. Namun berapa ramai yang sanggup tampil untuk membantu memberikan keterangan bagi mengesahkan dakwaan mereka. Keterangan ini bukan setakat sanggup tampil ke mahkamah tetapi perlu disokong dengan bukti-bukti sebagai lain-lain saksi yang melihat, dokumen yang menyokong, rakaman perbualan suspek yang jelas memujuk rayu suapan dan sebagainya.

Semakin kompleks sesuatu kes, maka proses pencarian bukti menjadi sukar dan memerlukan masa, penelitian serta perancangan yang rapi. Modus operandi penjenayah menjadi semakin sofistikated dengan kemajuan ICT. Wang tidak lagi bertukar tangan begitu sahaja tetapi di masukkan ke dalam akaun di luar negara atas nama orang lain. Tidak mudah sebenarnya untuk kita mengumpulkan keterangan bagi memperkukuhkan sesuatu kes. Banyak faktor yang terlibat dan kesemuanya perlu dibuktikan dan dikaitkan antara satu sama lain.

Proses mengumpulkan keterangan juga tidak terhenti setakat siasatan sahaja. Kesemua keterangan, dokumen dan saksi-saksi itu tadi perlu dikemukakan di hadapan hakim untuk pertimbangan dan keputusan beliau. Ada kalanya, siasatan kes lengkap dengan saksi, bukti serta keterangan, namun apabila di mahkamah, kes tersebut dilepas dan dibebaskan kerana wujud situasi di mana saksi-saksi berpaling tadah. Ini adalah antara cabaran-cabaran yang terpaksa dilalui agensi penguatkuasaan seperti SPRM.

Selain itu. banyak kes-kes rasuah yang dikatakan berlaku terlebih dahulu dihebahkan dalam media massa. Ini bukan sahaja memberi ruang kepada penjenayah untuk mengambil tindakan memusnahkan dokumen, mempengaruhi saksi dan melarikan diri.

Tiada elemen kejutan dan kerahsiaan (surprise and secrecy) dalam siasatan SPRM kerana sikap segelintir masyarakat sendiri yang suka bercakap sebelum memberi peluang kepada pihak berkuasa bertindak. Kesannya, kebanyakan siasatan kes terbantut disebabkan tiada keterangan kukuh untuk mengaitkan si perasuah dengan tohmahan yang dilemparkan terhadapnya.

Rasuah adalah senjata yang amat mujarab untuk memburuk-burukkan imej dan kredibiliti seseorang. Ini kerana sifat rasuah itu sendiri yang berlandaskan ketidakadilan, penyelewengan dan tiada integriti. Justeru itu, jalan singkat untuk memalukan dan menjatuhkan seseorang ialah menuduhnya melakukan rasuah. Telah menjadi lumrah segelintir masyarakat pada hari ini yang menerima bulat-bulat tohmahan yang dibuat oleh pihak-pihak berkepentingan. Seseorang yang disiasat oleh pihak berkuasa dianggap telah bersalah dan patut dihukum. Hakikatnya, siasatan yang dijalankan adalah untuk mencari kebenaran dan bukannya mencari salah orang yang ditohmah.

Isu rasuah menjadi topik hangat di gelanggang politik. Rasuah terlalu dipolitikkan. Kesannya semua tindakan pihak berkuasa dianggap sebagai tindakan politik. SPRM dianggap alat politik pemerintah. Siasatan SPRM dianggap suatu konspirasi. Jadi bagaimana boleh agensi ini memainkan peranannya dengan berkesan jika semua tindakannya dipolitikkan.

Masyarakat harus sedar dan dapat membezakan antara politik dan rasuah. Rasuah adalah jenayah dan kesalahan ini termaktub dalam undang-undang negara. Amat berbahaya jika rasuah dijadikan modal politik. Ini menyemarakkan lagi perbuatan fitnah dan rasa benci-membenci dalam masyarakat.

Tindakan SPRM tidak wajar dicampuradukkan dengan politik. Biarlah SPRM laksanakan tugas dan tanggungjawabnya memerangi rasuah. Yang harus kita perangi adalah perasuah, pelindung kepada perasuah dan orang yang bersubahat dengannya. Kenapa pula kita harus perangi agensi yang memerangi rasuah? Bersama-samalah kita lakukan perubahan. Bersama-sama kita mengingatkan semua pihak untuk tidak mempolitikkan isu rasuah kerana ia akan membawa lebih banyak kebinasaan kepada keharmonian yang sedang kita kecapi hari ini.

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , , , , ,

  1. #1 by Shahami on November 10, 2010 - 8:56 am

    Bagi saya secara peribadinya,seandainya kita bekerja secara ikhlas,jujur serta amanah,maka lambat launnya kita akan berjaya dan diangkat darjat organisasi kita sebagai agensi pembenterasan rasuah dinegara ini berdasarkan 43 tahun menggalas tanggungjawab jika menurut agama, kitalah orangnya yang duduk di barisan depan menahan atau menghalang orang lain supaya tidak memasuki neraka.Sebabnya,hadis menyatakan ‘Pemberi dan penerima Rasuah nerakalah tempatnya’.Tidak ada organisasi lain yang diberi tanggungjawab seberat itu,sepatutnya masyarakat yang ingin mentransformasikan ini,perlu faham dengan situasi ini.

  2. #2 by hangtuah on November 16, 2010 - 1:46 pm

    Memang penting SPRM tingkatkan kefahaman masyarakat ttg ada kes dan ada keterangan. Ramai masih tak faham. Ini menyebabkan masyarakat hairan kenapa kes-kes yang melibatkan ahli politik kebanyakannya menggambarkan seolah-olah tiada tindakan. Lagi pun ikan jerung ni bijak. Maklumlah pemimpin politik. Pandai putar belit, menipu dan menyeleweng kerana undang-undang diaorg yang dok bahas dan luluskan.

(will not be published)