Janji Pilihanraya Bukan Rasuah


PILIHAN Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor dan Sibu sudah berakhir dan keputusannya telah pun diketahui umum. Namun bak kata pepatah rumah telah siap tetapi pahat masih berbunyi, memperlihatkan kehangatan pilihan raya kecil ini masih dirasai, khususnya berhubung beberapa isu panas iaitu janji-janji pilihan raya yang dianggap sebagai rasuah oleh sesetengah pihak.

Pihak berwajib seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sewajarnya tidak berdiam diri dan tidak berdolak dalih menggunakan jawapan “tidak mempunyai kuasa” atau “di luar bidang kuasa” untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Hakikatnya masyarakat perlu didedahkan dan diberikan jawapan tepat sama ada janji pilihan raya itu rasuah atau sebaliknya.

Zaman berdolak dalih, berdiam diri dan enggan mengesahkan sesuatu perkara itu sudah lama berlalu. Sekiranya agensi-agensi kerajaan masih mempunyai mentaliti sebegini, maka kredibiliti dan imej kerajaan akan dipertikai dan dieksploitasi oleh segelintir pihak yang tahu mengenai undang-undang tetapi memutarbelitkannya untuk kepentingan politik songsangnya.

Adakah manifesto atau janji pilihan raya yang dibuat oleh kerajaan dan pembangkang kepada pengundi-pengundi di Hulu Selangor dan Sibu boleh ditakrifkan sebagai rasuah dan menjadi kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia?

Manifesto atau janji yang dilaung-laungkan sepanjang pilihan raya berlangsung dibuat untuk mempengaruhi, mendorong individu atau pengikut supaya memberikan kepercayaan dan sokongan kepada si pembuat janji atau parti yang bertanding.

Rasuah pula mempunyai takrifan yang amat luas. Namun dalam konteks perbincangan ini, ia boleh ditakrifkan sebagai suatu perbuatan menjanjikan, menawarkan atau memberi suapan rasuah (berbentuk kewangan, perkhidmatan dan sebagainya) dengan niat jahat kepada seseorang individu atau ejen sebagai dorongan untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasminya.

Intipati penting yang perlu diberikan perhatian dalam menentukan sama ada manifesto atau janji itu termasuk dalam takrifan kesalahan rasuah ialah (1) status pemberi, (2) niat jahat, (3) status penerima dan (4) tindakan penerima.

Dalam konteks janji pilihan raya kecil Hulu Selangor dan Sibu, semua pihak termasuk calon dan parti yang diwakilinya semestinya menaburkan janji-janji masing-masing kepada pengundi sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Janji-janji ini merupakan salah satu faktor penting yang menjadi kayu pengukur kepada pengundi untuk membuat keputusan.

Apa yang menjadi pertikaiannya ialah sejauh mana atau sebanyak mana calon atau parti yang bertanding mampu memberikan sumbangan demi meyakinkan rakyat tempatan sebagai pengundi.

Ada yang menjanjikan peruntukan kewangan, peruntukan pembangunan, pembinaan jalan raya, pembaikan kemudahan asas atau sekurang-kurangnya janji turun harga minyak misalnya.

Berbalik kepada takrifan kesalahan rasuah, status si pemberi atau orang yang menjanjikan janji-janji pilihan raya tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan salah seorang pemimpin negara yang menjadi sasaran pihak-pihak tertentu kerana dikatakan menaburkan rasuah dalam kedua-dua pilihan raya. Adakah apa yang dijanjikan PM itu rasuah?

Sebagai ketua negara yang prihatin dengan masyarakat Hulu Selangor dan Sibu, tiada salahnya dari segi undang-undang Perdana Menteri memberikan peruntukan kepada rakyat di kedua-dua kawasan Parlimen itu.

Beliau membuat janji atas kapasiti sebagai Perdana Menteri dan peruntukan yang diberikan adalah peruntukan kerajaan. Pemberian sumbangan dan peruntukan ini pula bukan diberikan kepada setiap pengundi atau individu. Ia untuk keseluruhan rakyat dan masyarakat di kedua-dua kawasan.

Oleh itu, kepentingan peruntukan adalah untuk semua dan bukan untuk kepentingan individu semata-mata. Walaupun menerima pelbagai bentuk peruntukan untuk pembangunan, rakyat tidak pula dipaksa untuk mengundi. Keputusan pengundian masih terletak di tangan rakyat dan hasilnya jelas Barisan Nasional (BN) menang di Hulu Selangor dan DAP menang di Sibu. Tiada unsur paksaan, penindasan dan niat jahat dalam konteks ini.

Keputusan kes Teoh Teik Huat lawan Lim Kean Siew & Anor tahun 1981 berhubung kenyataan Tengku Razaleigh selaku Menteri Kewangan untuk memberikan peruntukan kewangan yang besar sekiranya BN menang Pengkalan Kota, jelas menunjukkan bahawa janji-janji pilihan raya tidak menjadi suatu kesalahan rasuah. Antara intipati penghakiman dalam kes ini adalah seperti berikut:

“The corrupt intention and corrupt inducement to the electors or voters to vote or refrain from voting must exist. The corrupt practice of bribery which is criminal offence by statue must be strictly proved beyond all reasonable doubt by clear and unequivocal evidence, and the inducement to vote or refrain from voting must be exercised upon one or more electors or voters who must be identified as the objects to whom it was made or addressed. There is no such specific or identifiable particularity in this case but only an allegation of an address to a faceless and amorphous crowd of somewhat unanalyzed fluidity of over 1,500 people said to have been largely compromised of electors or voters and people of the constituency.”

“Tengku Razaleigh was not himself the Barisan Nasional candidate in the election and there is no reason why he should pledge his personal fortune.”

“Moreover a promise of public action made by Tengku Razaleigh is in his capacity as a Minister in Charge of the country fiscal portfolio.”

Berdasarkan kepada penghakiman di atas, jelas menunjukkan bahawa janji-janji politik yang dibuat oleh Perdana Menteri tidak dapat diklasifikasikan sebagai rasuah atas fakta-fakta berikut:

  • Janji yang dibuat oleh Perdana Menteri dibuat atas kapasitinya sebagai Ketua Negara dan Menteri yang bertanggungjawab dalam soal kewangan negara;
  • Majlis tersebut tidak hanya mengumpulkan pengundi Hulu Selangor atau Sibu semata-mata, sebaliknya dihadiri ribuan penyokong termasuk penduduk tempatan, orang luar dan rakyat dari daerah- daerah yang lain;
  • Perdana Menteri bukan juga merupakan calon yang bertanding;
  • Kepentingan peruntukan yang diberikan adalah untuk rakyat keseluruhannya dan bukannya untuk kepentingan individu tertentu terutamanya pengundi;
  • Tiada unsur paksaan dalam menentukan proses pengundian.
  • Peruntukan yang dijanjikan bukan wang peribadinya tetapi adalah peruntukan Kerajaan Pusat.

Peguam Rakyat

Kuala Lumpur

Ihsan-Utusan Malaysia 25 Mei 2010

Download

www.pdf24.org    Send article as PDF   

  1. No comments yet.
(will not be published)