SPRM: Bukan pencemar maruah


Semua orang berkehendakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menjalankan tanggungjawab pembenterasan jenayah rasuah secara efektif. Rakyat mahu melihat SPRM menjalankan siasatan terhadap individu tertentu yang dilihat sebagai pengamal rasuah, sama ada kerana kekayaan atau gaya hidup individu berkenaan. Dalam melaksanakan tanggungjawab berkenaan, SPRM diminta menjadi telus. Ada juga pihak tertentu yang bukan sahaja menyampaikan maklumat perbuatan rasuah terhadap seseorang individu kepada SPRM tetapi tanpa sebarang rasa tanggongjawab mendedahkan laporan yang dibuat itu kepada umum melalui media, yang ada kalanya mensensasikan isu berkenaan.


Kita semua sedia maklum, tanpa ketelusan SPRM, masyarakat umum tidak akan mengetahui tindakan yang telah diambil bagi perlakuan jenayah rasuah oleh individu tertentu. Masyarakat akan tertanya-tanya apakah ada tindakan siasatan terhadap individu berkenaan? Namun demikian, ketelusan pihak SPRM tidak seharusnya menjejaskan maruah individu atau organisasi berkenaan mahupun menyulitkan tindakan SPRM sendiri dalam menjalankan siasatan berkaitan. Semua pihak harus mempunyai keyakinan terhadap SPRM dalam memerangi jenayah rasuah. SPRM tidak harus dijadikan alat untuk sebarang kepentingan mana-mana pihak.

Sudah menjadi stikma kepada masyarakat untuk melabel seseorang individu yang disiasat oleh SPRM sebagai bersalah walaupun belum dihadapkan ke mahkamah mahupun didapati bersalah atau dijatuhkan hukuman kerana kesalahan yang dipertuduh. Ini bertentangan dengan prinsip undang-undang itu sendiri iaitu ”seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya”. Mengkhuatiri perkara ini maka pihak mahkamah mengamalkan prinsip ”lebih baik melepaskan sepuluh orang yang diketahui bersalah daripada mensabitkan seorang yang tidak melakukan kesalahan jenayah”.

Malahan, mungkin bagi menjamin maruah individu atau organisasi yang berkaitan tidak terjejas kerana siasatan yang dijalankan oleh SPRM, Parlimen dalam menggubal undang-undang pencegahan rasuah melalui Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 memperuntukkan seksyen 29(4) yang mengkehendaki sesuatu aduan itu dirahsiakan tanpa didedahkan kepada mana-mana orang selain pegawai-pegawai Suruhanjaya dan Pendakwa Raya sehinggalah individu berkenaan dipertuduh di mahkamah atas sesuatu kesalahan sama ada bagi satu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mahupun kesalahan di bawah undang-undang bertulis lain yang berbangkit dari aduan berkaitan.

Cuba kita bayangkan jika diri kita mahupun saudara mara kita ditohmah melakukan perbuatan rasuah dan diheboh-hebohkan dalam akhbar walaupun kita tidak melakukan perbuatan keji tersebut. Apakah kita sanggup menghadapi cemuhan dan pandangan negatif masyarakat terhadap kita? Bagaimana pula perasaan suami atau isteri, ibu bapa, mertua, anak-anak, adik beradik dan sebagainya? Apakah semata-mata hanya satu tohmahan mereka yang tidak berdosa ini perlu diaibkan maruah?

SPRM seharusnya dapat mengekalkan kerahsiaan semua aduan yang diterima sehingga siasatan telah dilengkapkan dan orang yang disiasat dipertuduh di mahkamah. Sehingga itu, masyarakat harus turut memainkan peranan bagi tidak mengungkit sebarang isu perlakuan rasuah terutamanya dengan niat untuk memburuk-burukkan atau mencemar maruah individu mahupun organisasi. Memadai bagi seseorang itu menyampaikan maklumat atau membuat laporan perlakuan jenayah rasuah yang diketahui itu kepada pihak SPRM.

Kenapa perlu ada kerahsiaan dalam siasatan mengenai perbuatan rasuah? Sebenarnya kerahsiaan sesuatu siasatan itu dapat memberi kesempatan kepada SPRM menjalankan siasatan yang adil dan profesional, dapat menghindar tertuduh dari menghapuskan keterangan, dapat menghindar tertuduh membuat pakatan dengan saksi bagi mengelak pertuduhan, menghindar tertuduh dari mereka-reka alibi (pembelaan), menguwujudkan situasi kejutan atau ketidaksangkaan pelaku rasuah mengenai siasatan dan dapat menentukan tertuduh dihadapkan ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan jenayah rasuah.

Kenapa kerana tindakan yang tidak rasional sesuatu pihak memberi ruang kepada pelaku rasuah terselamat dari pertuduhan? Pelaku rasuah sudah tentu mencari jalan untuk terselamat dari pertuduhan dengan mendapatkan khidmat nasihat peguam bagi menyediakan rantaian pembelaan bagi menimbulkan sesuatu keraguan. Malahan ia memberi peluang yang terbuka kepada pelaku rasuah untuk mendapatkan seseorang ’saksi’ palsu untuk menyokong pembelaannya. Haruskah pelaku rasuah dibiarkan terlepas dari pertuduhan hanya kerana tindakan pendedahan oleh sesuatu pihak terutamanya pihak media? Tentu sekali kita mahu melihat setiap pelaku rasuah dihadapkan ke muka pengadilan.

Siasatan jenayah rasuah bukanlah satu proses yang mudah sebagaimana sangkaan umum. Siasatan perlu membuktikan semua intipati sesuatu kesalahan, memperoleh keterangan yang mencukupi, keterangan yang diperoleh perlu disokong dengan keterangan seorang saksi bebas yang bukan rakan sejenayah, keterangan harus boleh diterima oleh pihak mahkamah, dan yang penting sekali tiada percanggahan keterangan diantara seorang saksi dengan saksi yang lain. Sedikit keraguan atau percanggahan boleh menyebabkan tertuduh terlepas dari sabitan.

Masyarakat harus menerima hakikat bahawa bukan semua orang yang ditohmah itu benar-benar melakukan perbuatan rasuah. Mereka boleh jadi mangsa sakit hati, mungkin kerana dengki dan mungkin juga kerana persepsi negatif orang lain ke atas kekayaan atau gaya hidup yang berbeza dengan kelompok masyarakat setempat.

Pihak media terutamanya media baru harus turut mempunyai tanggongjawab sosial bagi melapurkan sesuatu isu perlakuan rasuah kepada agensi penguatkuasaan dan bukanya mensensasikan isu berkaitan dalam akhbar atau paparan media baru tanpa mengambil kira sentimen maruah individu, keluarga dan masyarakat serta negara.

Masyarakat harus mempunyai keyakinan bahawa tidak seorang pun dikalangan warganegara Malaysia kebal dari tindakan undang-undang jika melakukan sesuatu kesalahan jenayah. Mungkin seseorang itu boleh terlepas pada kali pertama melakukan perbuatan rasuah tetapi tidak seterusnya seperti kata pepatah melayu ”pandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh juga ke tanah”.

Wahai hamba Allah SWT yang beriman, jauhilah dari perbuatan rasuah, hindarkan diri dari makan hasil yang haram dari perbuatan rasuah dan ingatlah bahawa balasan bagi perbuatan rasuah adalah amat pedih dan menyeksakan. Wallahhu waalam. Oleh itu, marilah kita bersama-sama melakukan perubahan – perangi rasuah.

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , ,

  1. No comments yet.
(will not be published)