Isu Pasir: Ibarat Bangau oh Bangau


Seakan-akan menjadi satu trend di kalangan masyarakat dan pemimpin-pemimpin politik dalam membahasakan sesuatu isu mengikut musim-musim tertentu. Pendedahan berhubung isu pasir ini menjadi panas seketika di awal tahun 2010 ini bilamana SPRM mendedahkan siasatan ke atas 42 orang yang ditangkap seluruh negara berhubung amalan rasuah bagi mendalangi kegiatan mencuri dan menyeludup pasir ke negara jiran. Namun cerita ini, panas seketika dan didiamkan sahaja tanpa apa-apa tindakan susulan yang benar-benar serius untuk mengekang permasalahan ini.

Sekali lagi isu pasir ini timbul bilamana Ahli Parlimen Kapar menimbulkan syak wasangkanya terhadap amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang dikatakan berlaku dalam syarikat yang diberikan tanggungjawab untuk menguruskan isu pasir di Negeri Selangor.  Panas seketika dan hasil berdolak-dalik pemerintah, ia senyap seketika.

Sejak kebelakangan ini isu pasir ini sekali lagi timbul dan menjadi semakin panas sehingga dibahaskan di Dewan Undangan Negeri Selangor dan di Parlimen. Apa yang disesalkan adalah terlalu banyak kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak berhubung isu pasir ini.

Satu pihak mengatakan ini tanggungjawab Negeri, Di pihak lain pula menuduh persekutuan yang sepatutnya bertanggungjawab. Ia tak ubah seperti mana lirik dalam lagu kanak-kanak Bangau Oh Bangau. Masing-masing cuba mengelakkan tanggungjawab dan sering mencari kesalahan orang lain sebagai punca. Akhirnya yang merana adalah rakyat yang mana kehidupan mereka semakin terancam disebabkan pencemaran alam sekitar yang teruk disebabkan kegiatan mencuri pasir.

Seharusnya episod tuduh menuduh ini dihentikan kerana ia amat memalukan. Sebagai rakyat, saya merasakan Kerajaan negeri Selangor wajar bertanggungjawab sepenuhnya dalam hal ini. Ini kerana yang di ceroboh adalah tanah dalam bidang kuasa mereka sendiri.  Kenapa harus menyalahkan orang lain pula bila mereka sendiri gagal menguruskan hal rumah tangga sendiri? Bukankah dalang di sebalik kegiatan mencuri pasir ini sebenarnya adalah syarikat yang dibentuk oleh Kerajaan Selangor sendiri? Siapa sebenarnya yang mempunyai kepentingan dalam keanggotaan syarikat tersebut?

Saya berasa amat hairan kerana kerakusan menceroboh, mencuri dan menyeludup pasir ini dapat dikawal di lain-lain negeri. Kenapa pula di Selangor, semakin didedah semakin dalam pula lombong-lombong pasir terbentuk? Apakah ini kesannya kekebalan pegawai-pegawai negeri dan pemimpin-pemimpin mereka? Manakan tidak, bila sahaja dipanggil untuk membantu siasatan oleh pihak berkuasa, alasan diberikan ialah konspirasi menjatuhkan Kerajaan Negeri. Sampai bilakah Kerajaan Negeri Selangor mahu berselindung di sebalik isu konspirasi ini bagi menutup segala kelemahan dan kepincangan kepimpinan mereka? Negeri Selangor memerlukan kepimpinan negeri yang prihatin dengan kebajikan rakyat, isu alam sekitar, kemajuan dan pembangunan yang seimbang bukannya tokoh korporat yang hanya mengejar serta mementingkan keuntungan semata-mata.

Isu pasir ini tidak akan selesai sekiranya kesemua pihak yang menuding jari tidak duduk semeja membincangkan langkah dan penguatkuasaannya.

Nabil Izzat

Seremban

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , , , ,

  1. #1 by mulutbechok on July 19, 2010 - 5:19 pm

    Menteri besar patut letak jawatan. Beliau bukan sahaja hilang kepercayaan ke atasnya tetapi hilang segala-galanya termasuk pasir. Di manakah letaknya maruah pemimpin sebegini. Lebih baik letak jawatan. Sungguh memalukan.

  2. #2 by tempayan on July 19, 2010 - 5:23 pm

    Apa sudah jadi dengan agensi-agensi penguatkuasaan seperti Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Daerah, Majlis Daerah, JPJ, PDRM. Takkan tunggu dan lihat sahaja. Takkan lori-lori pasir sebesar tu lalu lalang tak kelihatan kot. Saya rasa rasuah berleluasa dalam hal ini. SPRM patut bertindak segera. Tukarkan Pengarah PTG dan semua Pegawai Daerah di kawasan kecurian pasir kerana semuanya tidur di siang hari. Makan gaji buta.

  3. #3 by fatimah on July 21, 2010 - 9:03 am

    Semua pihak kena hentikan menuding jari…rasuah isu semua, tanah milik negara. Selagi masing2 salah menyalah dan seolah2 serahkan semuanya di bahu SPRM masalah takkan berakhir!

(will not be published)