Ikan Kecil Lebih Bahaya Berbanding Ikan Besar


Isu berhubung siasatan SPRM terhadap ikan kecil dan ikan besar bukan isu baru. Sejak penubuhan Badan Pencegah Rasuah (BPR) 43 tahun dahulu, ianya telah dijadikan modal oleh segelintir masyarakat untuk menghentam BPR atau SPRM.


Apakah benar SPRM harus menghentikan atau mengehadkan tumpuan siasatan kes-kes rasuah terhadap kes-kes kecil atau bilis dan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kes-kes bersifat ikan besar atau jerung? Komisi Pembanterasan Korupsi Indonesia (KPK) dianggap berjaya kerana polisinya yang memberi tumpuan 100 peratus terhadap kes-kes besar iaitu bernilai 100 juta Rupiah ke atas sahaja. Berjayanya KPK Indonesia adalah terlalu subjektif. Mungkin berjaya dari segi menghukum pesalah-pesalah rasuah bersifat ikan jerung. Namun adakah Indonesia benar-benar bebas dari rasuah?

Sebenarnya bagi SPRM tiada istilah ikan besar atau ikan bilis. Semua kes dikendalikan secara saksama tanpa mengira pangkat, kedudukan atau fahaman politik mereka. Yang menjadi asas atau perkara pokok, SPRM sentiasa memerangi individu yang memberi, menerima, bersubahat dan melindungi pemberi rasuah. Sesiapa yang bersama SPRM untuk perangi rasuah adalah rakan SPRM.

Berdasarkan pengalaman sebagai pegawai penyiasat, ada kalanya kes-kes yang melibatkan kategori ikan kecil seperti anggota penguat kuasa juga boleh memberi impak atau kesan yang amat besar kepada keselamatan negara.

Anggota keselamatan di pintu sempadan yang menerima sogokan kecil-kecilan misalnya bagi melepaskan mercun dan bunga api memasuki pasaran negara menyebabkan penjualan mercun dan bunga api berleluasa. Kesannya, hingga ke hari ini, terdapat beberapa anak kecil yang buta, putus jari dan mati akibat mercun seludup tersebut.

Ini diburukkan lagi jika ikan kecil ini menerima habuan kecil bagi melepaskan barangan larangan seperti senjata api, dadah dan ubat-ubatan beracun untuk edaran pasaran dalam negara. Kesan dan implikasinya amatlah besar. Ini menyebabkan lain-lain kejadian jenayah seperti rompakan, pembunuhan, penyalahgunaan dadah dan sebagainya berleluasa.

Bayangkanlah, seorang petugas di pusat pemeriksaan kenderaan meluluskan kenderaan perdagangan seperti bas dan lori yang tidak memenuhi syarat untuk berada di jalan raya hanya kerana ratusan ringgit sahaja. Kesannya, peningkatan kadar kemalangan maut. Bagaimana perasaan anda sekiranya salah seorang dari penumpang bas yang terbalik itu anak, isteri atau ibu bapa anda?

Ini bukanlah cerita rekaan atau dongengan hanya untuk memperbetulkan tanggapan serong terhadap SPRM. Tapi itulah hakikat sebenarnya.

Terdapat juga teguran dan pandangan sinis segelintir individu terhadap kempen menangkap pemberi rasuah yang dijalankan oleh SPRM sehingga membawa kepada 253 orang untuk tempoh enam bulan sahaja. Kempen ini dikatakan sebagai pembaziran masa dan tenaga kerana SPRM patut tumpukan kepada kes-kes lebih besar.

Bagi SPRM, kempen menangkap pemberi rasuah ini penting dan berjaya mencapai matlamatnya.

Pertama, berjaya mendidik masyarakat secara keras mengatakan bahawa memberi rasuah itu kesalahan jenayah;

Kedua, menimbulkan rasa takut pada masyarakat untuk melakukan perbuatan ini;

Ketiga, menjelaskan perubahan sikap pegawai awam yang telah berani menolak dan mengambil tindakan ke atas pemberi rasuah;

Keempat, memerangi lain-lain jenayah termasuk perjudian, pelacuran, penyalahgunaan dadah, kecurian pasir, penyeludupan, pencerobohan tanah-tanah kerajaan, pendatang tanpa izin dan sebagainya menerusi tindakan operasi bersama lain-lain agensi penguat kuasa. Secara tidak langsung, tohmahan yang mengatakan aktiviti-aktiviti ini dilindungi adalah terjawab.

Kelima, menerapkan fahaman bahawa rasuah itu bukan budaya kita.

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , , , ,

  1. No comments yet.
(will not be published)