POLITICAL WILL: KERAJAAN vs DIRI SENDIRI?


Soalan cepumas yang sering ditanya dalam seminar-seminar bertemakan anti-rasuah adalah “political will”. Kebanyakan yang bertanya pula terdiri daripada golongan profesional yang berkedudukan dan berpendidikan tinggi. Melalui soalan yang ditanya, ia seolah-olah menggambarkan rasa tidak puas hati golongan ini terhadap keseriusan kerajaan memerangi rasuah di negara ini.


Apakah benar selama ini kerajaan tidak mendukung usaha memerangi rasuah di negara ini sebagaimana yang digambarkan mereka?

Malaysia berbanding lain-lain negara termasuk di rantau Asia dan dunia keseluruhannya adalah antara negara yang paling aktif memainkan peranan penting terhadap usaha memerangi rasuah. Ini diakui sendiri oleh negara-negara luar sehinggakan ada yang sanggup datang ke Malaysia untuk mempelajari dan mencontohi dasar dan program-program anti rasuah yang dilaksanakan di negara ini.

Gerakan memerangi rasuah di negara ini telah bermula sebelum era kemerdekaan lagi. Undang-undang mengenai anti-rasuah diperkenalkan di tanah Melayu seawal 1873 lagi.

Selepas negara mencapai kemerdekaan, peranan dan tanggungjawab memerangi rasuah dilaksanakan oleh tiga unit yang berbeza iaitu Special Crime (Polis Diraja Malaysia), Unit Pencegahan (Jabatan Perdana Menteri) dan Unit Pendakwaan (Kementerian Kehakiman). Pada 1 Oktober 1967, ketiga-tiga unit berkenaan digabungkan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab memerangi rasuah menerusi sebuah badan khas yang dinamakan Badan Pencegah Rasuah Malaysia.

BPR ditubuhkan dengan objektif asalnya untuk memerangi sebarang bentuk perlakuan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang ditegah oleh undang-undang.

Bermula pada era 60-an hinggalah ke hari ini, BPR terus berkembang dan terus menerus menyumbang kepada pembangunan, kesejahteraan dan kemakmuran negara ini. Boleh dikatakan bahawa BPR merupakan satu-satunya agensi penguatkuasaan pencegahan rasuah yang tertua di dunia. Terdapat juga antara rakan-rakan agensi anti-rasuah di lain-lain negara yang tumbang dan gulung tikar kerana tiada “political will”, namun BPR bukan sahaja terus gah berdiri malah dipertingkatkan keupayaan dan keanggotaannya. Tahun 2009, menjadi bukti di mana BPR dinaiktarafkan sebagai sebuah suruhanjaya dengan pertambahan keanggotaan seramai 5,000 orang pegawai penyiasat.

Kewujudan dan kemajuan yang dicapai oleh SPRM sehingga ke hari ini menjelaskan betapa Kerajaan amat serius dalam memerangi rasuah di negara ini. Setiap kepimpinan negara mempunyai agenda yang sama iaitu menjadikan rasuah sebagai musuh dalam semua dasar yang diperkenalkan. Berikut adalah antara inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia dalam membanteras jenayah rasuah di Malaysia. Semoga inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan ini menjadi ukuran tepat dalam menilai tahap “political will” di negara ini;

  • Penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia;

  • Penubuhan Institut Integriti Malaysia;

  • Kewujudan Pelan Integriti Nasional;

  • Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri;

  • Jawatankuasa Tabdir Urus (JKTU) di peringkat Negeri, Kementerian, Daerah;

  • Mahkamah Khas Membicarakan kes-Kes Rasuah;

  • Signatory kepada United Nations Convention Against Corruption (UNCAC);

  • Penubuhan lima Panel / Jawatankuasa / Lembaga – sebagai Pemantau dalam Struktur baru SPRM;

  • Rasuah dijadikan cabaran penting dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA);

  • Kewujudan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia – pusat latihan anti-rasuah bagi SPRM dan agensi-agensi penguatkuasaan antarabangsa;

  • Penambahan keanggotaan pegawai SPRM seramai 5,000 orang;

  • Pengenalan Integrity Pact dalam sistem perolehan negara;

  • Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 – undang-undang memerangi rasuah yang komprehensif;

  • Akta Anti-Penggubahan Wang Haram (AMLA);

  • Tuan rumah 1st OIC Anti-Corruption and Enhancing Integrity Forum;

  • ADB-OECD Anti-Corruption Initiatives for Asia and Pacific;

  • International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA);

Kejayaan memerangi rasuah bukan bergantung political will Kerajaan semata-mata. Masyarakat harus sedar bahawa ia merupakan perjuangan dan tanggungjawab bersama. Semua pihak harus memainkan peranan. Kenapa ditanya political will Kerajaan? Bagaimana pula political will dalam diri sendiri?

Kini terbukti, Kerajaan telah memainkan peranannya. Bagaimana pula anda? Mulakanlah langkah memerangi rasuah dengan bermula dari dalam diri anda sendiri.

Ibarat memerangi komunis dan kemiskinan. Semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menghapuskan komunisme dan kemiskinan. Kenapa bila memerangi rasuah, Kerajaan dan SPRM sahaja yang dipertanggungjawabkan. Untuk berjaya kita memerlukan suatu gerakan besar-besaran, bersepadu dan sistematik untuk sama-sama mengharunginya.

Bersama Lakukan Perubahan Perangi Rasuah. Mulakan dengan diri anda.

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , , , ,

  1. No comments yet.
(will not be published)