Ikan Kecil Bawa Impak Besar Kepada Negara


Pembongkaran kes rasuah melibatkan anggota penguat kuasa di sempadan tanah air bukan isu baru. Rasuah disogok kepada anggota penguat kuasa bagi urusan penyeludupan manusia tanpa dokumen perjalanan yang sah, aktiviti pasport u-turn, mempercepatkan pengeluaran visa dan permit kerja, melindungi pendatang tanpa izin, mengelakkan tindakan kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, penyalahgunaan visa, bekerja tanpa izin dan sebagainya.

Lokasi-lokasi strategi seperti lapangan terbang, pintu-pintu masuk sempadan, jeti-jeti atau pelabuhan-pelabuhan utama merupakan antara lokasi panas yang menjadi tumpuan agen-agen khas yang dilantik sindiket-sindiket tertentu bagi berurusan dengan pihak berkuasa bagi meneruskan aktiviti penyeludupan manusia ini.

Kemakmuran dan kesejahteraan hidup di Malaysia, dilihat sebagai faktor penarik kepada rakyat daripada beberapa negara jiran untuk datang mencari rezeki di negara ini. Budaya dan bahasa bukanlah penghalang. Uniknya Malaysia kerana masyarakatnya yang berbilang kaum, agama dan budaya membuatkan golongan pendatang ini untuk mudah mengasimilasikan diri di negara ini. Tambahan pula, masyarakat Malaysia terlalu ramah dan mudah menerima orang luar tanpa sebarang prasangka buruk.

Lihatlah apa yang berlaku di Chow Kit dan sekitar jalan Tuanku Abdul Rahman pada hari ini, di mana kerana terlalu mudahnya kita menerima orang luar, maka Chow Kit yang dahulunya dikuasai oleh orang-orang Melayu dan Cina sebagai peniaga bertukar seakan-akan menjadi mini-Jakarta. Selain itu, beberapa kampung yang berdekatan dengan bandar Kuala Lumpur seperti Padang Balang, Changkat, Dato Keramat, Gombak dan Kampung Pandan dikuasai oleh golongan pendatang.

Pihak berkuasa yang diamanahkan dengan tanggungjawab menjaga aspek keselamatan dan segala urusan keluar masuk di sempadan negara ini wajar merenungi semula perkara ini. Kita masih belum terlambat untuk menginsafi dan memperbetulkan keadaan.  Ini penting untuk memastikan negara ini tidak tergadai dek kelemahan penguatkuasaan kesan dari sogokan wang ringgit yang ditaburkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab. Janganlah hanya terlalu mengejar dan mengutamakan kemewahan hidup, sehingga sanggup memperdagangkan maruah dan kedaulatan negara ini.

Golongan ini hanya ditakrifkan sebagai ikan-ikan kecil, apabila setiap kali diberkas dan didakwa oleh pihak berkuasa yang lain khususnya SPRM. SPRM dikritik kerana fokus kepada ikan-ikan bilis ini. Namun sedar kah kita, sejauh mana kesan atau impak negatif yang boleh berlaku hasil dari perbuatan ikan-ikan bilis ini?

Sebagaimana yang dilaporkan di akhbar pada 8 November 2010, seorang pegawai Imigresen berpangkat kumpulan sokongan mampu menyimpan RM9 juta di luar negara hasil kegiatan haram menyeludup manusia ke negara ini. Berdasarkan keupayaan menyimpan wang sebanyak itu, tidak dapat dibayangkan berapa ramai pendatang tanpa izin yang dibantunya memasuki negara ini.

Terbayang juga jauh di benak fikiran penulis, jika begitu mudah menyeludup manusia, apatah lagi jika mahu menyeludup senjata api dan dadah ke negara ini. Sudah tentunya ia jauh lebih mudah.

Kita asyik membayangkan bagaimana mudahnya manusia dan barang-barang larangan di bawa masuk ke negara ini. Timbul pula persoalan, bagaimana pula jika barang-barang larangan ini di bawa keluar pula? Sudah tentu keadaannya sama sahaja.

Bagaimana ratusan kereta-kereta mewah yang disamun dan dicuri tidak dapat dikesan pihak berkuasa dan dibawa dengan mudah keluar dari negara ini? Di mana kecanggihan “scanning machine” yang digunakan di pintu-pintu sempadan? Walau secanggih mana pun teknologi, jika anggota yang mengawalnya tidak amanah dan bersekongkol dengan penjenayah maka ia tidak membawa apa-apa erti.

Cuba kita bertanya kepada diri kita, kenapa agaknya penyeludup-penyeludup dadah daripada Iran berpusu-pusu datang ke negara ini? Apakah dadah-dadah yang di seludup tersebut hanya untuk kegunaan penagih tegar di negara ini? Malu dan tersinggung untuk kita mengakui bahawa Malaysia adalah antara negara transit dadah terbesar di rantau ini. Terbaca berita yang dilaporkan pada 2 November 2010 di mana dadah disorokkan di daun-daun pintu dan di seludup keluar negara, membuatkan kita sukar menepis dakwaan tersebut.

Tidakkah semua kontena atau barangan yang dieksport dan diimport ke luar negara perlu melalui pemeriksaan pihak-pihak berkuasa di negara ini? Di mana silapnya sistem pemeriksaan negara kita sehinggakan dadah tersebut boleh di bawa keluar tanpa dikesan?

Usaha memerangi rasuah harus dijadikan agenda No.1 negara. Rasuah dan jenayah diibaratkan bagai isi dan kuku. Rasuah menggalakkan jenayah dan jenayah berleluasa disebabkan rasuah. Usaha memerangi rasuah tidak wajar diukur berdasarkan jawatan atau kedudukan seseorang. Tiada istilah ikan besar atau kecil dalam kamus SPRM. Apa yang penting ialah kesan atau impak kepada masyarakat keseluruhannya. Bagi SPRM tindakan diambil tanpa mengira pangkat, darjat mahupun kedudukan. Berani buat berani tanggung.

Masyarakat diharap terus menyokong SPRM untuk memerangi perasuah yang melindungi penjenayah. Perangi Rasuah dan Hapuskan Jenayah dalam satu masa yang sama.

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , ,

  1. #1 by Shahami on November 10, 2010 - 9:07 am

    Berkaitan isu ini saya dapat katakan sebagai kesimpulannya bahawa penjawat awam tidak AMANAH.Sejak Allah SWT nak jadikan Nabi Allah Adam lagi telah ditawar kepada bukit ,gunung malaikat dan semua nya.tetapi hanya manusia yang dinamakan Adam sahaja yang sanggup menerima amanah ini.lalu,dalam kes ini sebagai penjawat awam tidak kira di agensi mana sekali pun kita mesti faham maksud AMANAH tersebut.Insyaallah akan apa yang disarankan oleh pucuk pimpinan negara boleh kita terjemahkan sayugia dapat dilestarikan.

  2. #2 by Eddie on December 2, 2010 - 2:22 pm

    Shahami : Hanya segelintir penjawat awam yang tidak Amanah seperti yang tuan dakwa. Bagaimana yang bekerja dengan amanah, tekun dan ikhlas walaupun gaji tidak seberapa. Justeru bagi segelintir penjawat awam yang tidak Amanah tersebut diharapkan dibuang dari jawatan dang dikenakan tindakan sekeras-kerasnya semoga menjadi pengajaran kepada masyarakat umum.

(will not be published)