Posts Tagged Perang

SPRM: Berperang menentang krisis persepsi

Wednesday, December 1, 2010

by elviza

Khamis lepas, saya dan rakan-rakan blogger, telah dijemput menghadiri sesi dialog bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Sesi itu telah dipengerusikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Hj. Abu Kassim Mohammed.

Selesai bercakap dan makan tengahhari, saya pulang ke pejabat seraya membelek-belek risalah dan lapuran tahunan SPRM yang telah dibekalkan kepada kami. Tidak sampai 15 minit, saya tolak ke tepi bahan bacaan tidak berjiwa itu.

Bila bercakap tentang jenayah yang menjadi kudis terbesar dalam hidup kita – rasuah – saya perlu menulis dari hati, bukan dari statistik dan kenyataan rasmi SPRM.

Sebelum saya tersasar jauh dari nas perbincangan, saya ada pengalaman peribadi berhadapan dengan pegawai SPRM. Kami pernah bertikam mulut dalam kamar majistret, di mana saya mempertahankan hak asasi anak guam, sementara pegawai SPRM pula membela hak suruhanjaya dalam satu perbicaraan lanjutan tahanan reman.

Tidak keterlaluan jika saya simpulkan bahawa, rata-rata pegawai SPRM, kurang pengalaman. Kata orang tua-tua, ilmu mereka belum cukup dalam. Mereka muda, gugup dan tidak bersedia sebelum masuk ke dalam kamar mahkamah.

Dalam kata-kata lain, mereka ini tidak fasih susur-galur undang-undang dan kes-kes yang telah diputuskan terlebih dahulu (precedent).

Tenyata, pegawai-pegawai SPRM bukan lawan terhandal sekiranya mana-mana peguam berhadapan dengan mereka. Maaf, itu hanya persepsi saya. Dan selagi kita masih berbicara di atas platform yang berlabel ‘persepsi’ ini, terus terang saya katakan bahawa SPRM masih berada dalam kancah tanggapan negatif masyarakat.

Di mata masyarakat, SPRM ini seperti harimau tidak bertaring.

Dalam sesi dialog tersebut, Abu Kassim telah menjawab semua soalan-soalan panas yang telah diutarakan oleh rakan-rakan blogger, dengan penuh hati-hati dan diplomasi.

Namun, ada suatu aspek yang jelas dalam tuturkata Abu Kassim: beliau nampak jujur dan telus.

Tetapi, sejauh mana kejujuran dan ketelusan Abu Kassim dapat menukar persepsi masyarakat?

Dari pengamatan saya, reputasi SPRM terus-terusan dirudum kontroversi dari kes-kes berprofil tinggi seperti: Teoh Beng Hock, skandal PKFZ, kes bekas menteri besar Selangor yang telah membuat ‘lawatan sambil belajar’ ke luar negara dengan mewah dan mempunyai sebuah ‘istana’.

Apabila saya bertanya tentang status kes bekas menteri besar itu, Abu Kassim menjawab dengan nada mendatar: SPRM tidak boleh menyabit seseorang hanya kerana masyarakat menyampah dengan bekas menteri besar tersebut.

Tambah Abu Kassim lagi, ada banyak kes-kes berprofil tinggi yang masih berada ‘dalam siasatan’.

Dari pengalaman rakan-rakan peguam yang pernah mengendalikan kes rasuah, beban bukti untuk menyabit-salah jenayah ini sukar dicari.

Contohnya, seperti kes seorang datuk yang pernah menjadi ahli majlis tertinggi UMNO (maaf, kalau sebut nama nanti saya kena saman), di mana saksi utama telah bertukar menjadi hostile.

Itu bukan salah SPRM. Dan kes tersebut telahpun digugurkan oleh mahkamah. Tidak bersalahkah beliau? Sila tepuk dada tanya minda, aduhai pembaca budiman.

Apa yang perlu dititikberatkan oleh SPRM adalah faktor masa. Pendedahan kes penyelewengan bekas menteri besar itu mendapat liputan meluas dari akhbar The Sun.

Semua orang sudah baca. Jadi, sekiranya kes seperti itu lemau di minda rakyat, mereka akan mula menuding jari ke arah anda.

Saya faham benar bahawa SPRM adalah badan yang ditubuhkan di bawah Akta Pencegahan Rasuah. Jadi, tugas SPRM dianggap functus officio (selesai) apabila tamat siasatan.

Kuasa untuk menentukan samada orang yang disyakki akan dituduh di mahkamah atau tidak, adalah hak mutlak Jabatan Peguam Negara.

Saya juga faham bahawa fasal siasatan tidak boleh didedahkan kepada umum. Mungkin cukup sekadar SPRM memberitahu media bahawa siasatan terhadap kes si polan atau si anu, sudah selesai.

Unit maklumat korporat dan media SPRM perlu mengambil pendekatan lebih agresif. Jawab segala pertuduhan dan cacian dalam media konvensional atau elektronik.

Sikap berdiam diri memeluk  tubuh apabila siasatan selesai dijalankan, tidak akan membantu dalam memperbaiki persepsi masyarakat terhadap anda.

Seperti yang telah saya luahkan kepada Abu Kassim, perkara persepsi masyarakat ini adalah perkara perang minda.

Dan perang minda tidak boleh dimenangi hanya melalui kenyataan akhbar dan editorial berbentuk puji-pujian semata.

SPRM perlu menjana kepercayaan dan mengubah tanggapan masyarakat terlebih dahulu, barulah proses transformasi jadi mudah.

Benar SPRM banyak menggalas beban yang telah ditinggalkan oleh Badan Pencegah Rasuah. Tapi itu bukan alasan konkrit untuk tidak menjadi suatu badan berpretij yang digeruni oleh segenap lapisan, dalam menentang gejala rasuah.

Mungkin enteng untuk saya menulis kerana saya tidak duduk di kerusi Abu Kassim. Tetapi dalam masa tiga jam saya bersama beliau, saya percaya Abu Kassim boleh menjadi nakhoda untuk menyelamatkan SPRM dari terus ‘karam’ di hati rakyat.

Tidak mengapa, itu masalah SPRM. Masalah anda dan saya adalah untuk melapurkan  apa-apa bentuk rasuah – samaada kecil dan besar – tanpa kondisi, tanpa prejudis.

Pesan saya kepada rakan-rakan (anda tahu anda siapa), sudah-sudahlah perangai membayar ‘duit kopi’ apabila ditahan polis trafik. Pakai tali pinggang keledar itu untuk keselamatan kita, bukan untuk keselamatan polis trafik! Aduh manusia…

PDF Creator    Send article as PDF   

, , , , ,

1 Comment

Memerangi rasuah perlu komitmen semua sektor

Oleh MOHD. AYOP ABD. RAZID

Seperti najis dadah, rasuah juga musuh utama negara yang wajib diperangi. Dalam konteks ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai tanggungjawab yang cukup besar dan mencabar dalam memerangi rasuah di negara ini. Rasuah boleh berlaku di mana-mana sahaja, tidak kira dalam agensi kerajaan mahupun swasta. Rasuah ada pemberi dan penerimanya.

Ia tidak akan berlaku jika salah satu pihak menolak amalan yang menjijikkan itu. Kaedah memberi rasuah juga pelbagai dan semakin licik sifatnya. Justeru, ia bukan perkara yang mudah bagi SPRM untuk membendungnya.

Namun, dengan iltizam dan kekentalan semangat yang tinggi, SPRM bersedia mendepani segala cabaran dan rintangan untuk menjadikan Malaysia negara yang bebas dan bersih daripada gejala rasuah. Melalui aspirasi dan slogan SPRM 2010, iaitu ‘Bersama Lakukan Perubahan, Perangi Rasuah’ yang dilancarkan oleh Ketua Pesuruhjaya, Datuk Abu Kassim Mohamed sempena ulang tahun pertama penubuhannya pada 9 Mac lalu, ia telah meningkatkan kesedaran di kalangan penjawat awam dan masyarakat tentang kesan dan bahaya rasuah.

SPRM ditubuhkan melalui penggubalan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan mula beroperasi pada 1 Januari 2009 bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR). Pada 26 April lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah merasmikan kempen ‘Hindar Menerima, Perangi Pemberi Rasuah’. Kempen itu bertujuan mencetuskan motivasi dan meningkatkan integriti penjawat awam dengan menolak amalan rasuah, di samping melakukan perubahan minda ke arah pencapaian agenda transformasi negara.

Seperti yang disebut Mohd Sidek, mesej dan matlamat kempen itu adalah mudah, iaitu penjawat awam tidak boleh di rasuah. Kempen itu juga bertujuan menyedarkan orang awam bahawa pemberi rasuah juga tidak terlepas daripada tindakan undang-undang. Dalam ucapan perasmian kempen tersebut, beliau menyebut bahawa pelaksanaan dan kejayaan kempen ini banyak bergantung kepada komitmen dan kerjasama semua ketua agensi.

Kesedaran yang tinggi di kalangan pegawai dan anggota perkhidmatan awam mengenai ‘najis’ dan jenayah rasuah akan menjadikan mereka lebih tegas dan berani menolak pujukan serta godaan pemberi rasuah. Peningkatan tahap integriti ini amat selari dengan komitmen kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu mewujudkan sebuah pentadbiran yang ‘mendahulukan rakyat’ dan ‘mengutamakan pencapaian’ seperti yang terkandung dalam gagasan ’1Malaysia’.

Justeru, usaha memerangi rasuah menjadi agenda utama pentadbiran beliau supaya aspirasi dan kehendak rakyat benar-benar menjadi kenyataan.

Ini terbukti apabila usaha membanteras rasuah turut dijadikan salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diberikan perhatian penting di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP). Warga perkhidmatan awam dikehendaki memberi fokus kepada penyampaian perkhidmatan yang efisien dan efektif dengan menampilkan nilai etika kerja dan tahap integriti yang tinggi.

GTP yang telah dilancarkan oleh Najib pada 28 Januari lalu bertujuan membawa perubahan perkhidmatan awam ke arah menyediakan perkhidmatan yang melangkaui jangkaan semua segmen rakyat dan pelanggan. Ini membuktikan bahawa gagasan ’1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ adalah gagasan serius yang menuntut warga perkhidmatan awam melakukan transformasi minda, etika kerja dan kaedah penyampaian perkhidmatan bagi mendukung agenda dan aspirasi negara.

Sektor perkhidmatan awam hari ini lebih menjurus kepada memudah dan mempercepat urusan pelanggan, sama ada urusan orang ramai ataupun sektor swasta tanpa banyak proses dan prosedur serta kerenah birokrasi. Cara ini didapati berupaya membendung berleluasanya amalan rasuah dalam perkhidmatan yang diberikan. Penubuhan Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah) telah berjaya membentuk kerjasama sektor awam dan sektor swasta. Melalui Pemudah, banyak proses dan prosedur lapuk dan menyukarkan telah dapat dihapuskan atau dikurangkan.

Hasilnya, tempoh masa kelulusan sesuatu permohonan itu dipendekkan apabila berurusan di jabatan dan agensi kerajaan. Keputusan perniagaan seperti pemberian kontrak, perolehan, dan sebagainya dapat dilakukan dengan lebih efisien tanpa melalui ‘jalan belakang’. Hakikatnya, banyak kemajuan sudah dirasai oleh mereka yang berurusan dengan sektor awam hari ini.

Misalnya, pendaftaran perniagaan boleh selesai dalam tempoh tiga hari, permohonan pasport selesai dalam tempoh dua jam dan pendaftaran hartanah dilakukan dalam tempoh dua hari.

Begitu juga dengan penggunaan MyID untuk semua urusan individu dengan pelbagai agensi kerajaan amat memudahkan kerana kita perlu mengingati satu nombor sahaja. Penggunaan MyCOID untuk semua urusan perniagaan telah menjadikan kerajaan lebih mesra perniagaan.

Kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) turut dimanfaatkan oleh kerajaan melalui talian dalam banyak urusan. Melalui Internet, pembayaran dan transaksi boleh dilaksanakan pada bila-bila masa dan di mana-mana. Kini, terdapat 1,277 perkhidmatan dalam talian di pelbagai agensi perkhidmatan awam bagi memudahkan urusan orang ramai menggunakannya.

Kesimpulan, pelbagai pembaharuan yang dilakukan dalam perkhidmatan awam itu mampu menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah di kalangan penjawat awam. Rakyat kini semakin yakin dengan agensi kerajaan, terutamanya agensi pengawalseliaan dan penguatkuasaan. Melalui peningkatan integriti ini, maka hasrat kerajaan untuk mempertingkat daya saing negara di persada antarabangsa akan menjadi realiti.  – Utusan Malaysia 6/5/2010

Penulis adalah Ketua Unit Komunikasi Media dan Penerbitan Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan
Create PDF    Send article as PDF   

, , , , , , ,

1 Comment

Perangi Pemberi Rasuah

Sejauh manakah kefahaman masyarakat mengenai perbuatan menawar atau memberi rasuah sebagai satu kesalahan jenayah yang serius? Jika disabitkan dengan kesalahan ini seseorang itu akan berhadapan dengan hukuman yang berat termasuk dipenjarakan dan didenda.

Kebiasaannya, pendakwaan kes-kes rasuah yang dipaparkan oleh media massa lebih berkisar kepada individu-individu yang menerima rasuah. Kebanyakan penerima rasuah yang mendapat perhatian media massa terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan yang dikatakan mempunyai kuasa untuk mengambil atau tidak mengambil sesuatu tindakan yang mana ianya memberi manfaat kepada si pemberi rasuah.

Terdapat juga pandangan dan teguran segelintir masyarakat bahawa pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya mengambil tindakan ke atas penerima rasuah semata-mata. Ada juga antaranya yang tidak mengetahui bahawa memberi rasuah itu suatu kesalahan jenayah.

Bermula dari kewujudan Akta Pencegahan Rasuah 1961, Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan terkini Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, jelas memperuntukkan bahawa perbuatan memberi suapan rasuah merupakan suatu kesalahan yang serius di bawah undang-undang negara ini. Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 menetapkan bahawa perbuatan memberi atau menawarkan rasuah merupakan suatu kesalahan yang sama beratnya dengan kesalahan menerima rasuah:

“Seseorang melakukan kesalahan jika dia memberikan atau bersetuju untuk memberikan atau menawarkan apa-apa suapan kepada mana-mana ejen sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan hal ehwal prinsipalnya.”

Jika disabitkan dengan kesalahan ini, seseorang itu akan berhadapan dengan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau sepuluh ringgit, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Perbuatan memberikan rasuah ini juga merupakan kesalahan yang dipandang serius oleh agama. Ini dapat dijelaskan menerusi hadis Rasulullah SAW “Allah melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah”.

Rasuah tidak akan berlaku seandainya salah satu pihak sama ada pemberi atau penerima tidak merestuinya. Rasuah tidak akan berlaku jika tiada pemberi. Rasuah tidak akan berlaku jika tiada penerima. Rasuah akan berjaya dibanteras jika kedua-dua pihak pemberi atau penerima enggan melakukannya dan melaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan.

Tun Abdul Hamid Mohamad, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah dalam ucapannya di Majlis Pelancaran Aspirasi SPRM menjelaskan bahawa “jika kita betul-betul hendak memerangi rasuah, perkara pertama sekali yang masing-masing mesti lakukan ialah menghindar diri daripada perbuatan rasuah. Caranya mudah dan semua orang tahu: jangan beri dan jangan terima rasuah”.

Namun begitu, kajian ahli-ahli kriminologi barat menjelaskan bahawa rasuah ini di ibarat jenayah tertua dunia sebaris dengan pelacuran. Dari sepuluh kes rasuah yang berlaku hanya satu sahaja dilaporkan. Ini kerana kedua-dua pihak sama ada pemberi atau penerima mendapat faedah dari kesalahan jenayah ini. Kedua-dua pihak bersetuju dan berpuas hati dengan syarat-syarat yang ditetapkan bersama.

Rasuah sentiasa menjadi fokus kepada apa jua dasar dan strategi pembangunan negara ini. Sejak awal kemerdekaan sehinggalah ke hari ini, kita amat bertuah kerana mempunyai Kerajaan yang berpandangan jauh dan menjadikan rasuah sebagai isu penting yang perlu diperangi.

Seawal kemerdekaan, Kerajaan telah menubuhkan sebuah agensi penguatkuasaan khas membanteras rasuah iaitu Badan Pencegah Rasuah pada 1967. Agensi ini terus wujud dan berkembang sehinggalah ke hari ini yang telah dinaiktarafkan sebagai sebuah Suruhanjaya.

Kerajaan juga sebenarnya telah melakukan pelbagai bentuk reformasi dan transformasi dalam perkhidmatan awam untuk mengubah sikap dan pandangan keseluruhan penjawat awam terhadap rasuah. Penubuhan Institut Integriti Malaysia, pengenalan Pelan Integriti Nasional, penubuhan Jawatankuasa Keutuhan dan Tadbir Urus (JKTU) dan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan (JKKMKPK) yang membincangkan isu integriti dan rasuah di pelbagai peringkat kepimpinan dari nasional hingga ke daerah, penubuhan pasukan PEMUDAH dan yang terkini pelancaran Integrity-Pact Dalam Perolehan Kerajaan jelas menunjukkan kesungguhan Kerajaan untuk memerangi jenayah ini.

Usaha memerangi jenayah rasuah ini bukan mudah untuk diukur dan terhasil dalam sekelip mata. Menerusi pelbagai dasar dan pendekatan yang digunakan Kerajaan dan SPRM, pegawai-pegawai Kerajaan dilihat telah meningkatkan tahap integriti dan kebenciannya terhadap rasuah semakin tinggi.

Berasaskan perangkaan SPRM, bagi tempoh sepuluh tahun iaitu 2000 hingga Februari 2010, sejumlah 878 orang telah ditangkap atas kesalahan cuba menyogok penjawat awam. Secara puratanya seramai 88 orang ditangkap setiap tahun atas jenayah ini. Daripada jumlah 878 tangkapan tersebut, hampir 90 peratus melibatkan cubaan menyogok anggota penguat kuasa pelbagai agensi.

Cubaan menyogok ini pula mempunyai kaitan dengan usaha pemberi rasuah untuk mengelakkan diri dari dikenakan tindakan undang-undang atas kesalahan jenayah berat lain yang juga serius seperti dadah, penyeludupan, judi, pelacuran, pendatang asing, kesalahan jalan raya dan sebagainya.

Kes dua anggota polis Detektif Koperal Mohd. Surani Sarbini dan Lans Koperal Mohd. Tarmazi yang ditawarkan rasuah RM500,000.00 daripada penyeludup dadah yang membawa 978 kilogram syabu yang dianggarkan bernilai RM280 juta wajar dijadikan iktibar dan teladan. Atas kesedaran dan tahap integriti yang tinggi kedua-dua anggota ini telah menolak tawaran rasuah tersebut dan seterusnya menangkap pengedar dadah tersebut.

Ini adalah antara contoh terbaik bagaimana penjawat awam pada hari ini mempunyai tahap integriti dan kesedaran yang cukup tinggi untuk menolak godaan pemberi rasuah.

Masyarakat secara umum dan penjawat awam yang bertugas di agensi-agensi penguatkuasaan khasnya harus melihat kesan yang mungkin terhasil dari tindakan melindungi perbuatan jenayah. Mengambil contoh kes di atas, kita tidak dapat membayangkan betapa ramai anak muda akan terjerumus dengan penyalahgunaan dadah sekiranya syabu seberat 978 kilogram memasuki pasaran. Ini secara tidak langsung mengakibatkan kadar jenayah seperti samseng jalanan, kegiatan ragut, pergaduhan kumpulan, pembunuhan yang berpunca dari pengaruh syabu akan meningkat dan seterusnya memberi kesan kepada keharmonian serta keselamatan masyarakat.

Bersempena dengan sambutan Hari Pekerja pada tahun 2010 ini, SPRM akan melancarkan kempen kesedaran secara besar-besaran kepada semua penjawat awam khasnya dan anggota masyarakat untuk menghentikan perbuatan menyogok penjawat awam.

Di pihak penjawat awam, kempen kesedaran berhubung kewajipan melaporkan apa jua sogokan di bawah seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 akan ditekankan dalam kempen-kempen yang telah di rancangan menerusi media massa.

PDF Printer    Send article as PDF   

1 Comment