Posts Tagged suruhanjaya pencegahan rasuah

ADUAN SAMPAH DI SPRM: BAGAIMANA IA BERKUALITI

Senario kumpulan kecil individu, organisasi mahupun berkepentingan politik membuat aduan terhadap setiap perkara yang ‘kononnya’ di dakwa mempunyai unsur rasuah seolah-olah sudah menjadi budaya. Taktik yang kadangkala mempunyai unsur kepentingan ‘politik’ dan peribadi ini dilakukan oleh lebih dari dua atau tiga orang dengan membuat aduan yang sama ke atas orang yang sama.



Malah tidak mustahil saya katakan ‘aduan sampah’ yang sedang dilabel sebagai ‘mengganggu’ kerja-kerja penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ini mungkin juga termasuk aduan-aduan yang berbentuk surat layang atau tohmahan tanpa dokumen atau bukti yang dibuat hanya untuk mengenakan seseorang.

Ironinya, apabila SPRM mendedahkan bahawa hampir 50% daripada 6,793 jumlah aduan yang diterima adalah ‘sampah’ sememangnya menimbulkan perasaan kurang senang bagi mereka yang pernah cuba tampil dan membuat aduan kepada SPRM mengenai salah laku rasuah.

Namun, penting untuk masyarakat umum mengetahui bahawa aduan atau maklumat yang tidak berasas hanya akan membazirkan masa menyiasat dan mencari elemen-elemen penting khususnya dalam memperincikan aduan dan membuat siasatan, sedangkan ianya tiada asas atau pembuktian pada pihak yang dikatakan melakukan rasuah itu.

Lain pula senarionya bagi pengadu atau pemberi maklumat ini membuat hebahan di media tentang aduan yang bakal dibuat kepada SPRM tanpa memikirkan implikasinya terhadap kerja-kerja siasatan yang belumpun bermula.

Perlu diingat, aduan ini akan dipaparkan di media dalam beberapa minit sahaja. Sekiranya pihak-pihak yang terlibat terlibat mengetahu bahawa kes berkenaan disiasat SPRM, adalah dipercayai kebarangkalian  untuk mereka memusnah atau menghilangkan semua dokumen yang berkaitan transaksi rasuah dalam simpanannya.

Malah, saksi-saksi yang terlibat juga berpeluang mengubah keterangan dan jalan cerita aktiviti rasuah berkenaan, lebih teruk lagi mereka turut berpotensi menghilangkan diri.

Kerahsiaan ini telah dinyatakan secara jelas melalui peruntukan yang terdapat dalam Seksyen 29 (4) Akta 694 (Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009) yang menyatakan bahawa sesuatu aduan yang dibuat dibawah subseksyen (1) hendaklah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang selain pegawai-pegawai Suruhanjaya dan Pendakwa Raya sehinggalah orang yang tertuduh dipertuduh di mahkamah atas suatu kesalahan  dibawah akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain berbangkit daripada aduan itu melainkan dengan persetujuan Pendakwa Raya atau pegawai berpangkat Pesuruhjaya keatas.

Perkara-perkara ini antara risiko yang perlu dihadapi oleh SPRM dan ianya akan melambatkan proses siasatan.

Bagaimanapun, ini bukanlah kekangan kepada mereka yang mahu memberi maklumat mengenai rasuah atau penyelewengan tampil membuat aduan kepada SPRM. Apa yang perlu didedahkan kepada masyarakat ketika ini ialah bentuk dan ciri yang perlu ada pada maklumat atau aduan yang ingin dibuat supaya siasatan dapat dijalankan dengan menyeluruh.

Sekiranya kriteria ini dipenuhi, SPRM akan memperoleh maklumat yang lengkap yang mampu menghasilkan tindakan siasatan yang sempurna sehingga pihak yang bersalah boleh diheret ke mahkamah. Ini dapat mengurangkan pembaziran tenaga dan masa pegawainya apabila terpaksa mencari butiran remeh setiap kali menerima aduan yang sangat ringkas dan tidak lengkap. Ciri-ciri 5 W dan 1 H adalah satu pendekatan yang baik yang boleh digunapakai untuk memperolehi maklumat atau aduan yang berkualiti iaitu:

  1. Bila (When)
  2. Dimana (Where)
  3. Siapa (Who)
  4. Apa (What)
  5. Kenapa (Why)
  6. Bagaimana (How)

Tarikh, masa dan tempat kejadian merupakan elemen terpenting yang perlu diketahui oleh pemberi maklumat ketika membuat aduan. Ini antara faktor yang memperlihatkan bahawa maklumat yang diberi itu mempunyai kualiti pertama yang boleh membantu siasatan dan bukan aduan rasuah yang palsu atau sampah.

Seterusnya, si pemberi maklumat perlu menerangkan atau menceritakan tentang apa yang berlaku dan siapa yang terlibat didalam kejadian yang didakwa mempunyai unsur bagi tindakan seterusnya oleh SPRM.

Bilangan dan saksi-saksi yang  mengetahui atau melihat kejadian itu antara elemen penting yang perlu dipastikan oleh si pemberi maklumat. Ini antara cara yang boleh memperlihatkan bahawa aduan yang dibuat bukanlah aduan palsu atau sampah.

Si pemberi maklumat tidak perlu takut atau bimbang untuk  memberikan nama saksi kejadian kerana seperti yang diketahui nama dan identiti pemberi maklumat termasuk kandungan maklumat adalah dirahsiakan.  Ini dinyatakan dalam Seksyen 65 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 mengenai Perlindungan Pemberi Maklumat.

Rujukan dan dokumen-dokumen berkaitan antara bahan sokongan yang boleh dibawa bagi memperkukuhkan aduan yang dibuat selain dapat membantu mempercepatkan proses tindakan selanjutkan oleh SPRM.

Pemberi maklumat perlu menyatakan jumlah wang/barangan/perkhidmatan atau perkara-perkara lain yang terlibat dalam aduannya. Maklumat ini adalah elemen penting dalam memperkukuhkan aduan yang dibuat kerana ia memperlihatkan berlakunya transaksi rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa telah berlaku.

Sekiranya diketahui, pemberi maklumat juga boleh memberikan butiran lain seperti nombor akaun, resit, nombor kad pengenalan, kenderaan, alamat rumah, pejabat atau identiti perwatakan orang itu.

Kriteria maklumat yang lengkap dan berkualiti amat penting bagi mengelakkan berlakunya lambakan aduan palsu dan tidak berasas yang adakalanya dibayangi tujuan tertentu seperti dendam, cemburu, dan berkepentingan peribadi atau politik.

Perlu adanya kesedaran dan rasa tangungjawab dalam diri setiap individu setiap kali melaporkan kesalahan rasuah kepada SPRM. Kesedaran itu pula perlulah  beradasrkan niat untuk membantu siasatan bukan sekadar menghantar surat layang kononnya berlaku rasuah, tetapi tidak meletakkan penama, mahupun data mengenai mereka yang terlibat, sebaliknya hanya tuduhan semata dan persepsi semata-mata.

Zatul Yahaya – Putrajaya

PDF Download    Send article as PDF   

, , , , , ,

8 Comments