PENDEDAHAN MEDIA SUKARKAN SIASATAN


Tindakan wartawan salah sebuah akhbar berbahasa Malaysia mendedahkan kegiatan rasuah yang dikatakan dilakukan oleh anggota-anggota agensi penguat kuasa yang menjaga pintu masuk negara adalah suatu yang berani dan wajar diberikan pujian.


Tindakan serius juga wajar dikenakan terhadap anggota-anggota yang dianggap telah menggadaikan maruah dan kedaulatan negara hanya kerana terlalu mementingkan wang ringgit semata-mata. Disebabkan sogokan, ada antaranya yang sanggup bersekongkol dengan rakyat asing untuk membenarkan mereka membolosi pintu masuk negara dengan mudah. Inilah punca jika dilihat kenapa jumlah pendatang tanpa izin semakin hari semakin bertambah. Kesannya, jenayah semakin meningkat dan keselamatan negara terdedah kepada pelbagai bentuk ancaman.

Jika dilihat dari sudut ikan besar dan ikan kecil, anggota-anggota yang terlibat bolehlah dikategorikan sebagai ikan-ikan bilis. Namun perlu dilihat impak dan implikasi yang wujud kesan dari kegiatan yang dilakukannya. Membenarkan pendatang tanpa izin keluar/masuk ke negara ini dengan mudah tanpa ada sebarang dokumen pengenalan diri membuka seribu peluang perlakuan jenayah.

Sebagaimana yang dijelaskan bahawa tiada istilah ikan besar atau ikan bilis dalam siasatan SPRM selama ini. Apa yang penting, kesan dan implikasi kepada perbuatan rasuah yang dilakukan. Agensi penguat kuasa merupakan tunjang kepada aspek keselamatan di negara ini. Sekiranya wujud rasuah dan penyelewengan di kalangan anggota penguat kuasa maka ia akan memberi kesan kepada aspek keselamatan negara keseluruhannya. Justeru itu, wajar dikaji semula persepsi atau tanggapan negatif yang mengatakan SPRM hanya menumpukan kepada ikan kecil sahaja. Kesan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di kalangan ikan-ikan bilis khususnya di kalangan anggota keselamatan jauh lebih berbahaya dan memberi kesan langsung kepada masyarakat. Ini tidak bermakna ikan besar dibiarkan begitu sahaja dan tidak mendatangkan kesan kepada masyarakat. Tumpuan dan tindakan SPRM adalah sama tanpa mengira darjat, kedudukan mahupun fahaman politik.

Berbalik kepada pendedahan tersebut, media mempunyai kuasa yang amat besar dalam mendidik dan menyedarkan masyarakat. Peranan dan tanggungjawabnya tidak boleh dipertikaikan. Namun begitu, sejauh mana pendedahan yang dibuat dapat diambil tindakan sewajarnya? Apakah dengan pendedahan tersebut, kegiatan seumpamanya dapat dihentikan begitu sahaja?

Inilah persoalan yang sering dihujahkan oleh SPRM selama ini. Kerjasama media amat penting. Media tidak boleh terlalu awal mendedahkan sesuatu kes yang seterusnya memberikan kesan kepada proses siasatan. Itulah tujuan diwujudkan seksyen 29(4) Akta SPRM 2009.

Akhbar terbabit wajar terlebih dahulu merujuk sebarang maklumat kepada SPRM sebelum mendedahkannya. Atas maklumat tersebut perancangan yang teliti dapat dilaksanakan bagi memerangkap, menangkap dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

Pendedahan mengenai modus operandi dan pihak-pihak yang terlibat akan membuatkan anggota sindiket berpeluang untuk melarikan diri atau mencari jalan menutup ruang dan peluang siasatan. Bagaimana SPRM mahu bertindak sekiranya kesemua dokumen dan peralatan cap palsu dapat dimusnahkan dan individu yang terlibat telah menyedari bahawa diri mereka menjadi perhatian SPRM.

Penyiasatan merupakan proses yang rumit. Apatah lagi ia melibatkan jenayah bersindiket seperti kes jeti Pulau Ketam ini. Kesemua pihak yang terlibat termasuk agen, pendatang asing dan anggota penguat kuasa masing-masing mempunyai kepentingan dan mendapat faedah. Bagi kes-kes bersindiket ini, rangkaian yang terlibat adalah meluas dan bersifat antarabangsa. Oleh itu, proses pengumpulan bukti dan keterangan merupakan proses yang amat sulit dan memerlukan tempoh masa yang tertentu. Kaedah dan tekniknya tidak wajar dikongsi untuk pengetahuan umum.

Untuk makluman pembaca juga, kes-kes di pintu masuk sempadan dan pendatang tanpa izin ini bukan isu baru kepada SPRM. Puluhan anggota penguat kuasa telah ditangkap termasuk ketua jabatan. Sebilangan besar kes tidak dapat dihadapkan ke muka pengadilan atas faktor teknikal di mana kebanyakan saksi-saksi yang terlibat adalah warga asing dan sukar dijejaki. Selain itu, transaksi rasuah hanya dapat dibuktikan setakat orang tengah atau agen dan sukar untuk mengaitkan dengan anggota penguat kuasa. Oleh sebab itu, proses penyiasatan bagi kes-kes seumpama ini dilakukan secara sulit dan mengambil tempoh masa tertentu bagi memastikan ia dapat dilumpuhkan.

Oleh itu, elemen kerahsiaan dan kejutan amatlah penting dan menjadi kunci kepada proses penyiasatan kes-kes seumpama ini.

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , , ,

  1. No comments yet.
(will not be published)