Tumbuk rusuk tiada kesudahan


oleh : NOOR MOHAMAD BIN SHAKIL HAMEED -Serdang, Selangor

PEGAWAI imigresen, majistret, ahli politik, warga korporat dan senarainya semakin panjang apabila kita membelek dada akhbar tempatan mutakhir ini yang melaporkan gejala rasuah di negara kita. Najis ini sudah tidak mengenal mangsa.

Lebih pelik ialah semakin ramai yang ditangkap dan dihukum Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semakin bertambah kes rasuah. Persoalannya ialah di mana silapnya? Apa lagi yang tak kena?

Apa yang nyata dan tidak dapat dinafikan ialah pihak SPRM semakin efektif dan kreatif menjalankan tugas penguatkuasaan mereka tanpa memilih bulu.

Buktinya ramai individu yang berpengaruh dibawa ke muka pengadilan. Mereka menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan amanah.

Namun, isu ini masih tidak menampakkan tanda kesudahannya, malah semakin berleluasa seolah-olah mencabar sistem perundangan.

Akibatnya masyarakat semakin keliru, marah dan menjadi mangsa keadaan pihak pelaku rasuah seperti ini. Adakalanya hak dan kebajikan rakyat dinafi dan dipinggirkan.

Keadaan ini, sekali gus membuktikan hukuman keras semata-mata belum memadai untuk menginsafkan pelaku rasuah.

Tambahan pula, sudah menjadi suatu kelaziman apabila manusia suka kepada harta dan kekayaan.

Itu lumrah dan fitrah kejadian manusia dengan kita tidak boleh menyekat keinginan berkenaan.

Justeru itu, apa yang perlu dilakukan ialah memupuk dan mengutamakan elemen agama dalam diri masyarakat.

Hal ini perlu kerana tiada agama yang menyokong atau membenarkan amalan rasuah. Semua agama di dunia ini mengutuk amalan rasuah.

Kerajaan, pihak berkuasa agama, masyarakat dan keluarga perlu memainkan peranan supaya menerapkan ajaran agama masing-masing ke dalam sanubari ahli keluarga terutama elemen halal dan haram punca sesuatu rezeki yang diperoleh.

Kita percaya ilmu agama boleh menjadi pendinding dan ubat paling mujarab untuk mengubati virus rasuah dari terus merebak dan menghancurkan masyarakat kita.


www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , , , ,

  1. No comments yet.
(will not be published)