KUASA BELIA, JENAYAH DAN RASUAH


Oleh : Mohamad Tarmize bin Abdul Manaf

KUASA BELIA

Beri aku 10 pemuda nescaya akan ku goncangkan dunia.”

 

Petikan di atas merupakan antara ucapan popular pemimpin tersohor Indonesia, Ir. Soekarno. Pengasas dan Presiden pertama Republik Indonesia itu memang terkenal dengan pidatonya yang berkobar-kobar, mampu menaikkan semangat nasionalisme kepada negara. Melalui ucapan tersebut, amat jelas bahawa Soekarno memandang tinggi kuasa golongan belia.

youth 2

Siapakah golongan belia? Terdapat beberapa definisi belia yang berbeza di seluruh dunia.

Di Malaysia, Dasar Belia Negara mendefinisikan belia sebagai golongan muda sama ada lelaki atau wanita, berumur daripada 15 hingga 40 tahun. Belia sinonim dengan golongan yang sering melontarkan idea-idea baharu, mempunyai pemikiran yang idealis, mahir dengan teknologi semasa, bertenaga dan agresif dalam memperjuangkan sesuatu perkara atau isu. Golongan ini menjadi penggerak utama dalam politik, ekonomi, kebudayaan dan pendidikan.

Belia mampu mencorakkan pembangunan sesebuah negara. Namun, sekiranya tidak dipimpin dengan baik, ditambah pula dengan kerapuhan sifat integriti, golongan ini juga mampu mengancam dan menyebabkan keadaan huru-hara kepada negara.

JENAYAH BELIA YANG MENGGEMPARKAN

Ahli perniagaan terkenal Amerika Syarikat, Warren Buffett pernah berkongsi rahsia kejayaan beliau. Salah satunya adalah melalui pengambilan pekerja yang betul. Buffett dipetik berkata, “Saya akan memilih pekerja yang memiliki tiga kriteria. Pertama, adalah integriti diri; kedua, kebijaksanaan; dan ketiga, bertenaga. Bagaimanapun, sekiranya seseorang itu tidak mempunyai kriteria pertama (integriti), dua lagi kriteria (kebijaksanaan dan tenaga) akan menghancurkan kamu.

dacing

Berikut adalah dua kisah anak muda yang mempunyai kebijaksanaan dan tenaga yang hebat, tetapi tiada integriti. Akibatnya, bukan sahaja memberi kesan buruk kepada diri mereka, malah mampu meruntuhkan sesebuah organisasi besar. Ikuti dua kisah belia yang pernah menggemparkan dunia.

Kisah 1: Nick Leeson dan bank tertua Britain

Gara-gara tindakan seorang anak muda berumur 28 tahun, bank tertua Britain bankrap sekitar tahun 1995. Bank Barings yang ditubuhkan pada tahun 1762 pernah membiayai Perang Napoleon (18 Mei 1803 hingga 20 November 1815) dan pembelian daerah Louisiana oleh Amerika Syarikat daripada kerajaan Perancis pada tahun 1803. Lebih membanggakan, Ratu Elizabeth juga memilih bank itu untuk membuka akaun peribadinya.

Pemuda yang bertanggungjawab meruntuhkan bank berusia 233 tahun itu adalah Nick Leeson. Beliau dilahirkan pada 25 Februari 1967 di Watford, England. Di awal 1980-an, Leeson memulakan kerja sebagai kerani di beberapa buah bank sebelum mendapat tempat di Bank Barings. Kerjayanya mula berkembang setelah dinaikkan pangkat dan betugas di pejabat yang menguruskan urus niaga pasaran.

Pada 1992, Leeson dilantik sebagai pengurus besar Barings Securities di Singapura, berurusan dengan pasaran hadapan Singapore International Monetary Exchange (SIMEX). Leeson bertanggungjawab dalam semua perkara berkaitan urus niaga pasaran (trading) dan ‘back office’. Istilah ‘back office’ merujuk kepada tugas pentadbiran pejabat, pemprosesan dokumen urus niaga pasaran dan perakaunan.

Penguasaan beliau ke atas aktiviti urus niaga pasaran dan ‘back office’ tanpa penyeliaan membuka ruang kepada penyelewengan, manipulasi dokumen serta salah guna.

Pada tahun pertama, Leeson menunjukkan kecemerlangannya apabila berjaya membawa keuntungan £10 juta kepada Bank Barings. Keuntungan itu diperolehi melalui aktiviti spekulasi nilai pasaran yang tidak sah (unauthorised speculative trades).

Leeson mendakwa bahawa semua pelaburan yang dibuatnya adalah atas kehendak pelanggan. Oleh sebab itu, Bank Barings tidak perlu khuatir terhadap kemungkinan berlakunya kerugian kepada bank.

Dengan prestasi yang ditunjukkan itu, Leeson memiliki segala kemewahan, menerima gaji £50,000 sebulan dan bonus £150,000 pada tahun 1993. Beliau dan isteri, Lisa bercuti di tempat eksklusif dan selalu mengadakan parti di kediaman mewah mereka.

Apa yang pihak pengurusan Bank Barings tidak tahu adalah kewujudan satu akaun rahsia di atas nama ‘88888’, yang digunakan untuk menyembunyikan segala kerugian yang dilakukan oleh Leeson.

Pada awalnya, akaun yang dikenali sebagai ‘error accounts’ itu bertujuan membetulkan sebarang kesilapan yang dilakukan oleh kakitangannya (traders), untuk menyembunyikan kerugian yang tidak melebih £20,000.

Selepas itu, akaun ‘88888’ digunakan oleh Leeson sendiri untuk menyembunyikan kerugian beliau. Apabila kerugian bertambah, Leeson memohon untuk pertambahan dana daripada ibu pejabat Bank Barings. Dengan dana tersebut, Leeson melakukan lebih banyak urus niaga, dengan harapan keuntungan dapat menutup kerugian sedia ada. Dalam tempoh tiga bulan, Leeson membeli lebih 20,000 kontrak hadapan bernilai $180,000 setiap satu.

Malah, Leeson sanggup memanipulasi dokumen urus niaga untuk memperlihatkan keuntungan palsu sebanyak £28.55 juta. Keadaan itu berjaya mengekalkan reputasi beliau dan melayakkan beliau menerima faedah gaji dan bonus yang lumayan.

Hakikatnya, nasib Leeson semakin buruk. Urus niaga beliau mengalami kerugian demi kerugian. Akhirnya, pada 23 Februari 1995, beliau melarikan diri selepas meninggalkan satu nota ringkas tertulis “I’m sorry“. Jumlah keseluruhan kerugian yang berpunca daripada urus niaga Leeson mencecah £827 juta (US$1.4 bilion). Akibatnya, Bank Barings diisytiharkan bankrap pada 26 Februari 1995.

Leeson ditahan di Frankfurt, Germany dan diektradisi ke Singapura pada 20 November 1995 untuk dibicarakan. Pada Disember 1995, Leeson dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun enam bulan.

Semasa di Penjara Changi-Singapura, Leeson disahkan mengalami kanser usus besar. Tambah menyedihkan, beliau bercerai dengan Lisa. Pada 1999, Leeson dibebaskan daripada penjara. Tanpa rumah dan pekerjaan.

Kisah 2: Aman Shah, si pencuri 1 sen

Aman Shah berumur 24 tahun, bekerja sebagai eksekutif di Bank Hock Hua, Kuala Lumpur, dan mempunyai gaji RM1,800 sebulan. Aman digambarkan oleh rakan-rakannya sebagai seorang peramah, suka berjenaka dan banyak membantu mereka yang dalam kesusahan.

Daripada eksekutif biasa, nasib Aman berubah apabila beliau dihantar mengikuti satu kursus komputer, di mana beliau mempelajari kemahiran yang membantu beliau menjadi kaya dalam sekelip mata.

Ilmu dan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat digunakan sepenuhnya apabila beliau dilantik sebagai Ketua Jabatan SPEED, yang bertanggungjawab kepada sistem pemindahan elektronik untuk dana dan sekuriti. Bagaimanapun, untuk tujuan yang salah. Setiap hari, Aman memindahkan 1 sen daripada akaun pelanggan-pelanggan Bank Hock Hua ke akaun proxinya di bank lain.

Bagaimana beliau melakukannya? Aman mengemukakan arahan palsu kepada Bank Negara Malaysia untuk memindahkan wang pelanggan di Bank Hock Hua ke akaun syarikat Bistro di Bank Bumiputra Malaysia Berhad. Melalui kegiatan tersebut, dalam tempoh yang singkat, Aman berjaya mengumpul wang mencecah RM4 juta.

 

Sejak zaman sekolah lagi, Aman begitu obses dengan kereta mewah. Dengan wang yang ada, Aman membeli enam buah kereta mewah, iaitu Lamborghini Countach yang bernilai RM1.3 juta, Mercedes Benz 300SL (RM502,000),  Mercedes Benz 300E (RM192,000), Porsche Carerra 928 S4 (RM638,000) dan BMW 329i (RM68,000). Semuanya dibeli secara tunai.

Tidak cukup dengan kemampuan membeli, Aman dilihat suka menunjuk-nunjuk. Sekitar bulan Jun 1990, Aman menempatkan tiga buah kereta mewahnya di pameran kereta eksotik di Plaza Bukit Bintang. Beliau juga sering dilihat bersiar-siar dengan dengan kereta mewahya di waktu petang.

Lebih mengagumkan apabila beliau muncul di rancangan Sekapur Sirih TV3 yang disiarkan pada 3 Jun 1990. Dengan bangganya, Aman yang ketika itu sudah berhenti daripada Bank Hock Hua, bercerita mengenai keistimewaan setiap kereta mewahnya.

Bekas pengurus kepada Aman di Bank Hock Hua yang kebetulan menonton rancangan itu, berasa syak terhadap kekayaan Aman. Beliau terus meminta setiap transaksi yang melibatkan Aman disemak dan diaudit semula. Dengan bukti penyelewengan yang ditemui, bekas pengurusnya membuat aduan polis pada 8 Jun 1990. Seterusnya, Aman ditangkap di kondominium mewahnya di Bangsar.

Pada 25 Jun 1990, Aman dituduh di mahkamah atas empat tuduhan menipu kira-kira RM4 juta. Aman didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara lima tahun.

Belia dan rasuah

Tiada siapa yang mengimpikan untuk terjebak dengan jenayah seperti menipu, merogol, merompak atau membunuh. Malah, tiada manusia yang berhasrat untuk menyara kehidupan mereka dengan aktiviti jenayah.

Walaupun begitu, sesiapa sahaja berisiko untuk terjebak dengan jenayah rasuah. Jenayah ini tidak mengenal warna kulit, ideologi politik, anutan agama dan kedudukan. Selagi ada peluang dan sifat tamak, tidak mustahil untuk berlaku perbuatan rasuah.

Golongan belia mempunyai risiko yang tinggi untuk terlibat dengan jenayah keji ini. Kajian Persepsi Rasuah oleh UKM pada tahun 2002 menunjukkan 30.5% responden daripada golongan pelajar mengatakan mereka akan melakukan rasuah sekiranya mempunyai kuasa dan peluang untuk berbuat demikian.

Kenyataan media Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 22 April 2016 membuktikan dapatan kajian di atas. Menurut SPRM, dalam tempoh tiga tahun (2013-2015), 55% atau 1,045 daripada 1,902 individu yang terlibat dalam kegiatan rasuah merupakan mereka yang berusia di bawah 40 tahun (Utusan Malaysia, 2016).

youth

 

SPR, usaha tingkatkan integriti pelajar

Pelajar merupakan golongan penting yang mesti diberi tumpuan penting. Mereka adalah ‘profesional dalam pembikinan’ (professional in the making) yang mampu mencorak lanskap ekonomi, politik dan pembangunan negara.

Pelajar di institut pengajian tinggi awam dan swasta mempunyai platform untuk meningkatkan pemahaman mereka mengenai jenayah rasuah. Antara inisiatif SPRM untuk mendidik golongan pelajar adalah melalui penubuhan Sekretariat Pencegahan Rasuah (SPR).

Sehingga 31 Julai 2016, sebanyak 20 SPR di universiti awam, 27 SPR di Institut Pendidikan Guru dan 59 SPR di institut pendidikan MARA. Inisiatif ini bukan sahaja mensasarkan golongan pelajar, malah seluruh komuniti institut dan kolej.

Ayuh, pelajar! Jadilah belia berintegriti. Hindari rasuah dan bersama membangunkan negara.

  • Tamat –
www.pdf24.org    Send article as PDF   

, , , , ,

  1. No comments yet.
(will not be published)