KENYATAAN MEDIA JABATAN PEGUAM NEGARA-KES P.BALASUBRAMANIAM


Mengambil kira beberapa persoalan dan komplikasi perundangan mengenai cadangan mengambil pernyataan P. Balasubramaniam di London dan berdasarkan kepada peruntukan undang-undang Malaysia, Jabatan Peguam Negara berpendapat adalah wajar pihak SPRM hanya mengemukakan soalan-soalan bertulis. P.Balasubramaniam boleh mengemukakan akuan bersumpah atau berikrar untuk membantu siasatan SPRM berdasarkan peruntukan undang-undang seperti berikut:


Seksyen 30(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan “ Seseorang pegawai Suruhanjaya yang menyiasat sesuatu kesalahan dengan notis bertulis mengarahkan mana-mana orang supaya memberikan pernyataan bertulis yang dibuat dengan bersumpah atau berikrar yang menyatakan dalamnya segala maklumat yang dikehendaki di bawah notis itu, iaitu maklumat yang, pada pendapat pegawai itu, akan dapat membantu dalam penyiasatan kesalahan itu, dalam tempoh yang dinyatakan oleh pegawai itu”
Sesuatu pernyataan bertulis dengan bersumpah atau berikrar yang dibuat menurut perenggan seksyen 30(1)(c ), atau apa-apa buku, dokumen, rekod, akaun atau data komputer atau barang yang dikemukakan hendaklah, walau apa pun mana-mana undang-undang bertulis atau rukun undang-undang yang berlawanan, boleh diterima sebagai keterangan dalam mana-mana prosiding di mana-mana mahkamah bagi sesuatu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 tidak kira sama ada prosiding itu adalah terhadap orang yang diperiksa, atau yang mengemukakan buku, dokumen, rekod, akaun atau data komputer, atau barang, atau yang membuat pernyataan bertulis dengan bersumpah atau berikrar itu, atau terhadap mana-mana orang lain.
Malahan seksyen 111 dan 112 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) memperuntukkan kuasa untuk memanggil saksi dan juga merakam pernyataan saksi yang perlu dipatuhi oleh pihak yang merakam dan pihak yang dirakam pernyataan. Justeru itu, SPRM diingatkan untuk mengambil setiap tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang Malaysia.

Pihak-pihak yang berkaitan juga diingatkan bahawa:
Seseorang yang telah diberikan suatu notis bertulis di bawah seksyen 30(1)(c ) berkenaan hendaklah, dalam pernyataannya, memberikan dan mendedahkan dengan sebenarnya segala maklumat yang dikehendaki di bawah notis itu yang diketahuinya atau yang tersedia untuknya, dan tidak boleh enggan memberikan atau mendedahkan maklumat itu atas alasan bahawa maklumat itu dapat menunjukkan bahawa dia atau isteri atau suaminya bersalah
Jika mana-mana orang mendedahkan apa-apa maklumat atau mengemukakan apa-apa buku, dokumen, rekod, akaun atau data komputer atau barang oleh orang itu atau mana-mana orang lain yang bagi pihaknya atau atas arahannya atau sebagai ejen atau pekerjanya, orang itu oleh sebab pendedahannya atau pengemukaan itu, dikenakan apa-apa pendakwaan kecuali pendakwaan di bawah seksyen 27.

(DATO’ ABDUL RAZAK BIN MUSA)
Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
TARIKH : 30 JUN 2010

www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , ,

  1. #1 by khoo chai lee on July 5, 2010 - 3:28 pm

    SOKONG SPRM BATAL KE LONDON

    Sejak dari awal lagi saya tertanya-tanya apakah istimewanya PI Bala sehingga SPRM terpaksa tunduk mengikut telunjuk dan rentak mainan politik peguamnya. Saya menyokong pandangan dan nasihat Jabatan Peguam Negara agar SPRM tidak meneruskan niat bertemu dengan PI Bala di London.

    Ia merupakan suatu pembaziran dari segi kewangan, masa dan tenaga menemui seorang saksi yang boleh diibaratkan sebagai lalang yang kejap ke kiri dan kejap ke kanan. Sekiranya beliau benar-benar jujur dan ikhlas dalam perjuangan menegakkan kebenaran serta keadilan beliau pasti sanggup tampil menemui SPRM tanpa apa-apa syarat.

    Kes ini merupakan suatu kes yang amat unik kerana seharusnya apa jua tindakan dalam melaksanakan siasatan wajar diklasifikasikan sebagai rahsia demi keselamatan saksi. Namun, apa yang berlaku kedua-dua pihak saling berbalas kenyataan dalam media. Sehinggakan ada surat-surat yang diklasifikasikan sebagai rahsia dipaparkan dalam laman-laman web untuk tatapan umum.

    Kesemuanya ibarat plot-plot dalam sebuah drama yang penuh dengan tanda tanya. Apakah motif dan tujuan sebenarnya di sebalik kenyataan dan tindakan peguam-peguam PI Bala, hanya mereka sahaja yang mengetahuinya. Kesemua tindakan melarikan, menyorok, provokasi dan kenyataan-kenyataan dalam media menjelaskan bahawa ia dirancang dengan amat teliti untuk tujuan politik pihak-pihak tertentu. SPRM digunakan sepenuhnya sebagai “punching bag” bagi menghentam dan memburuk-burukkan pihak yang lain. Ia tidak adil kerana agensi ini hanya menjalankan tugas. Sering kali dilihat SPRM terperangkap dengan mainan politik ini.

    Langkah SPRM menawarkan PI Bala agar mengemukakan afidavit atau akuan bersumpah sebagai ganti kepada rakaman pernyataannya dianggap wajar. Selama ini pun, terlalu banyak syarat-syarat yang dikenakan oleh PI Bala. Sebagai contoh beliau mahu ketika rakaman percakapan, barisan peguamnya dibenarkan hadir sama, rakaman juga dibuat dalam bentuk video dan beliau yang menentukan tempat dan sebagainya. Bukankah dengan tawaran menyediakan afidavit jawapan yang diberikan kepada PI Bala ini memenuhi tuntutan-tuntutan beliau selama ini. Oleh itu tidak sepatutnya peguam-peguamnya menolak tawaran SPRM ini.

    Sebagai rakyat biasa saya terkejut juga apabila SPRM terperangkap menerima pujukan peguam PI Bala untuk bertemu di London. Sekiranya SPRM menerima tawaran tersebut dan pergi ke London, mereka akan berhadapan dengan pelbagai masalah perundangan. Antaranya adalah:

    · Kes rakaman percakapan saksi Malaysia di luar negara seperti PI Bala ini akan menjadi precedent case untuk kes-kes lain di masa hadapan. Bayangkan lah selepas ini semua saksi yang ingin dirakamkan percakapannya akan mengenakan syarat untuk dirakam percakapannya di luar negara;

    · Kebolehterimaan pernyataan saksi boleh dipertikaikan dan tidak diterima oleh Mahkamah sekiranya perbicaraan berlangsung kerana proses rakaman percakapan saksi di luar negara perlu menggunakan perundangan dan prosedur yang berbeza iaitu menerusi Akta Bantuan Bersama Mencegah Jenayah 2000 (Mutual Legal Assistance in Criminal Matters). Kalau kita boleh mengimbau apa yang berlaku dalam kes Perwaja, di mana keterangan saksi-saksi di luar negara tidak diterima di Mahkamah kerana dianggap tidak sah walaupun ianya mengikut MACMA.

    · Kuasa pegawai SPRM terlucut sebaik sahaja mereka melangkaui sempadan negara ini. Jadi apakah kuasa mereka ketika berada di London untuk memberi amaran kepada saksi dan merakam percakapan saksi. Ketika berada di London maka undang-undang tempatan (Britain) akan digunakan sepenuhnya. Ini merupakan kelebihan kepada pihak PI Bala di mana beliau sudah tentunya akan membawa peguam tempatan bagi mengiakan apa jua permintaannya. Undang-undang di London amat berbeza dengan Akta SPRM dan Kanun Tatacara Jenayah di mana peguam dibenarkan masuk semasa proses rakaman percakapan diambil dan rakaman video juga boleh diambil. Sekali lagi pegawai-pegawai SPRM akan terperangkap dengan perancangan teliti mereka.

    · Pemergian pegawai SPRM ke London dengan menggunakan visa-on-arrival adalah hanya sebagai pelawat atau pelancong yang tidak dibenarkan menjalankan apa-apa pekerjaan. Pegawai-pegawai ini mungkin berhadapan dengan tindakan imigresen kerana menjalankan “pekerjaan” di tanah London. Ini mendedahkan mereka kepada bahaya keselamatan dan kesalahan undang-undang tempatan.

    Saya melihat tindakan SPRM memberikan peluang kepada PI Bala untuk mengemukakan kenyataan melalui perakuan bersumpah atau afidavit suatu yang sah dan dibenarkan undang-undang. Berdasarkan afidavit yang dikemukakan ia boleh dijadikan asas untuk SPRM menilai dan memberi petunjuk serta panduan kepada SPRM untuk menentukan hala tuju siasatan. Sekiranya maklumat tambahan diperlukan maka ia boleh diaturkan pertemuan seterusnya. Apa yang penting di tahap ini ialah maklum balas atau keterangan sebenar PI Bala. Adakah ia benar-benar wujud dengan disokong oleh fakta dan dokumen yang relevan atau hanya rekaan yang membuahkan publisiti yang negatif kepada SPRM.

    Seperkara yang penting, PI Bala juga harus ikhlas dan jujur untuk memberikan pernyataannya bukan setakat perakuan bersumpah malahan sanggup tampil memberi keterangan dan soal balas dalam mahkamah sekiranya kes ini dibawa ke muka pengadilan. Kenyataan di media massa harus dihentikan segera kerana terlalu ramai dilihat cuba menangguk di air yang keruh dan berlagak hero dalam kes ini.

    Khoo Chai Lee

  2. #2 by Dean Kirkland on December 12, 2011 - 2:32 pm

    Yep…no idea what’s going on here. 🙂

(will not be published)