Posts Tagged kesan rasuah

GEJALA RASUAH DAN KESANNYA

Oleh: Norhafifi Yahya

Rasuah merupakan satu tindakan pemerasan yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan untuk mendapatkan pertolongan dan faedah dirinya sendiri. Ini kerana apabila melalui prosedur-prosedur biasa, dia tidak akan memperoleh apa-apa yang dikehendakinya itu. Secara amnya rasuah bermakna kuasa yang telah diberikan kepadanya disalahgunakan dan bertindak untuk kebaikan diri sendiri dan bersikap ‘pilih kasih’ dalam tindakannya.

 

Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab “al-risywah”. Di dalam al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perkataan jenayah lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut. Di negara ini, dari segi undang-undang semua perkataan “ memberi dan menerima suapan” adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah.

Biasanya, rasuah dijadikan sebagai salah satu jalan pintas seseorang untuk mengecapi kehidupan mewah atau dengan erti kata lain mahu menjadi kaya dalam masa singkat. Kebiasaannya orang yang melakukan budaya ini tidak memikirkan kesan buruk yang akan terjadi, sebaliknya mereka hanya memikirkan keuntungan kepada diri mereka. Sebagai umat Islam, keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT harus dititikberatkan dalam apa juga urusan. Islam sangat melarang umatnya daripada mengamalkan budaya ini. Seperti mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

                Daripada Abu Hurairah RA. ia telah berkata: “Rasulullah SAW telah mengutuk orang yang suka memberi rasuah dan orang yang suka menerima rasuah dalam soal hukum- menghukum”.

 

                Perbuatan rasuah ini adalah perbuatan yang sangat keji dan berdosa. Mereka yang terjebak dalam budaya rasuah akan memperoleh balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka ini. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :

                “ Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka”.

                Allah telah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

                “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antaranya kamu dengan jalan yang batil (tiada hal) dan (jangan) kamu bawa kepada hakim, supaya dapat kamu memakan sebahagian harta orang yang berdosa sedang kamu mengetahuinya”.

(al-Baqarah : 188)

PANDANGAN ISLAM MENGENAI RASUAH

Budaya rasuah ini sebenarnya telah dahulu disedari oleh Islam dan cara yang terbaik bagi mengatasi dan mengawal budaya ini telah disediakan. Langkah pertama yang tegas telah diutarakan oleh Islam iaitu terhadap mengharamkan secara berkesan tanpa bertolak ansur dengan rasuah, seperti sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi yang bermaksud :

                “ Penerima dan pemberi rasuah akan ditempat dalam api neraka”.

Perbuatan ini juga dikutuk dengan kerasnya oleh Allah  SWT  sebagaimana dinyatakan dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud :

                “Allah SWT melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya”.

Berdasarkan dalil-dalil diatas jelas membuktikan Islam melarang perbuatan keji ini. Kutukan itu bukan sahaja terbatas kepada penerima malah pemberi dan sesiapa juga yang bersubahat melicinkan kegiatan rasuah ini.

PUNCA BERLAKUNYA RASUAH

Antara punca berlakunya rasuah ialah :

a)       Kelemahan peribadi seperti kurang iman dan takwa. Seseorang itu tahu bahawa rasuah dilarang oleh agama dan undang-undang, tetapi dilakukan juga dengan seribu satu alasan peribadi. Hal ini termasuk dalam teori “Technique of Neutralization” oleh Grisham Sykes dan David Matza. Mereka mengatakan, “ Lakukan rasuah secara rahsia asalkan tiada siapa yang tahu”. Sikap mahu hidup mewah, riak, menunjuk-nunjuk, tamak, ingin cepat kaya dan sebagainya adalah pendorong berlakunya rasuah bagi mereka yang lemah keperibadiannya.

b)       Kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi. Kepimpinan yang lemah menyebabkan kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lembap menjalankan tugas dan terbuka kepada penyelewengan khususnya rasuah.

c)       Sosial dan budaya. Masyarakat majmuk di <?xml:namespace prefix = st1 ns = “urn:schemas-microsoft-com:office:smarttags” />Malaysia mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena menyambut hari-hari kebesaran hari perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya. Hari yang baik ini memberi kesempatan kepada perasuah dan penerima rasuah melakukan rasuah sama ada diminta, disogok atau diumpan tanpa disedari.

d)       Modenisasi. Pembangunan sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian akan memudahkan terjadinya rasuah. Projek pembangunan bercambah seperti cendawan tumbuh. Pengaliran wang juga akan meningkat. Golongan yang terlibat juga mengambil kesempatan untuk mengaut untung sebanyak-banyaknya. Perlumbaan moden memperlihatkan para kontraktor berlumba-lumba mendapatkan tender. Mereka juga akan berusaha untuk memenangi hati pegawai pengurusan atau pembuat keputusan. Rasuah diberikan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan tender, mempercepatkan bayaran, melepaskan hukuman atau tindakan jika gagal atau lambat  menyiapkan projek dan sebagainya.

e)       Politik. Sesetengah ahli politik menggunakan kesempatan untuk berbakti kepada masyarakat dengan menerima dan memberi rasuah untuk mendapatkan kuasa, memenangi pemilihan jawatan politik, mengumpul kekayaan, menagih populariti dan sebagainya.

KESAN-KESAN RASUAH

Perbincangan mengenai rasuah adalah penting kerana kegiatan rasuah akan melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu organisasi. Dengan adanya kegiatan rasuah, tiada sesiapa akan dapat mengagak tindakan seseorang atau hasil daripada sesuatu rancangan untuk masa depan. Kemajuan sesebuah negara bergantung kepada cerdik pandai dan profesional yang ada. Kegiatan rasuah akan hanya menghakis kepercayaan orang awam terhadap cerdik pandai negara kita.

Selain itu pemerintahan menjadi lemah kerana setiap kali rasuah berlaku, maka pemerintah kehilangan hasil atau tergelincir daripada tindakan-tindakan yang sepatutnya. Umpamanya jika cuai terhadap sesuatu yang telah ditentukan, maka pemberian rasuah telah menggantikan  wang cukai yang sepatutnya dikutip dan manfaatnya hanya dinikmati oleh segelintir pemberi rasuah.

Kesan yang paling besar daripada gejala rasuah ini ialah akan menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir. Akibatnya , ia menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya. Budaya rasuah juga boleh  menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara. seperti yang berlaku di Filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan presiden Marcos dari tampuk kepimpinan disebabkan amalan rasuah yang tidak terbendung.

LANGKAH-LANGKAH MENCEGAH RASUAH

Antara langkah  mencegah rasuah adalah seperti berikut :

1.Memantapkan Iman Dan Mengukuhkan Jatidiri

Keimanan dan keperibadian yang tinggi adalah benteng yang paling ampuh untuk membenteras gejala rasuah. Apabila setiap individu bencikan rasuah sama ada rakyat biasa, pemimpin,peniaga, atau jentera kerajaan maka amalan rasuah dapat diatasi. Kekuatan Iman dan jati diri dapat menangkis habuan rasuah sekali pun tiada sesiapa tang tahu dan peluang terbuka luas di hadapan mata.

2. Mamasukkan bahaya rasuah dalam sistem pendidikan

Benci kepada rasuah akan dapat dihayati dalam diri sekiranya diajar dan dididik sejak zaman persekolahan lagi. Generasi yang dididik  benci rasuah akan membesar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, amanah, ikhlas. Sistem pendidikan hanya membentuk generasi akan datang yang bebas daripada rasuah.

3. Meningkatkan Penguatkuasaan Undang-Undang dan Hukuman

Siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan lagi agar masyarakat sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak dibenteras dan dibendung untuk keselamatan negara. Selain itu para pengamal rasuah akan berfikir banyak kali sebelum cuba melakukan rasuah lantaran hukuman berat yang bakal diterima.

4.Memudahkan urusan menggunakan ICT

Prosedur diproses yang panjang, sukar dan lambat perlu diperkemaskan dan dipermudahkan dengan menggunakan kelebihan ICT. Penggunaan borang, proses temu duga dan seumpamanya perlu diringkaskan  supaya tidak membebankan orang ramai khususnya para peniaga, kontraktor dan pelabur. Proses yang mudah dan telus dapat menghindari bahaya rasuah kerana tidak perlu disogok semata-mata untuk mempercepatkan  proses.

PDF Printer    Send article as PDF   

, , ,

No Comments

Rasuah Menghalang Kemajuan Negara

ihsan : mindasuper.com PDF Print E-mail

drdanialhalaqahoxyMuhammad Hisyam bin Mohamad (Fellow), 29 November 2006 | Berita Harian: Rasuah adalah penghalang kepada pembangunan negara dan ia sering dikaitkan dengan amalan tadbir urus yang tidak cekap. Masalah ini bukan sahaja wujud di dalam sektor awam malah di dalam sektor swasta juga.

Rasuah yang berleluasa merupakan cerminan terhadap mutu pentadbiran negara. Kebanyakan kajian tentang kesan rasuah menunjukkan bahawa ia boleh menyebabkan kadar pertumbuhan ekonomi yang rendah. Ini kerana unsur rasuah menghalang penyertaan pelaburan tempatan dan menyekat kemasukan pelaburan asing ke sesebuah negara.

Selain daripada itu, banyak bukti menunjukkan bahawa negara yang dibebani masalah rasuah mempunyai pasaran saham yang tidak menentu, pengawasan sistem perbankan yang tidak cekap dan pasaran modal yang kecil. Dengan kata lain negara yang mengamalkan rasuah membayar pada harga yang mahal untuk program pembangunannya terutamanya dalam pembangunan ekonomi.

Justeru itu tidak hairanlah mengapa agenda pembasmian rasuah menjadi salah satu daripada beberapa agenda penting yang diberi perhatian utama oleh kepimpinan Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi. Bukti kesungguhan beliau untuk memerangi masalah ini dapat dilihat melalui penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) dan pelancaran Pelan Integriti Nasional (PIN) pada April 2004 iaitu selepas hanya beberapa bulan dilantik memegang jawatan Perdana Menteri. Seterusnya agenda ini terus dinyatakan secara berterusan di dalam kebanyakan ucapan-ucapan rasmi beliau.

Bagaimanapun Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2006 yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) baru-baru ini telah menimbulkan sedikit tanda tanya di kalangan masyarakat terhadap keberkesanan usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan Malaysia untuk memerangi gejala tersebut.

Secara kasarnya, kajian yang melibatkan tanggapan masyarakat peniaga dan penganalisis negara terhadap suasana rasuah di Malaysia telah menunjukkan bahawa berlaku sedikit kemerosotan berbanding keputusan laporan tahun 2005 dan 2004 mahupun 2003.

Berdasarkan kepada CPI 2006, Malaysia menduduki tangga ke-44 dunia berbanding tangga ke 39 untuk tahun 2005 dan 2004; serta tangga ke 37 untuk 2003. Begitu juga bribesdari segi peratusan mata yang dicatatkan iaitu 4.9 peratus, merosot jika dibandingkan 5.1 peratus untuk 2005; 5.0 peratus (2004) atau 5.2 peratus (2003).

Persoalannya di sini ialah mengapa masyarakat peniaga dan para penganalisis menganggap suasana rasuah semakin meningkat di Malaysia? Adakah mereka menganggap tadbir urus di sektor awam dan swasta tidak berada pada tahap yang sewajarnya? Apakah tahap integriti sektor perniagaan dan pentadbiran negara tidak begitu bagus sehingga mereka menganggap rasuah yang juga ada kaitan dengan masalah tadbir urus ini begitu meruncing di negara kita?

Lebih menarik lagi jika kita dapat kaitkan laporan TI ini dengan satu laporan kajian persepsi yang dibuat oleh The Business Ethics Of Malaysia (BEIM) dengan kerjasama University of Nottingham Malaysia dan Kolej Universiti Binary terhadap kepercayaan masyarakat terhadap mereka yang terlibat dalam 15 bidang kerjaya yang terpilih.

Antara kerjaya yang dikaji ialah doktor, guru, profesor, menteri, pemimpin perniagaan dan ahli politik. Keputusannya, tahap kepercayaan responden terhadap ahli politik, pemimpin perniagaan dan menteri adalah rendah sekali. Masing-masing meraih 11%, 16% dan 20% kepercayaan responden dan berada di senarai tiga terbawah berbanding doktor (72%); guru (67%) dan profesor (58%) yang berada pada senarai tiga teratas.

Kaitan antara kedua-duanya ialah tentang wujudnya persamaan tentang perkara utama yang diukur iaitu tentang soal integriti terutamanya yang melibatkan soal kepimpinan dan tadbir urus di dalam negara.

Dalam CPI, masyarakat peniaga dan penganalisis merasakan rasuah di Malaysia meningkat. Peningkatan ini tentu saja berdasarkan pemerhatian mereka kepada dunia politik dan dunia perniagaan Malaysia. Pada masa yang sama juga responden soal selidik BEIM merasakan mereka tidak boleh mempercayai ahli politik dan tokoh korporat.

Secara tidak langsung kita boleh katakan di sini, permasalahan utama yang membawa kepada isu integriti sebenarnya lebih tertumpu kepada soal kepimpinan dan tadbir urus di dalam sektor awam mahu pun swasta.

Dengan kata lain, jika ahli politik dan tokoh korporat mengamalkan nilai-nilai mulia dalam amalan harian mereka, sudah tentu CPI Malaysia adalah setaraf dengan beberapa negara Scandinavia yang sering mencatat 9.6 – 9.7 peratusan mata untuk beberapa tahun kebelakangan ini. Setidak-tidaknya pun kita dapat menyaingi Singapura yang berjaya mengekalkan kedudukannya di tangga ke-5 senarai negara yang paling baik keputusan persepsi rasuah dengan purata 9.4 peratusan mata untuk tempoh 2002-2006.

Walaupun CPI dan kajian BEIM ini merupakan kajian berbentuk tanggapan, ia sebenarnya boleh dijadikan sebagai petunjuk atau panduan untuk menilai tahap rasuah di Malaysia.

Kita tidak seharusnya melihat hasil kajian ini dari sudut yang negatif kerana kita boleh katakan bahawa peningkatan persepsi rasuah yang ditunjukkan oleh CPI tadi terutamanya menunjukkan tahap kesedaran masyarakat tentang bahayanya rasuah dan kepentingan unsur integriti juga meningkat seiring dengan iltizam kerajaan untuk memerangi masalah ini.

Bagaimanapun, untuk mencapai kejayaan dalam usaha pembasmian rasuah, usaha perlu dilakukan secara berterusan dan menyeluruh. Walaupun ada kalanya kejayaan tidak dapat dicapai sebagaimana yang diinginkan, ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesan kepada masalah yang dihadapi.

Sehubungan dengan itu usaha-usaha untuk meningkatkan tahap integriti dan memperkukuhkan sistem tadbir urus mesti dipergiatkan. Begitu juga usaha-usaha memupuk nilai-nilai murni di kalangan anggota masyarakat, baik yang muda mahupun yang tua. Usaha-usaha sebegini sememangnya memakan masa. Akan tetapi, ia perlu dimulakan dari sekarang jika kita mahu melihat Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020 nanti.

Dimuat dalam http://www.ikim.gov.my/ 

Diedit untuk mindasuper.com oleh Dr Danial ZA

PDF Creator    Send article as PDF   

, , , , ,

No Comments