KAJIAN SPRM PERBAIKI MASALAH BAZAR RAMADHAN


Bulan Ramadhan membawa pelbagai rahmat dan keberkatan kepada segenap lapisan masyarakat khasnya kepada golongan peniaga. Inilah musim yang ditunggu-tunggu oleh peniaga bagi melipatgandakan keuntungan sepanjang menjalankan perniagaan di bulan yang mulia ini.

Peluang-peluang perniagaan khususnya di bazar-bazar Ramadhan sentiasa menjadi rebutan kerana ia menjanjikan keuntungan yang lumayan khususnya di kawasan-kawasan segi tiga emas seperti jalan Tuanku Abd Rahman.

Namun begitu, tapak-tapak gerai yang ditawarkan amatlah terhad berbanding permohonan yang diterima. Ini mengakibatkan persaingan sengit untuk mendapatkan tapak-tapak perniagaan sepanjang bulan Ramadhan .

Perbandingan Antara Permohonan Berbanding Bilangan Tapak Yang Ditawarkan

BIL
LOKASI
BIL. PERMOHONAN
BIL. TAPAK
1. Jalan Tuanku Abdul Rahman 17,633 358
2. Bandar Baru Sentul 433 205
3. Persiaran Setiawangsa 319 180
4. Jalan Telawi, Bangsar 177 110
5. Taman Tun Dr. Ismail 217 142
6. Setapak Jaya 200 175
7. Taman Dato Senu, Sentul 117 96

Persaingan yang sengit ini telah memberi kesan kepada agensi yang bertanggungjawab mengawal selia dan mengeluarkan lesen-lesen perniagaan di tapak-tapak perniagaan bazar Ramadhan ini sehingga timbulnya isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pengagihannya.

Hampir setiap kali bulan Ramadhan menjelang, maka aduan berhubung rasa tidak puas hati, amalan rasuah, sikap pilih kasih dan rasa tidak puas hati peniaga-peniaga yang gagal dalam mendapatkan tapak perniagaan muncul dan ada kalanya mencetuskan pergaduhan kecil sesama mereka.

Bagi mengatasi permasalahan ini dari terus berulang, Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM dengan kerjasama Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjalankan kajian menyeluruh ke atas isu ini. Matlamat kajian ini adalah untuk memperkenalkan dasar yang khusus berhubung pengagihan tapak-tapak gerai bazar Ramadhan dan memperkemaskan sistem dan prosedur yang diguna-pakai selama ini.

Berdasarkan kajian yang dijalankan, didapati terdapat tujuh isu pokok yang menjadi permasalahan dalam proses pengagihan tapak-tapak gerai Ramadhan ini yang bukan sahaja menimbulkan rasa tidak puas hati golongan peniaga malah berupaya membuka ruang dan peluang perlakuan rasuah . Antaranya adalah:

Isu dan Kategori Aduan Yang Diterima SPRM

Bil
Isu Berbangkit
Aduan Kepada SPRM
1. Permohonan lesen menggunakan nama orang lain sedangkan orang yang menjalankan perniagaan bukan pemilik lesen Dipercayai individu yang berjaya menyewakan lesen dan tapak gerai dengan sewa yang berlipat kali ganda dari nilai yang dibayar kepada DBKL
2. Jumlah Permohonan yang terlalu banyak berbanding jumlah gerai yang ditawarkan Ini menyebabkan kemungkinan rasuah berlaku bagi memastikan keputusan pemilihan memihak kepada individu tertentu
3. Pengagihan tapak yang tidak adil di mana kedudukan atau lokasi tapak-tapak gerai penting bagi peniaga kerana ia menentukan tarikan dan tumpuan pengunjung. Proses pemilihan atau cabutan kedudukan gerai yang tidak telus dan terbuka menyebabkan berlakunya tohmahan mengatakan berlakunya rasuah dalam penentuan lokasi tapak.
4. Pelesen yang berjaya menyewakan tapak kepada peniaga lain Seperti di para 1
5. Pelesen yang berjaya menjual tapak kepada peniaga lain Seperti di para 1
6. Menjual barang-barang tidak mengikut syarat yang ditetapkan sebagaimana permohonan lesen Tiadanya penguatkuasaan mengakibatkan timbulnya tohmahan mengatakan peniaga terbabit diberikan perlindungan oleh penguat kuasa
7. Pelesen yang berjaya memecahkan ruang gerai dengan menyewa kepada dua peniaga lain dalam tapak yang sama. Seperti para 6

Kajian menyeluruh berhubung perkara ini telah dilaksanakan pada tahun 2009. Terdapat dua jenis penganjuran Bazar Ramadhan iaitu

i)                    Penganjuran Bazar Ramadhan oleh DBKL

ii)                  Penganjuran Bazar Ramadhan oleh Persatuan / NGO

Tiga perkara asas yang diteliti secara menyeluruh adalah terhadap aspek berikut:

Bil
Sistem dan Prosedur Yang Dikaji
Perkara yang diteliti
1. Proses Pengeluaran Borang dan Pendaftaran Borang Permohonan
  • Kelayakan / Kriteria Peniaga
  • Penggunaan Nama Orang Lain
  • Tatacara Pengagihan Borang
2. Proses Pengagihan Tapak Perniagaan
  • Kaedah yang diguna pakai bagi menentukan pengagihan tapak khususnya yang berkaitan “hot spot”
3. Penguatkuasaan
  • Syarat-syarat lesen yang lengkap / Kaedah Pemeriksaan
  • Keanggotaan / Jadual Bertugas
  • Tindakan penguatkuasaan

Berasaskan kepada hasil pemeriksaan dan penemuan-penemuan kajian yang dijalankan maka Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM telah memperakukan kepada DBKL langkah-langkah berikut:

Bil
Sistem dan Prosedur Yang   Dikaji
Penambahbaikan
1. Proses Pengeluaran Borang dan Pendaftaran Borang Permohonan
  • Hebahan dan publisiti meluas melalui media massa, kain rentang dan radio KLfm;
  • Pendaftaran di tempat terbuka;
  • Penyemakan kelayakan pemohon oleh petugas dengan menggunakan senarai semak secara terbuka;
  • Penggunaan Sistem Festival Management System.
2. Proses Pengagihan Tapak Perniagaan
  • Maklumat awal kepada semua pemohon yang berjaya berhubung tarikh, tempat dan masa pengundian;
  • Melibatkan wakil-wakil persatuan penjaja, ahli lembaga penasihat DBKL sebagai pencabut undi dan turut dipantau SPRM dan Audit Dalaman DBKL;
  • Pengundian dijalankan di tempat terbuka dan disaksikan oleh semua pihak.
3. Penguatkuasaan
  • Taklimat kepada peniaga berhubung syarat-syarat yang perlu dipatuhi;
  • Mempamerkan lesen yang mengandungi gambar pelesen dan seorang pembantu;
  • Tindakan membatalkan lesen serta-merta dan senarai hitam bagi yang ingkar;
  • Rondaan secara berkumpulan dengan tiga syif untuk kawalan 24 jam.

Hasil kajian dan khidmat rundingan yang dijalankan oleh SPRM dengan kerjasama sepenuhnya DBKL telah menampakkan kesan yang besar khususnya dalam proses permohonan dan pengagihan tapak-tapak Bazar Ramadhan pada tahun ini. Proses kajian ini akan diteruskan dari tahun ke setahun untuk memastikan sistem dan prosedur yang diguna pakai dapat ditambah baik dan seterusnya dipanjangkan sebagai garis panduan dan rujukan lain-lain pihak Berkuasa Tempatan di negeri-negeri lain.

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , , ,

  1. No comments yet.
(will not be published)