KEMATIAN BENG HOCK TERLALU DIPOLITIKKAN


Usaha pihak-pihak tertentu menganjurkan pelbagai program bertujuan memperingati kematian Teoh Beng Hock pada 16 Julai 2010 ini wajar dihentikan. Tidak salah untuk kita sebagai sebuah masyarakat majmuk yang mengamalkan kebebasan beragama menganjurkan upacara sembahyang memperingati kematian beliau. Namun apa yang disesalkan adalah program sampingan seperti seminar seperti yang dijadualkan di sebelah malamnya.

Saya bertanya pada diri, apakah sebenarnya motif sebenar penganjuran hari memperingati TBH ini? Sebenarnya isu ini telah diambil kesempatan dan digunakan sepenuhnya oleh pihak-pihak tertentu bukan sahaja bagi meraih sokongan masyarakat terhadap fahaman politik mereka malahan menimbulkan perasaan kebencian terhadap pihak berkuasa dan Kerajaan yang memerintah.

Bukankah inkues sedang berjalan. Kenapa harus kita memperdebatkan lagi isu ini menerusi seminar atau sebagainya. Sebagai rakyat Malaysia yang inginkan kedamaian dan keharmonian, wajar kita renungkan bahawa isu atau tragedi ini boleh menjadi minyak yang mampu membakar semangat perkauman yang kuat dan kebencian sesama rakyat Malaysia.

Bagi parti-parti politik, jangan lah sekali-kali mempolitikan isu ini untuk kepentingan diri. Rakyat di negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Tidak dapat dinafikan bahawa walaupun kita telah hidup bersama hampir 53 tahun selepas kemerdekaan dan mempelajari budaya serta adat resam masing-masing, namun hakikatnya bibit-bibit perpaduan masih rapuh. Sekiranya isu-isu sensitif sebegini diapi-apikan dalam masyarakat yang nampak bersatu tetapi terasing ini, saya yakin dan percaya perpaduan yang terjalin akan tergugat akhirnya.

Berbalik kepada isu TBH, sebagai rakyat Malaysia kita amat bersimpati dengan keluarga mendiang atas tragedi yang berlaku. Pihak berwajib seharusnya segera bertindak mempercepatkan proses inkues dan mencari jawapan kepada persoalan punca kematian TBH. Rakyat inginkan jawapan segera. Semakin lama proses ini berjalan, maka semakin luaslah peluang dan kesempatan ini digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk meracuni pemikiran masyarakat Cina khasnya.

Penganjuran aktiviti-aktiviti memperingati TBH ini wajar dibuat dalam bentuk upacara keagamaan sahaja dan tidak harus melibatkan perdebatan terbuka sebagaimana yang dirancangkan.

Saya berasa amat hairan kerana kematian TBH ini boleh disensasikan dan dijadikan modal politik untuk menyemai kemarahan dan kebencian rakyat terhadap parti pemerintah. Dengan rasa rendah diri saya berasa amat simpati dengan keluarga mendiang yang saya rasa telah digunakan sebagai aktor-aktor dalam drama politik yang diterbitkan oleh DAP. Terdetik dihati kecil saya seketika untuk bertanyakan, adakah isu ini akan menjadi mainan politik pembangkang sekiranya yang mati itu bernama Ahmad atau Raju?

Semenjak tragedi yang menimpa TBH, usaha memerangi jenayah rasuah semakin dipolitikkan. Apa yang menghairankan isu ini hanya khusus di negeri Selangor. Pelbagai lapisan pemimpin di Selangor bermula dari Menteri Besar, Exco, Ahli Majlis sehinggalah ke ahli-ahli biasa parti Pakatan Rakyat adalah kebal dari tindakan undang-undang. Setiap tindakan siasatan yang cuba dilaksanakan oleh pihak berwajib dianggap sebagai usaha menyerang dan cubaan menjatuhkan Kerajaan Selangor.

Bermula dari siasatan kes kecurian dan penyeludupan pasir, di mana dua orang pegawai di pejabat ADUN Selangor telah dipanggil untuk membantu siasatan berhubung kes rasuah yang berlaku. Mulalah melompat ADUN-ADUN di Selangor yang mengatakan ini adalah penipuan dan konspirasi menjatuhkan kepimpinan negeri. Cubalah kita renungkan semula bahawa dalam kes kecurian pasir sebagaimana yang diberitakan dalam media masa, seramai 44 orang telah ditangkap di empat buah negeri iaitu Perak, Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan termasuk Selangor. Tangkapan ke atas pegawai dan orang awam di lain-lain negeri berjalan lancar tanpa sebarang isu yang timbul. Namun bila tangkapan dibuat di Negeri Selangor, kekecohan mula berlaku. Pelbagai fitnah dan hasutan mula dibuat dalam media-media alternatif dan blog-blog pro-pembangkang menyatakan ianya penipuan dan konspirasi. Hairan dan sungguh menghairankan kerana kekecohan mengatakan tindakan menahan pegawai kerajaan di lain-lain negeri seperti Perak dan Johor tidak pula diheboh-hebohkan sebagai usaha menjatuhkan Kerajaan negeri yang berkenaan. Kenapa ya? Hanya kerajaan negeri Selangor sahaja yang mempunyai jawapannya.

Kesannya pihak berkuasa seperti SPRM diletakkan dalam keadaan serba salah dan sering menjadi mangsa serangan pembangkang sebagai alat pemerintah untuk menjatuhkan negeri Selangor. Di kesempatan ini juga, saya ingin bertanyakan kepada SPRM, apa sudah jadi dengan dua pegawai pejabat ADUN Selangor berhubung kes pasir ini. Kenapa didiamkan perkara ini? Janganlah dek desakan dan hentaman pembangkang, SPRM menjadi semakin takut untuk menegakkan keadilan. SPRM harus berani bertindak dan jangan tunduk kepada desakan serta tekanan mereka. Ini hanyalah mainan politik untuk mengaburi rakyat atau mengalih perhatian terhadap isu sebenar iaitu rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh mereka.

Adalah tidak wajar dan amat merbahaya jika rasuah dijadikan isu politik. Ini kerana apa jua usaha atau tindakan pihak berkuasa untuk memeranginya khususnya dalam tindakan penyiasatan akan dijadikan modal politik untuk menyerang agensi terbabit atau kerajaan yang memerintah. Beberapa kes kebelakangan ini, sebagaimana yang dilaporkan dalam media, memperlihatkan bahawa masalah ini telah semakin kronik. Dua ADUN yang dipanggil ke pejabat SPRM untuk membantu siasatan telah dikatakan sebagai usaha parti pemerintah untuk menjatuhkan Kerajaan Selangor. Begitu juga kes di mana lima orang ahli majlis sebuah daerah di Selangor yang dipanggil untuk memberikan keterangan juga dikatakan sebagai suatu konspirasi dan usaha jahat menjatuhkan Kerajaan Selangor.

Bagaimanakah kita boleh memerangi rasuah jika semua tindakan yang diambil pihak berkuasa dianggap sebagai konspirasi bagi menjatuhkan Kerajaan Selangor. Adakah pemimpin di negeri ini kebal dari tindakan undang-undang? Adakah rasuah dan penyelewengan digalakkan di Selangor?

Rakyat Malaysia keseluruhannya harus sedar bahawa selama ini apa yang diperjuangkan oleh parti-parti politik di bawah payung Pakatan Rakyat ini hanyalah bersifat kepentingan peribadi, perkauman dan sensasi semata-mata. Mereka seumpama penjajah yang sentiasa memecah belahkan rakyat untuk kepentingan masing-masing. Ketiadaan pengalaman memerintah, kerakusan terhadap kuasa, kekurangan dana dan tiada hala tuju membuatkan mereka mengalihkan kelemahan-kelemahan yang ada kepada isu-isu sensasi agar masyarakat tidak memberi fokus untuk menilai keberkesanan pemerintahan mereka. Mereka sebenarnya telah gagal untuk membuktikan kepada rakyat bahawa mereka mampu membawa perubahan dan kemajuan kepada negeri yang diperintah.

SYAIKHS

KUALA LUMPUR

13 JULAI 2010.

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , ,

  1. #1 by macai on July 19, 2010 - 3:56 pm

    Saya setuju pandangan Syaikhs, biar mahkamah menentukan keadilannya, jangan kita mendahuluinya. Apa yang berlaku ada hikmahnya, MACC patut juga melihat prosedurnya mengenai temuduga saksi adakah betul atau tidak. Kebenaran akan muncul satu hari nanti, main wayang oleh pihak-pihak tertentu tidak lebih meraih sesuatu, org ramai pula jangan terpengaruh guna akal dan fikiran yang waras, diulang yang waras, fikir dalam-dalam. Kita semua tahu menilai mana yang batu dan intan permata. Fikirkan lah.

(will not be published)