SPRM dan Kebebasan


“Kebebasan di dalam setiap tindakan.” Ini adalah ungkapan yang sering diutarakan dan didengar apabila apa sahaja isu mengenai SPRM diketengahkan. Malah kebebasan ini jugalah yang dituntut di dalam setiap tindakan yang di ambil oleh SPRM di dalam menjalankan fungsinya untuk membantueras rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di negara ini. Kadangkala, ungkapan kebebasan ini juga sering kali menjadi modal cerita dan “penambah perisa” yang seringkali digunakan dan dieksploitasi oleh pihak-pihak yang mempunyai kepentingan tertentu tentang apa sahaja yang di lakukan oleh pihak SPRM.


Kaitan mengenai kebebasan dengan SPRM memang menjadi topik hangat. Pelbagai cacian, serta tohmahan dilempar dan diperkatakan mengenai kebebasan aspek tindakan SPRM. Tuduhan seperti, “SPRM tidak bebas”, “SPRM dikawal oleh tangan-tangan ghaib” serta “SPRM cuma perubahan kulit” seringkali didengar dan adakalanya mengguris hati dan perasaan pegawai-pegawai SPRM yang bertungkus-lumus menjalankan tugas serta tanggungjawab mereka.

Melihat kepada struktur SPRM pada masa kini, ternyata ia adalah sebuah badan yang bebas. Buat pengetahuan bagi yang belum mengetahui, SPRM terletak dibawah lima buah jawatankuasa. Jawatankuasa-jawatankuasa tersebut adalah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Panel Penilaian Operasi, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Jawatankuasa Aduan dan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah.

Kelima-lima jawatankuasa ini merupakan “badan pengimbang” yang mana ianya berfungsi untuk menasihati serta memantau perjalanan SPRM di dalam setiap tindakan yang diambil. Di dalam erti kata lain, SPRM bertanggungjawab sepenuhnya kepada kelima-lima jawatankuasa ini. Tidak pernah ada dalam sejarah di dalam mana-mana organisasi yang mana perjalanan sesebuah organisasi tersebut dipantau sepenuhnya oleh lima badan “pengimbang”. Bayangkan, pendek kata, setiap inci pergerakan Suruhanjaya ini adalah diperhatikan sepenuhnya oleh jawatankuasa-jawatankuasa ini. Tidak sedikit pun yang tersembunyi daripada pengetahuan jawatankuasa-jawatankuasa ini.

Mengenai keanggotaan jawatankuasa-jawatankuasa ini, ianya dianggotai oleh setiap lapisan masyarakat. Kenaggotaan jawatankuasa-jawatankuasa ini bukan calang-calang orangnya, yang mana ianya terdiri daripada golongan-golongan professional seperti bekas Ketua Hakim Negara, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, peguam, pentadbir termasuklah ahli-ahli politik. Mereka ini dipilih berdasarkan sumbangan serta keutuhan integriti yang ada pada mereka. Malah, ada diantara ahli-ahli jawatankuasa ini tidak mahu menerima bayaran elaun di atas perlantikan mereka sebagai ahli jawatankuasa SPRM. Ini sesungguhnya menunjukkan iltizam serta keazaman mereka untuk melihat Malaysia bebas dari segala bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dan sedia untuk berkhidmat dengan penuh integriti.

Ada juga suara-suara sumbang yang menyatakan bahawa SPRM masih lagi dibawah kawalan sesebuah kementerian atau jabatan tertentu. Justeru itu, timbul dakwaan bahawa tidak mustahil perjalanan SPRM dikawal oleh tangan-tangan ghaib ini. Namun yang demikian, kita hendaklah melihat bahawa sistem kerajaan yang ada pada kerajaan Malaysia pada hari ini adalah berdasarkan sistem pentadbiran British. Sistem pentadbiran negara terbahagi kepada tiga peringkat, iaitu kuasa eksekutif, kuasa perundangan dan kuasa badan kehakiman. Ketiga-tiga badan ini dijadikan badan yang berasingan dengan tujuan untuk mengelakkan penyelewengan dan salah guna kuasa. Setiap badan akan berfungsi mengikut lunas undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan, serta mempunyai batasan kuasa yang tersendiri seperti yang telah ditetapkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.  Bayangkan, sekiranya ketiga-tiga kuasa ini diletakan dibawah satu badan sahaja, sudah tentu ruang dan peluang untuk berlakunya salahguna kuasa serta penyelewengan akan menjadi lebih luas kerana tidak ada satu sistem atau mekanisme kawalan yang akan mengawal kuasa-kuasa pemerintahan. Akibatnya, masyarakat serta negara akan menerima padahnya. Penindasan, serta ketidakadilan politik serta sosial akan berlaku. Kesannya sudah tentu akan menjejaskan struktur serta keadaan ekonomi, politik dan sosial negara kita.

Berdasarkan sistem “check and balance” ini, sekiranya dikaitkan dengan SPRM, ianya sudah cukup mengambarkan SPRM menjalankan tugas dan fungsinya dengan bebas. Dari segi tugas siasatan (yang mana merupakan tugasan utama SPRM) ianya di jalankan dengan bebas dan tanpa pengaruh orang luar. Ini adalah kerana, kuasa pelaksanaan tugasan siasatan adalah merupakan fungsi dan tanggungjawab SPRM, dan pihak lain tidak boleh mencampuri hal tersebut. Setelah sesuatu siasatan telah diselesaikan dan dilengkapkan, maka ianya akan di serahkan kepada pihak perundangan (Jabatan Peguam Negara) untuk tujuan pendakwaan. Disini, dapat dilihat setiap badan akan menjalankan fungsinya masing-masing dan tiada campur tangan di dalam proses serta fungsi sesebuah organisasi tersebut.

Selain itu, adalah menjadi dasar kerajaan untuk menyalurkan kewangan kepada semua agensi-agensi kerajaan melalui kementerian-kementerian yang sedia ada. Begitu juga dengan SPRM. Tujuan SPRM diletakkan dibawah Jabatan Perdana Menteri adalah semata-mata untuk proses pentadbiran, contohnya, pembayaran gaji kepada pegawai-pegawai SPRM, dan pengurusan sumber manusia bagi SPRM.

Namun yang demikian, masih ada juga segelintir pihak yang masih menggunakan isu kebebasan ini demi untuk kepentingan diri sendiri dan kelansungan politik seseorang individu ataupun sesebuah organisasi politik. Walaupun sudah berbuih mulut untuk menerangkan  perkara ini, namun perkara ini masih juga dicanangkan kesana – ke mari untuk terus dijadikan modal politik murahan sesetengah pihak. Isu mengenai kebebasan SPRM dan rasuah sering dijadikan “penyedap” bagi sajian perjuangan politik mereka. Mereka yang mendakwa sebagai pejuang-pejuang rasuah, yang mana apabila dilhat sesuatu tindakan yang diambil terhadap mereka, mereka inilah yang terus “melompat” dan bertindak agresif, serta menjadi tidak tentu hala. Mereka ini seolah-olah tidak boleh disentuh, ataupun dengan ungkapan yang lebih tepat lagi, “the untouchables”.

Walau sekerap manapun penjelasan yang diberikan namun ianya masih tidak diterima oleh mereka. Adakah mereka ini tidak faham atau bebal, atau sengaja untuk tidak faham dan berkelakuan bebal. Golongan sebegini juga dilihat seperti mempunyai “selective mindset” ataupun pemirkiran yang memilih. Ini terjadi kerana tertanamnya ideologi-ideologi ataupun doktrin pemikiran sesetengah pihak yang menolak sacara total apa sahaja usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan SPRM di dalam usaha membanteras gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di negara ini. Mereka merasakan hanya mereka sahaja yang betul dan mereka ini jugalah mengambil kesempatan untuk memainkan isu-isu rasuah demi kepentingan mereka yang kadangkala diragui kebenaran dan keikhlasan mereka.

Sekiranya perkara sebegini terus berlarutan, maka, yang menjadi mangsa adalah SPRM sendiri. Untuk memerangi rasuah secara efektif dan total, penglibatan semua pihak adalah sangat diperlukan. Tanggungjawab memerangi rasuah bukan hanya digalas oleh SPRM sahaja. Sekiranya perkara mengenai kebebasan SPRM ini terus dipermainkan, maka ianya akan terus menimbulkan persepi yang negatif oleh orang awam terhadap SPRM, maka perjuangan memerangi rasuah akan menjadi perjuangan yang tidak akan berkesudahan. Seperti di medan perang, ianya seperti hanya SPRM yang menyerang dan berjuang habis-habisan, tetapi yang lain menyorok dan lari ketakutan.

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , ,

  1. #1 by Shahami on September 22, 2010 - 9:26 am

    salam.Tolong betulkan perkataan pada paragraph1line4-“membanteras” bukan membantueras.T.Kasih

(will not be published)