Kerahsiaan dan Kejutan: Dua Elemen Penting Dalam Penyiasatan Kes Profil Tinggi


Kebelakangan ini sebilangan besar siasatan kes-kes yang melibatkan berprofil tinggi dan berkepentingan awam terjejas teruk disebabkan tindakan pihak media khususnya media alternatif dan laman-laman sesawang yang secara terang-terang menghebahkan dan mendedahkan maklumat-maklumat penting berhubung sesuatu kes sebelum ianya disiasat sepenuhnya oleh SPRM.

Tindakan menghebahkan dan mendedahkan maklumat-maklumat penting berhubung sesuatu kes akan memberi kesan negatif kepada tindakan SPRM. Ia juga secara tidak langsung membantu dan memberi kesempatan kepada individu yang disiasat untuk mengelakkan diri.

Kerahsiaan (secrecy) dan kejutan (surprise) merupakan dua elemen penting dalam siasatan SPRM. Siasatan SPRM yang dibuat secara sulit tanpa diketahui oleh mana-mana pihak khususnya suspek akan memberikan kelebihan kepada SPRM dari segi:

  1. mengadakan perancangan teliti untuk bertindak termasuk aktiviti menyerbu, membongkar, menggeledah, menyita dan menangkap suspek;

  1. berupaya mengesan, menjejak dan merakam percakapan saksi-saksi penting;

  1. mengkaji, memahami dan menilai modus operandi dan keseluruhan sistem serta rangkaian perlakuan rasuah;

  1. memahami dan menentukan dokumen-dokumen penting dan lain-lain bukti untuk menyokong proses penyiasatan;

  1. mengkaji dan menentukan lokasi-lokasi termasuk pejabat, rumah, bank, kenderaan, gudang dan lain-lain tempat di mana bahan-bahan bukti dan dokumen tersimpan;

  1. mengkaji profil dan tingkah laku suspek;

  1. mengkaji jaringan (networking) suspek dengan lain-lain individu yang bersubahat;

  1. mendapatkan kerjasama pihak berkuasa yang lain dalam proses penyiasatan khususnya untuk meneliti akaun, maklumat peribadi dan butir-butir berkaitan kes;

  1. mengesahkan kebenaran sesuatu tohmahan sebelum tindakan dibuat.

Kesemua maklumat atau tindakan yang digariskan di atas penting untuk memastikan keterangan dan bukti-bukti sokongan diperoleh bagi menguatkan kes bagi tujuan pendakwaan. Tanpa elemen kerahsiaan atau setelah ia bocor di media, maka ia menyukarkan tindakan khususnya yang berkait dengan elemen kedua iaitu elemen kejutan (surprise).

Elemen kejutan penting dalam siasatan SPRM kerana ia bukan sahaja tidak diketahui suspek, malahan yang penting suspek tidak sempat untuk bertindak balas bagi menggagalkan kes yang sedang disiasat. Sekiranya siasatan dibuat secara mengejut, kesannya amatlah positif kerana suspek tidak sempat untuk bertindak:

  1. mencari jalan atau alibi bagi setiap kes yang disiasat;

  1. mempengaruhi, mengugut dan menghalang saksi-saksi kes;

  1. memusnahkan semua dokumen dan bahan bukti kes;

  1. meminda dan mengubah apa jua dokumen berkaitan kes;

  1. melarikan saksi-saksi penting;

Kebiasaannya, kes-kes yang melibatkan individu berprofil tinggi dan berkepentingan awam akan menjadi isu panas yang dibongkar oleh pihak media. Bagi media, pembongkaran ini merupakan suatu kejayaan dan tanggungjawab mereka sebagai watchdog kepada masyarakat. Akan tetapi, sejauh mana pembongkaran yang dibuat dapat menghukum seseorang suspek atas jenayah yang dilakukannya? Sebenarnya ia langsung tidak memberi kesan dari segi menghukum suspek serta membantu agensi penguatkuasaan untuk menjalankan tugas. Tindakan ini sebenarnya lebih membantu pihak suspek untuk mencari jalan memutarbelitkan kes yang disiasat.

Pada zaman era teknologi ini, transaksi, pola dan jaring perlakuan rasuah semakin kompleks dan sofistikated. Bukan mudah untuk agensi penguat kuasa untuk mencari, mengkaji dan memahami sesuatu kes kompleks yang melibatkan ikan-ikan jerung. Golongan ini lebih bijak, berkemahiran dan dibantu oleh pakar-pakar ekonomi, undang-undang, perbankan untuk menutup semua ruang yang boleh mendedahkan perlakuan rasuah mereka. Oleh itu, masa dan kepakaran amat diperlukan oleh SPRM untuk menjalankan tindakan penyiasatan.

Kerjasama dan kefahaman semua pihak berhubung kepentingan elemen kerahsiaan dan kejutan ini penting dalam menentukan kejayaan dalam sesuatu penyiasatan kes. Laksanakanlah tanggungjawab sebagai rakyat yang prihatin dengan menyalurkan secara senyap-senyap apa jua maklumat berhubung kes kepada SPRM agar matlamat tindakan bersama tercapai.

Atas alasan ini jualah maka seksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 diperkenalkan. Ia bertujuan agar semua maklumat atau aduan yang dibuat kepada SPRM dirahsiakan dan tidak didedah untuk pengetahuan umum sehingga boleh menjejaskan proses penyiasatan. Selain dari membantu siasatan, “gag order” ini juga sebenarnya menyelamatkan maruah individu dan keluarga yang disiasat. Proses penyiasatan sebenarnya suatu proses mencari kebenaran. Seseorang tidak bersalah selagi ia tidak dibuktikan di mahkamah. Hanya mahkamah yang boleh menentukan seseorang itu bersalah atau sebaliknya. Media trial hanya akan menyebabkan seseorang yang tidak bersalah dihina oleh masyarakat sebelum sesuatu kebenaran dapat diperolehi.

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , ,

  1. No comments yet.
(will not be published)