6 PUNCA WUJUDNYA ADUAN SAMPAH


Kesedaran masyarakat berhubung peranan dan tanggungjawab sebenar SPRM masih di tahap yang rendah. Keadaan ini dibuktikan menerusi kenyataan Pengarah Siasatannya yang menjelaskan bahawa hampir 50 peratus dari maklumat atau aduan yang dibuat kepada SPRM dikategorikan sebagai “aduan sampah”.


Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, sebanyak 3,293 atau 48.5 peratus daripada 6,793 aduan yang diterima SPRM terpaksa diketepikan kerana pelbagai faktor termasuk tidak lengkap, tiada kaitan dengan kes rasuah dan mengandungi maklumat palsu.

Selain itu, pelbagai aduan yang dibuat yang tiada kaitan dengan bidang kuasa SPRM seperti masalah banjir, jalan raya rosak, stadium runtuh, kecurian pasir, pembalakan haram, penerokaan tanah secara haram, projek terbengkalai, pengambilan tanah secara paksa, masalah pendatang tanpa izin, penjaja haram, peniaga menyalahgunakan lesen, pengagihan rumah PPRT yang tidak adil dan bermacam-macam masalah masyarakat dirujuk kepada SPRM untuk tindakan.

Boleh dikatakan hampir sebahagian besar jalan penyelesaian yang difikirkan oleh masyarakat setelah aduan rasmi yang dibuat kepada agensi-agensi yang bertanggungjawab tidak dilaksanakan adalah dengan merujuk kepada SPRM.

Jika ditinjau dari sudut yang positif sememangnya senario ini memperlihatkan tahap keyakinan dan kepercayaan yang tinggi masyarakat terhadap SPRM sebagai sebuah agensi yang berupaya membantu dan menyelesaikan permasalahan rakyat.

Namun, masyarakat harus dididik dan disedarkan, bahawa SPRM mempunyai beban tugas dan tanggungjawab yang lebih besar dan lebih penting. Undang-undang yang termaktub menggariskan persempadanan fungsi dan tanggungjawab SPRM hanya untuk mengesan, menyiasat dan mengambil tindakan ke atas kes-kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Kenapa dan bagaimana perkara ini berlaku? Berdasarkan kepada pemerhatian penulis terdapat enam faktor yang menyebabkan masyarakat menumpukan perhatian dan keyakinan mereka terhadap SPRM dalam menyelesaikan permasalahan mereka. Antaranya adalah:

  • Kegagalan agensi-agensi bertanggungjawab untuk mengambil tindakan segera ke atas laporan atau aduan yang dikemukakan oleh rakyat;
  • Kegagalan pemimpin-pemimpin setempat khususnya Ahli Parlimen dan ADUN untuk turun padang bagi mendekati permasalahan masyarakat serta menunjukkan minat untuk membantu menyelesaikannya;
  • Tindakan ADUN dan pemimpin-pemimpin tempatan yang ‘mencuci tangan’ dengan menggesa masyarakat merujuk perkara ini SPRM untuk menyelesaikannya;
  • Pertindihan bidang kuasa antara pihak-pihak yang bertanggungjawab dan masing-masing menuding jari antara satu sama lain. Contoh berhubung isu kecurian pasir – Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah dan Galian, Polis, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Alam Sekitar masing-masing tunggu dan lihat sebelum mengambil tindakan;
  • Kurangnya pemantauan dan proses turun padang oleh agensi-agensi bertanggungjawab sebagai langkah pencegahan serta penguatkuasaan dan hanya akan muncul setelah keadaan menjadi lebih teruk. Contoh dalam kes penerokaan tanah secara haram, agensi yang bertanggungjawab langsung tidak prihatin untuk melawat ke kawasan masing-masing bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan sehinggalah berlakunya aduan tanah runtuh, banjir atau kematian;
  • Persepsi masyarakat bahawa semua kejadian atau permasalahan berpunca dari unsur rasuah. Disebabkan rasuah jalan raya yang dibina rosak, jambatan roboh, stadium runtuh, balak diteroka secara haram, pendatang asing bermaharajalela dan bermacam-macam-macam lagi.

Jika rasuah menjadi alasan dan ukuran dalam semua kejadian yang berlaku dan menjadi  faktor utama masyarakat merujuk semua permasalahan mereka kepada SPRM, saya berpendapat SPRM bukan sahaja tidak akan berupaya untuk melaksanakan tugasnya secara efektif dan berkesan. Malah bakal berhadapan dengan kritikan dan hentaman segelintir masyarakat kesan dari kegagalan lain-lain institusi melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka.

Untuk memastikan rasuah berjaya dibanteras, semua pihak harus bekerjasama. Tanggungjawab memeranginya tidak boleh dipikul SPRM semata-mata. Sebaliknya ia memerlukan penglibatan semua pihak khususnya agensi-agensi kerajaan. Dengan melaksanakan tugas dan tanggungjawab penguatkuasaan, pemantauan dan kesan tindakan tegas maka bukan sahaja rasuah dapat dibendung malahan kejadian-kejadian seperti masalah alam sekitar dan jenayah dapat di atasi.

Konsep 1Malaysia wajar diterapkan di kalangan Warga Perkhidmatan Awam sebagai suatu pendekatan bukan sahaja merapatkan hubungan sesama bangsa malahan yang penting hubungan dan kerjasama erat antara agensi-agensi Kerajaan agar menjadi 1Malaysia ke arah mencapai visi serta misi negara.

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , ,

  1. No comments yet.
(will not be published)