Ketelusan Siasatan SPRM


Akhir-akhir ini terdapat beberapa pihak terutamanya media baru dan pihak pembangkang mengutarakan isu yang mengatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terpilih. SPRM dituduh hanya menjalankan siasatan terhadap pihak pembangkang dan sepi terhadap tohmahan ke atas pihak berkuasa. Isu yang ditimbulkan ini telah sedikit sebanyak mengelirukan masyarakat. Sebenarnya pihak yang menimbulkan isu ini sendiri tidak memahami objektif penubuhan, bidang kuasa, fungsi dan tanggungjawab SPRM.


Secara ringkasnya, SPRM telah ditubuhkan melalui Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang telah diberi perkenan Diraja pada 6 Januari 2009 dan diwartakan pada 8 Januari 2009. Sejak itu, entiti pencegahan rasuah dinegara ini tidak lagi dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah tetapi sebagai sebuah suruhanjaya. Pertukaran nama entiti ini bukan sekadar retorik tetapi bagi memberi kuasa yang mencukupi serta kebebasan dalam melaksanakan sebarang siasatan berkaitan jenayah rasuah dan kesalahan-kesalahan yang ditetapkan.

Bagi meyakinkan masyarakat bahawa SPRM adalah sebuah entiti pencegahan rasuah yang bebas, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 memperuntukkan penubuhan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah dan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah serta Jawatankuasa Aduan. Pihak SPRM seterusnya secara pentadbiran mewujudkan dua panel yang dikenali sebagai Panel Penilaian Operasi dan, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah. Walaupun panel-panel ini diwujudkan secara pentadbiran tetapi perlantikan ahlinya dibuat oleh YAB Perdana Menteri bagi memegang jawatan selama tempoh dua tahun.

Panel Penilaian Operasi ini dianggotai oleh individu yang mempunyai integriti yang tinggi dan berwibawa serta dari pelbagai sektor. Panel ini di pengerusikan oleh Tan Sri Datuk Dr Hadenan bin Abdul Jalil (bekas Ketua Audit Negara & Pengerusi Takaful Malaysia Berhad) serta dianggotai oleh Dato’ Cecil Abraham (Konsultan kepada firma guaman Zul Rafique & Partners), Nik Mohd Hasyudeen bin Yusof (Presiden Institut Akauntan Malaysia), Walter Sandosam (Presiden Institut Audit Dalaman Malaysia), Datin Aminah binti Pit (Pengarah Bukan Eksekutif Amanah Raya Berhad), Dato’ Md Hamzah bin Md Kassim (Ketua Pegawai Eksekutif IA Group) dan Profesor Dr Syed Noh bin Syed Ahmad (Profesor Perakaunan UiTM). Kesemua ahli panel berkenaan menerima jawatan berkenaan secara sukarela dan tidak dibayar sebarang imbuhan. Malahan kesemua mereka adalah individu yang bebas daripada sebarang ikatan dengan SPRM.

Panel Penilaian Operasi melaksanakan terma rujukan perlantikan yang merangkumi semua perkara berkaitan operasi SPRM seperti:

–          Menerima dan mendapatkan penjelasan berhubung perangkaan Kertas Siasatan yang dibuka;
–          Menerima dan meneliti laporan berhubung dengan Kertas Siasatan yang mana tempoh siasatan melebihi tempoh 12
bulan;
–          Menerima laporan berhubung semua kes dimana orang yang ditangkap yang dilepaskan dengan jaminan melebihi 12
bulan;
–          Menerima dan meneliti laporan berhubung dengan keputusan kertas siasatan yang diperoleh dari Pendakwa Raya;
–          Menerima dan meneliti laporan berhubung dengan kertas siasatan yang dikemukakan kepada Pendakwa Raya dan
tidak mendapat apa-apa keputusan selepas tempoh melebihi 6 bulan;
–          Memberi pendapat berhubung tindakan-tindakan ke atas kes-kes yang diputuskan untuk tidak dituduh;
–          Menasihati dan membantu ke arah keberkesanan operasi siasatan;
–          Meneliti, mengkaji dan memperakukan kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah berhubung cadangan untuk
meningkatkan  keberkesanan operasi siasatan SPRM.

Jelas disini bahawa SPRM tidak boleh tidak menjalankan sebarang siasatan terhadap sesuatu aduan yang diterima yang dibuka kertas siasatan atas apa alasan sekalipun melainkan dipersetujui oleh Panel Penilaian Operasi.

Semua siasatan yang dijalankan oleh SPRM perlu disiapkan dalam tempoh 12 bulan. Kegagalan menyiapkan siasatan dalam tempoh tersebut akan menyebabkan pihak SPRM perlu memberi penjelasan yang munasabah kepada Panel Penilaian Operasi alasan atau sebab-sebab siasatan berkaitan tidak dapat disiapkan dalam tempoh tersebut. Begitu juga dengan siasatan terhadap kes-kes yang pelaku rasuah telah ditangkap dan dilepaskan dengan jaminan bagi melebihi tempoh 12 bulan tanpa dipertuduh.

Panel Penilaian Operasi juga akan meneliti laporan terhadap semua kertas siasatan yang dikemukakan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya tetapi tidak mendapat sebarang keputusan dalam tempoh 6 bulan. Malahan, panel juga meneliti laporan semua keputusan yang dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya terhadap sesuatu siasatan. Sebarang keputusan yang dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya yang tidak dipersetujui oleh panel boleh diarah untuk dikaji semula keputusan yang telah dibuat.

Penubuhan Panel Penilaian Operasi ini bukan sahaja menjadi satu “badan” pengawas terhadap semua operasi siasatan yang dilaksanakan oleh SPRM tetapi juga menjadi wadah ‘check and balance’ dalam pelaksanaan tanggongjawab operasi SPRM. Ini jelas menunjukkan bahawa SPRM adalah telus dalam semua operasi siasatan yang dijalankan.

Penjelasan keputusan siasatan kepada Panel Penilaian Operasi dan tidak kepada umum melalui akhbar dapat membendung seseorang yang disiasat oleh SPRM diaibkan atau sesuatu pihak mengambil kesempatan untuk menjatuhkan maruah bukan sahaja individu yang telah ditohmah tetapi kaum kerabatnya. SPRM hanya mendedahkan identiti individu yang disiasat setelah individu berkenaan dipertuduh dimahkamah. Ini adalah selaras dengan kehendak peruntukkan seksyen 29(4) Akta Suruhanjayan Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Rasanya belum ada entiti penguatkuasaan di dunia terutamanya di negara ini yang dipantau oleh lima ‘badan pemantau’ yang bebas dan profesional akan semua fungsinya. Malahan, tiada entiti penguatkuasaan yang memberi penjelasan terhadap sesuatu operasi siasatan kepada panel khas sebagaimana SPRM kepada Panel Penilaian Operasi selain dari siasatan disemak oleh pihak Peguam Negara.

SPRM sebenarnya tidak bebas untuk sengaja menutup sebarang siasatan terhadap mana-mana pihak. Ianya adalah satu-satunya entiti penguatkuasaan yang telus dalam semua fungsi dan tanggongjawabnya. Justeru itu, semua pihak harus memberi kerjasama dan mempunyai keyakinan terhadap SPRM terutamanya dalam pembenterasan jenayah rasuah. Seluruh warga negara tanpa mengira latar belakang pendidikan, status sosial, kaum, agama mahupun jantina dengan ini disarankan BERSAMA MELAKUKAN PERUBAHAN: PERANGI RASUAH.

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , , , , ,

  1. No comments yet.
(will not be published)