PDRM paling aktif bantu SPRM banteras rasuah


Oleh : Utusan Online

KUALA LUMPUR 8 Okt. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan komitmen memberangsangkan apabila muncul agensi kerajaan tertinggi menyalurkan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hingga berjaya membanteras jenayah rasuah berjumlah RM1.3 juta wang suapan.

Jumlah itu dicatat PDRM selepas pelancaran kempen SPRM ‘Bersama Lakukan Perubahan, Perangi Rasuah’, April lalu, dengan mencatatkan 173 kes sehingga September tahun ini.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat SPRM, Datuk Ahmad Khusairi Yahaya berkata, angka tersebut membuktikan PDRM bersungguh-sungguh bersama SPRM dalam usaha membanteras jenayah rasuah.

“Kita (SPRM) sentiasa berharap agar agensi-agensi kerajaan lain juga dapat bersama-sama dengan kita dari segi menyalurkan maklumat, sekali gus membanteras jenayah rasuah.

“Sepanjang tempoh itu, sebanyak 311 kes dilaporkan daripada 13 agensi kerajaan dan orang awam dengan nilai suapan kira-kira RM2 juta,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pada 26 April lalu, SPRM melancarkan kempen ‘Bersama Lakukan Perubahan, Perangi Rasuah’ yang disempurnakan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hasan.

Tambah Ahmad Khusairi, agensi kedua yang dilihat menunjukkan komitmen dalam penyaluran maklumat jenayah rasuah sepanjang tempoh itu adalah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan 23 kes dan jumlah suapan sebanyak RM9,970.

Katanya, ia diikuti Tenaga Nasional Berhad (TNB) iaitu 17 kes yang membabitkan nilai suapan RM230,000, Imigresen (14 kes, RM45,120) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (13 kes, RM20,550).

“Secara keseluruhan nilai rasuah yang ditawarkan bermula daripada RM3 hingga (mencapai nilai) RM1 juta. Bagi SPRM, selagi ada laporan dan bukti, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Selain itu, Ahmad Khusairi turut menggalakkan agensi-agensi penguat kuasa kerajaan lain agar bersama-sama membantu suruhanjaya tersebut membanteras jenayah rasuah.

Jelas beliau, walaupun setiap ketua jabatan telah menandatangani dan bersetuju bersama-sama dengan SPRM dalam membanteras jenayah rasuah, namun ia masih belum dipraktikkan sepenuhnya.

“Kita telah berbincang dengan agensi-agensi kerajaan menerusi Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus (JKTU) tentang ruang dan peluang rasuah selain kelemahan-kelemahan sistem dan prosedur.

“Daripada situ kita dapat kenal pasti masalah dan merangka beberapa program yang bersesuaian termasuk dalam bentuk latihan, ceramah atau kursus khususnya kepada pegawai kerajaan,” katanya.

Beliau memberitahu, antara golongan yang tertinggi ditahan kerana memberi rasuah adalah peniaga atau bekerja sendiri dengan 215 kes diikuti kilang (11 kes), restoran (lapan kes), hotel (dua kes) dan masing-masing nelayan dan salon, satu kes.

Jelasnya, faktor utama gejala rasuah itu wujud adalah disebabkan ruang dan peluang termasuk kelemahan sistem serta prosedur yang boleh membuka ruang dan peluang kepada perlakuan rasuah.

“Kita sentiasa membuat pemantauan di beberapa lokasi yang dikatakan panas untuk berlakunya jenayah rasuah,” katanya.

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , , ,

  1. No comments yet.
(will not be published)