KSSB Dan SPRM Setuju Tubuh Pasukan Petugas Khas


Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah bersetuju untuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi membanteras rasuah melibatkan perlombongan pasir di Selangor.

Persetujuan ini dicapai pada pertemuan antara Menteri Besar, YAB Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim dengan SPRM di pejabatnya di sini, semalam.


Pertemuan ini disertai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin, Ketua Pengarah Eksekutif KSSB, Wan Ab Halim Wan Ismail, Pengarah Eksekutif KSSB, Ir Ramli Majed.

SPRM pula diwakili, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Sutinah Sultan, Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, Shaharuddin Khalid, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Jaafar Maahad dan Ketua Unit Pemeriksaan dan Perundingan SPRM Selangor, Mohd Noor Abd Rahman.

Pertemuan ini diadakan susulan pelawaan Kerajaan Selangor kepada  SPRM untuk menempatkan kakitangan dan pegawai di KSSB bertujuan membanteras rasuah. Pasukan Petugas Khas ini dicadang dianggotai pegawai KSSB dan SPRM.
Sehubungan itu, Menteri Besar berkata, KSSB akan mengadakan taklimat mengenai operasi KSSB kepada SPRM termasuk prosedur dan kaedah-kaedah yang dipratikkan dalam perlombongan pasir.

Selain itu, SPRM juga akan didedahkan dengan sistem-sistem yang diguna pakai oleh KSSB dan diajar untuk memahami urus niaga pasir yang dipratikkan oleh anak syarikat kerajaan Selangor ini.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Selangor menyambut baik kesediaan SPRM kerana  kerajaan negeri mengamalkan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab.

“Kita berterimakasih kepada SPRM kerana mahu bersama Kerajaan Negeri bagi memastikan  operasi perlombongan dan perniagaan pasir bebas dari unsur rasuah,” kata Menteri Besar.

Beliau berkata, apabila Pasukan Petugas Khas ini ditubuhkan, SPRM lebih bebas untuk memantau perjalanan operasi KSSB untuk mengesan sekiranya ada prosedur yang boleh membuka ruang kepada rasuah.

Pada pertemuan ini juga, Menteri Besar telah diberitahu bahawa SPRM sedang memantau lebih dekat operasi perlombongan pasir di beberapa negeri termasuk di Selangor. Selain itu, SPRM berharap dapat membuat perbandingan prosedur dan praktis yang digunakan pakai di Selangor dengan negeri-negeri lain.

Menteri Besar berharap, SPRM boleh mencadangkan prosedur yang boleh mengurangkan berlakunya rasuah menerusi pemantauan dan pemerhatian yang dilakukan terhadap KSSB.

Pada awal pertemuan, Menteri Besar telah menyampaikan taklimat kepada SPRM berkenaan keselamatan dan penguatkuasaan yang diambil Kerajaan Negeri menerusi Pasukan Khas yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud.

Beliau telah menerangkan bahawa kecurian pasir gagal diatasi oleh kerajaan terdahulu kerana hanya menumpukan kepada tindakan penguatkuasaan tanpa melihat masalah tersebut dari aspek bekalan pasir kepada industri pembinaan.

“Kita tidak boleh menghentikan perlombongan pasir dan biarkan bekalan pasir di pasaran terjejas. Ini hanya akan menggalakkan kecurian  pasir kerana permintaan tinggi.

“Tindakan kita sekarang ialah kita bukan sahaja  membanteras curi pasir tetapi pada masa yang sama mengawal bekalan pasir pasaran,” katanya.

Katanya, sebab itulah Kerajaan Selangor menubuhkan KSSB untuk memastikan industri mendapat bekalan pasir secara halal dan mencukupi dan ini akan membunuh permintaan terhadap pasir haram.

Menteri Besar menjelaskan, KSSB ditadbir Wan Halim dan Ramli  yang mana kedua-duanya adalah pakar bidang kejuruteraan perlombongan yang akan memastikan perlombongan pasir mengikuti semua peraturan alam sekitar dan geologi yang ditetapkan.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Menerusi usahasama ini, pegawai KSSB akan memberikan maklumat mengenai bagaimana KSSB beroperasi dan pihak SPRM pula akan memberikan khidmat nasihat dan perundingan mengenai prosedur pengeluaran pasir yang boleh diguna pakai, dan seterusnya boleh mentup ruang dan peluang untuk berlakunya rasuah.

YAB Tan Sri Abdul Khalid di dalam kenyataannya menyatakan, dengan adanya usahasama ini, SPRM akan lebih bebas di dalam menjalankan fungsinya dengan memantau lebih dekat operasi perlombongan pasir di beberapa negeri termasuk di Selangor. Di pihak SPRM, SPRM berharap dapat membuat perbandingan prosedur dan praktis yang digunakan pakai di Selangor dengan negeri-negeri lain.

Dengan adanya usahasama sebegini, adalah diharapkan pada masa hadapan masalah kecurian pasir akan dapat dikurangkan dan sterusnya dapat membantu untuk menjana pendapatan negara. Usaha sebegini seharusnya dipanjangkan ke negeri-negeri lain, agar sumber negara akan dapat diuruskan dengan leih cekap, efisyen dan dilakukan dengan penuh integriti.

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , , , ,

  1. No comments yet.
(will not be published)